Nostalgia menjayakan pementasan sulung Salina pada 1993 bersama kumpulan teater mapan, Teater Kami, masih lagi segar dalam ingatan pelakon tanah air, Ariati Tyeb Papar.
Karya Salina merupakan novel hasil tulisan sasterawan mapan, A. Samad Said, mencerminkan kehidupan di Singapura, khususnya di Kampung Kambing, yang penuh gelora pada 1950-an, selepas Perang Dunia Kedua.
Diarahkan penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Atin Amat, pementasan ini menghidupkan kembali kisah menyayat hati yang kali terakhir dipersembahkan hampir tiga dekad lalu, pada 1993 di Pusat Drama.
Ketika itu, Ariati membawakan watak seorang gadis sunti yang tinggal di Kampung Kambing dan menjadi mangsa kerakusan ibu tirinya bernama Nahidah.
Sempena Pesta Raya 2025, Esplanade menugaskan Teater Kami untuk mengembalikan pementasan Salina dalam empat set persembahan iaitu pada 2 Mei bermula 8 malam; 3 Mei pada 3 petang dan 8 malam; dan 4 Mei bermula 3 petang, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.
Apabila ditemui Berita Harian (BH) pada 24 April di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, suara tawa Ariati sesekali mengisi ruangan bilik solek ketika diminta menceritakan kenangan melakonkan watak Nahidah.
“Sejujurnya, saya sudah lama tidak berlakon pentas. Rasanya, ada dalam 10 tahun.
“Terakhir kali ketika saya menjayakan pementasan, Monolog Anun-Arba’a, pada 2014, juga bersama Teater Kami, di Arts House.
“Apabila saya dihubungi untuk menjayakan pementasan Salina sekali lagi, saya bertanya ‘Okey, watak apa? Takkanlah watak Nahidah lagi?’
“Dalam kisah Salina, watak Nahidah ini sangat muda. Masa saya lakonkan watak itu pun (pada 1993), saya berada di tahun pertama maktab rendah dan berusia 17 tahun,” kata Ariati.
Beliau turut menceritakan watak Nahidah terlalu muda untuk dimainkan oleh dirinya, yang kini berusia 50 tahun.
Beliau menginginkan watak yang lain daripada lain, memaparkan keluasan bakat lakonannya saban tahun dalam bidang hiburan.
“Mungkin secara fizikal, jika saya lakonkan watak Nahidah, masih boleh dipercayai.
“Tetapi, dari segi intonasi suara, gaya serta bahasa tubuh, saya tidak rasa ia akan berhasil.
“Awalnya, apabila dicadangkan untuk membawakan watak Zarina, saya tidak mahu kerana watak tersebut terlalu garang.
“Orang ramai sudah terbiasa melihat saya bawa watak garang di kaca televisyen.
“Jadi, saya inginkan watak yang berlainan pula,” tambahnya yang kini memainkan watak utama sebagai Siti Salina.
Siti Salina atau Salina, merupakan gadis yatim piatu yang menghadapi pelbagai kemelut dalam kehidupan pascapeperangan pada 1950-an di Kampung Kambing, sehingga terpaksa melacurkan diri dan melakukan apa sahaja demi mencari sesuap nasi.
Melakonkan watak Salina mungkin kelihatan seperti cabaran besar di mata ramai dek peranan yang menuntut keberanian untuk menggalasnya.
Namun begitu, kata Ariati, beliau tidak terlalu terbeban oleh cabaran itu.
Sebagai pelakon yang lebih awal menjinakkan diri dengan naskhah ini sejak pementasan Salina pada 1993, beliau sudah arif akan tuntutan dan keperluan untuk menghidupkan watak tersebut dengan penuh jiwa dan rasa.
Bahkan, bagi memastikan keserasian dalam kalangan barisan pelakon lain seperti Rizal Aiman, Amirah Yahya, Suhaila M Sanif dan Rusydina Afiqah, Ariati menekankan peri pentingnya komunikasi yang aktif serta berkesan.
Beliau turut memastikan wujudnya pertukaran ilham dan pandangan secara dua hala untuk memperhalusi dan meningkatkan mutu lakonan secara menyeluruh.
“Bagi pementasan kali ini, saya tidak pernah berlakon dengan yang lain kecuali Fir Rahman dan Rafaat Hamzah.
“Saya hanya mengenal mereka setakat ‘hi bye’ sahaja. Tetapi, Alhamdulillah, mereka pelakon yang baik kerana sudah berpengalaman dalam bidang lakonan mahupun teater.
“Awalnya, memang agak janggal. Namun, selepas mengetahui kelebihan dan kekurangan masing-masing, kita akan selalu berbincang untuk membaiki lakonan dalam babak tertentu.
“Kita juga perlu ada keberanian untuk berterus terang antara satu sama lain, tidak kira pelakon lebih ‘senior’ ataupun muda.
“Dalam teater, kita sentiasa berpeluang untuk meneroka.
“Namun, akan ada masanya kita perlu ‘lock’ (beri kata putus) pemetaan gerak supaya pengarah, pekerja pentas atau penata kesan pencahayaan tahu pergerakan kita atas pentas,” kata ibu dua anak itu.
Mengenai harapan bagi pementasan ini, Ariati berharap kisah perjuangan dalam Salina dapat menjadi cerminan bagi masyarakat Melayu, khususnya golongan muda, untuk memetik nilai-nilai pengajaran yang berharga.
“Saya sebenarnya risau tentang bagaimana reaksi penonton terhadap pementasan Salina selepas menontonnya. Ini kerana jarang kita lihat akhir-akhir ini, ada pementasan yang mengangkat kisah sejarah kehidupan di Singapura.
“Saya juga ingin mendekati golongan muda, memandangkan mereka kurang gemar membincangkan perihal sejarah atau kehidupan masa lampau.
“Namun, jika melalui Salina kita dapat membantu mereka lebih menghargai sejarah kita, bagi saya, itulah pencapaian terbesar pementasan ini,” ujar Ariati penuh jujur.
Tiket bagi pementasan Salina berharga antara $30 dengan $60, boleh didapatkan melalui laman Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/salina0525
“
Mungkin secara fizikal, jika saya lakonkan watak Nahidah, masih boleh dipercayai. Tetapi, dari segi intonasi suara, gaya serta bahasa tubuh, saya tidak rasa ia akan berhasil. Awalnya, apabila dicadangkan untuk membawakan watak Zarina, saya tidak mahu kerana watak tersebut terlalu garang. Orang ramai sudah terbiasa melihat saya bawa watak garang di kaca televisyen. Jadi, saya inginkan watak yang berlainan pula.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg