Ariel Tatum dalami watak ‘wanita besi’ dalam filem sejarah Indonesia
Ariel Tatum dalami watak ‘wanita besi’ dalam filem sejarah Indonesia
Sambut kunjungan pertama ke S’pura dengan tayangan filem ‘Perang Kota’, sempena Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) edisi ke-36
Bermula sebagai seorang pelakon kanak-kanak, pelakon wanita Indonesia, Ariel Tatum, 29 tahun, mengingati pengalaman lakonan pertamanya dalam sinetron atau drama bersiri berjudul, Dongeng.
Dalam drama bersiri yang mengetengahkan kisah rakyat itu, Ariel membawa watak Cinderella.
Ditanya Berita Harian (BH) tentang perkembangannya dalam bidang lakonan, Ariel mengakui perkembangan itu berlaku selaras dengan kematangan dirinya sebagai seorang individu.
“Saya percaya perkembangan sebagai pelakon berkait rapat dengan pertumbuhan peribadi.
“Secara tak langsung, minat saya terhadap bidang psikologi banyak membantu saya dari segi lakonan – kerana saya melihat lakonan sebagai seni memahami jiwa, tingkah laku dan motivasi seseorang.
“Dalam menyelami watak, kita memerlukan rasa empati yang mendalam.
“Saya percaya, seiring berjalan waktu, perkembangan diri dan perjalanan lakonan saya berkembang bersama-sama dan saling melengkapi antara satu sama lain,” kata Ariel yang turut menjayakan filem, La Tahzan.
Walaupun jarak antara Indonesia dan Singapura tidaklah begitu jauh, Ariel akui ini merupakan kali pertamanya berada di Kota Singa.
Apabila ditemui BH, Ariel berada di Singapura bagi tayangan khas filem, ‘This City Is A Battlefield’ atau Perang Kota, arahan sutradara wanita, Mouly Surya, sempena Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) edisi ke-36.
Filem itu ditayangkan pada 5 Disember lalu, di pawagam Golden Village di VivoCity.
Selain Ariel, filem ini turut membariskan pelakon utama lain seperti Chicco Jerikho dan Jerome Kurnia.
Di samping bidang lakonan, anak jati kelahiran Jakarta itu turut aktif dalam bidang seni tarian, khususnya Jaipong.
Jaipong merupakan tarian tradisional Indonesia yang berasal dari Jawa Barat.
Ia turut dikenali dengan gerakan yang lincah serta bertenaga, dan lazimnya diiringi alunan muzik tradisional gamelan Sunda.
“Rakan baik saya, yang juga seorang pelakon di Indonesia iaitu, Happy Salma, memiliki persatuan seni dan budaya yang digelar, Titimangsa.
“Beliau yang berasal dari Jawa Barat itu berkenan untuk meneroka seni tarian Jaipong. Tetapi, tidak ramai personaliti hiburan di Indonesia yang boleh menarikan tarian ini.
“Saya pula sudah diperkenalkan dengan seni tradisional sejak kecil, atas dorongan dan juga minat ibu bapa saya.
“Beliau kemudian mengajak saya menari dengannya, dan walaupun ketika itu saya belum mahir menari Jaipong, saya bersetuju kerana tiada sebab untuk menolak sesuatu yang saya minat untuk dalami,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut mengenai filem Perang Kota, Ariel akur ini adalah kali pertama beliau menjayakan sebuah filem bertemakan sejarah Indonesia.
Filem tersebut berlatarbelakangkan tempoh tiga tahun selepas Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 1945, hingga Belanda cuba menuntut semula kuasa.
Ia mengisahkan seorang guru dan bapa penyayang, Isa (lakonan Chicco Jerikho) yang turut terlibat dalam perjuangan gerila menentang penjajahan Belanda bersama Hazil (Jerome Kurnia), pemuda panas baran yang diam-diam menaruh perasaan terhadap isteri Isa, Fatimah (Ariel Tatum).
Di samping itu, filem ini juga merupakan adaptasi daripada novel berjudul, Jalan Tak Ada Ujung, tulisan Mochtar Lubis yang diterbitkan oleh Balai Pustaka pada 1952.
Namun begitu, menurut Ariel, watak Fatimah tidak dibahas begitu mendalam dalam novel terbabit, lantas mendorongnya untuk menggali aspek lain bagi memperkuat kesan watak itu dalam jalan cerita filem Perang Kota.
“Memandangkan watak Fatimah tidak diperincikan dalam novel, ini memberikan saya kebebasan untuk meneroka watak itu dengan lebih dalam.
“Saya menampilkan sisi peribadi saya dalam watak Fatimah, namun pada masa yang sama, saya ingin menyuntik kelainan.
“Perkara ini sangat sukar dilakukan kerana ia adalah garis halus yang agak sukar untuk dilihat,” tambah Ariel.
Dalam pada itu, watak Fatimah turut menuntut cabaran bagi dirinya sebagai pelakon kerana perlu mempelajari selok-belok menggunakan senjata bagi mempertahankan diri dalam filem tersebut.
Memberikan takrifan peribadinya tentang watak ‘wanita besi’ ini, Ariel berasa teruja kerana aspek kekuatan wanita diperteguh dalam filem tersebut, sekali gus mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat masa kini melalui gambaran wanita pada era 1940-an.
Namun begitu, beliau turut menegaskan kebebasan yang kini dinikmati kaum Hawa dalam menentukan jalan hidup mereka terasa lebih ketara dan patut disyukuri.
“Saya bersyukur melihat perubahan zaman kini yang memberi wanita hak untuk menentukan pilihan hidup sendiri.
“Sekarang, peranan wanita tidak terhad kepada menjadi ibu atau isteri semata-mata.
“Kita mempunyai kuasa ke atas diri sendiri, termasuk kebebasan membuat pilihan dan berasa lebih terjamin dalam kehidupan,” ujarnya.
Menyentuh tentang harapan Ariel dan watak yang ingin dibawanya pada masa hadapan, beliau menyatakan hasrat untuk memegang watak mencabar, khususnya dengan mengorbankan rambut panjang.
“Sudah lama saya ingin membawa watak yang memaksa saya membotakkan rambut!
“Sebelum ini, saya biasa dikenali dengan rambut panjang dan imej anggun dalam karya-karya lain.
“Saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza, ekstrim, dan bertentangan dengan keperibadian saya,” ungkap Ariel.

