Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM tahan 4 bekas pegawai mantan PM Ismail Sabri, wang lebih RM100j disita

Feb 24, 2025 | 7:32 PM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai lebih RM100 juta selepas menyerbu kediaman seorang daripada empat pegawai mantan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai lebih RM100 juta selepas menyerbu kediaman seorang daripada empat pegawai mantan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai lebih RM100 juta ($30.3 juta) yang disyaki ada kaitan dengan dana politik, menyusuli penahanan empat bekas pegawai kepada mantan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Wang tunai itu dilaporkan ditemui dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di sebuah kediaman milik seorang daripada empat pegawai kanan berkenaan yang diserbu SPRM.

Menurut laporan New Straits Times (NST), penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.

Serbuan terbabit dijalankan SPRM menyusuli siasatan berterusan dan pemantauan selama beberapa bulan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan.

Sumber SPRM berkata penyiasat kini sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan kaitannya dengan dana politik.

“Siasatan yang dijalankan menjurus kepada peranan yang dimainkan bekas pegawai kanan berkenaan berhubung dana yang dirampas,” kata sumber SPRM, lapor NST.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pada 23 Februari mengesahkan penahanan empat individu berkenaan, yang termasuk dua orang bergelar Datuk dan pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan Datuk Ismail Sabri ketika beliau menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Beliau berkata keempat-empat mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemungkinan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Malaysiakini pula melaporkan penahanan pegawai terbabit berkaitan siasatan rasuah berhubung kontrak kegiatan promosi konsep, ‘Keluarga Malaysia’, yang diperkenalkan Datuk Ismail Sabri ketika menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Datuk Ismail Sabri dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pada pagi 22 Februari.

Mantan naib presiden Umno itu dilaporkan tidak sedarkan diri di kediamannya sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan stabil selepas menerima rawatan.

Anak lelaki beliau, penyanyi yang juga pelakon Dafi, 37 tahun, mengatakan bapanya mengalami tekanan darah tinggi dan mengadu sakit dada.

Segelintir pihak mengaitkan masalah kesihatan Datuk Ismail Sabri dengan penahanan bekas pegawainya itu, yang ditahan reman sejak 21 Februari.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan membabitkan empat pegawai yang dikaitkan dengan Datuk Ismail Sabri.

“Kita harap SPRM dapat menjalankan siasatan dan melakukan keadilan dan kredibiliti selama ini menjadi garis utama integriti SPRM,” kata presiden Umno itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg