Melihat poster pementasan teater yang pernah dijayakan oleh kumpulan Teater Kami dibingkaikan di Pusat Seni Cairnhill di 126 Cairnhill Road – antara lain, Salina, dan muzikal, Lantai T-Pinkie – jiwa pelakon pentas dan televisyen, Fir Rahman, semakin berkobar-kobar.
Lebih 20 tahun lalu, pelakon drama aksi, Operandi Gerhana, itu sudah bersama Teater Kami, khususnya ketika Fir, 44 tahun, mula berkecimpung dalam bidang lakonan.
Apabila beliau dijemput untuk memeriahkan lagi pementasan karya sastera moden, Salina, yang akan dipentaskan Teater Kami sempena Pesta Raya 2025 edisi ke-24, hatinya sukar berkata tidak.
“Apabila Teater Kami menjemput saya untuk mementaskan Salina, saya rasa amat teruja dan bersyukur.
“Ia bukan calang-calang karya novel dan pementasan untuk dibawakan ke pentas. Lebih-lebih lagi, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, sempena Pesta Raya 2025.
“Ini menjadi suatu penghargaan bagi saya. Untuk dua tahun berturut-turut, saya terlibat dalam menjayakan pementasan di Pesta Raya,” katanya dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Harian (BH).
Pada 2024, beliau terlibat dalam pementasan, Bawang Putih Bawang Merah, bersama Teater Ekamatra.
Karya Salina yang merupakan novel hasil tulisan sasterawan mapan, A. Samad Said, itu bakal menemui penonton di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, dari 2 hingga 4 Mei.
Esplanade telah menugaskan Teater Kami untuk mengembalikan pementasan itu yang kali terakhir dipersembahkan hampir tiga dekad lalu, pada 1993.
Salina akan berlangsung dalam empat set persembahan iaitu 2 Mei bermula 8 malam; 3 Mei pada 3 petang dan 8 malam; dan 4 Mei bermula 3 petang.
Diarahkan oleh penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Atin Amat, pementasan Salina menghidupkan kembali kisah perjuangan seorang wanita pada zaman 1950-an, yang terpaksa melacurkan diri, demi bertahan hidup di Singapura pada tempoh pascapeperangan.
Selain Fir, Salina turut menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Ariati Tyeb Papar, Rizal Aiman, Amirah Yahya, Suhaila M Sanif, Rusydina Afiqah dan Rafaat Haji Hamzah.
Menyentuh tentang watak antagonis yang Fir mainkan iaitu, Abdul Fakar, seorang kelasi dan juga kekasih Salina, beliau akur terdapat banyak perkara dalam kisah itu yang boleh dijadikan iktibar.
“Seperti yang kita tahu, era pascapeperangan pada 1950-an, penuh dengan cabarannya.
“Mereka yang hidup pada zaman itu mengambil jalan yang mudah untuk menampung kehidupan, seperti watak Salina, yang terpaksa menjual harga dirinya.
“Ketika itu, tidak ada juga figura guru agama yang boleh mendidik mereka ke jalan yang lurus.
“Bagi saya, terdapat pelbagai pelajaran yang boleh kita raih melalui kisah Salina ini,” tambah Fir.
Beliau turut meluahkan rasa tidak sabar untuk mempamerkan sisi jahat pada watak Abdul Fakar, yang dijangka bakal membangkitkan rasa geram dalam kalangan penonton.
Dalam perkembangan lain, pelakon drama Papa Pilot, itu menceritakan pengalamannya menjayakan watak utama, Nordin Ahmad, pakar anyam ketupat dalam sketsa jenaka, Sinar Lebaran 2025, yang disiarkan di Mediacorp Suria, pada 30 Mac.
Sejajar dengan sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), program kali ini menyajikan sketsa yang menggambarkan perubahan sambutan Hari Raya sepanjang berdekad lalu, bermula dari zaman 1960-an hingga kini.
Meskipun berpengalaman dalam lakonan pentas dan televisyen, Fir mengakui berasa risau membawa watak jenaka secara langsung bagi program ‘wajib tonton’ pada malam Hari Raya itu.
“Apabila saya mendapat watak ini, saya terfikir kenapa saya dapat watak ini? ‘Aku ini bukannya kelakar’.
“Mungkin bagi teman-teman yang mengenali saya, saya boleh dianggap kelakar. Tetapi, tidak semua yang boleh terima lawak jenaka saya.
“Ada yang pernah mengatakan, ‘eh ini jokes (jenaka) bapak-bapak’.
“Jadi, untuk menjayakan program yang dinanti-nantikan ramai pada malam Hari Raya dan mengundang gelak ketawa di tengah-tengah kesibukan persiapan Aidilfitri, membuat saya risau,” katanya.
Bagaimanapun, dengan kehadiran pelawak tanah air seperti Hamzah Adon dan pempengaruh sekali gus penyampai radio Ria 897, Zuhairi Idris, ia sedikit sebanyak memudahkan Fir membawa watak komedi tersebut.
“Saya bersyukur mendapat teman sparring (kawan berbalah) seperti Hamzah Adon, yang memainkan watak sebagai Farid Dol, si penjual dodol, yang banyak memberikan saya petua untuk membuat dialog tidak kelakar, menjadi kelakar.
“Dia beritahu saya, ‘Simpan simpan! Jangan tunjukkan apa yang kita nak buat (jenaka) sehingga rakaman nanti’,” kata Fir seraya tertawa.
Menyentuh tentang projek seterusnya, beliau akan menjayakan sebuah pementasan teater bersama Teater Ekamatra dan seorang lagi pelakon berbangsa Cina.
Dalam pementasan itu, Fir akan menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, Melayu dan Hokkien.
Persiapan bagi pementasan terbabit akan berlangsung selepas selesai mementaskan Salina, tambah Fir.
Tiket pementasan Salina berharga antara $45 dengan $60 boleh ditempah melalui laman web Sistic, https://www.sistic.com.sg/events/salina0525
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg