Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artis M’sia Dafi enggan ulas isu siasatan SPRM atas bekas abang ipar

Jun 16, 2025 | 5:30 AM
Dafi Ismail
Dafi Ismail, berkata beliau bukan individu yang layak untuk bercakap mengenai isu bekas abang iparnya, selain tidak mahu terbabit dalam dunia politik. - Foto INSTAGRAM DAFI ISMAIL SABRI

Pelakon dan penyanyi Malaysia, Dafi Ismail, memilih tidak mengulas lebih lanjut mengenai isu membabitkan bekas abang iparnya, Datuk Jovian Mandagie, 39 tahun – yang dilapor dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dafi, atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri, 37 tahun, yang juga anak bekas Perdana Menteri itu berkata beliau bukan individu yang layak untuk bercakap mengenai soal itu, selain tidak mahu terbabit dalam dunia politik.

“Yang itu saya tak boleh nak komen sebab saya tak tahu apa situasi dan jarang berhubung dengan Jovian. 

“Saya memang tak berapa tahu isu berkenaan.

“Sebenarnya, saya ambil pendekatan tidak membabitkan diri atau ambil tahu hal berkaitan politik sebab bukan dunia saya. 

“Jadi, saya tak sesuai bercakap mengenainya,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada Malam Gala filem, Martabat: Misi Berdarah, pada 10 Jun.

Filem arahan pelakon Zahiril Adzim dan Adrian Teh itu bakal menemui penonton di seluruh pawagam di Malaysia, bermula 12 Jun.

Penyanyi lagu, Bila Terasa Rindu, itu kemudian menambah beliau hanya mampu mendoakan apa sahaja urusan atau proses dilalui Jovian berjalan lancar.

Ditanya adakah beliau berharap pereka fesyen terkenal itu akan memberi kerjasama, Dafi bagaimanapun tidak dapat mengulas lebih bagi pihak Jovian.

“Saya rasa Jovian akan beri kerjasama. Tapi, saya tak boleh nak cakap bagi pihak dia. Itu kena tanya dia sendiri.

“Memang kami ada berhubung, tetapi biasanya lebih kepada bertanya khabar dan bercakap mengenai anak saudara saya,” kata Dafi.

Menurut laporan BHM pada 10 Jun, SPRM dijangka bertemu Jovian di Jakarta, Indonesia, pada 11 Jun.

Selama dua hari, pasukan penyiasat berada di Jakarta untuk mengambil keterangan Jovian bagi membantu siasatan kes membabitkan Ismail Sabri.

Laporan berkenaan turut menyebut keterangan Jovian penting berikutan beberapa dokumen yang perlu disahkannya.

Sebelum ini, BHM mendedahkan pasukan penyiasat SPRM sudah membuat janji temu dan menetapkan lokasi di Jakarta.

Keterangan Jovian diambil di Jakarta kerana bekas suami anak sulung Ismail Sabri, Nina Sabrina, itu dilaporkan kembali menetap di negara berkenaan selepas mengumumkan penutupan operasi fesyen pada 2024.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya akan merakam keterangan Jovian susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan Ismail Sabri.

Sebelum ini, Ismail Sabri beberapa kali hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, Malaysia, bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia – selama tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri, antara Ogos 2021 dengan November 2022.

Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg