Bahasa Melayu puitis pempengaruh curi perhatian anak muda
Bahasa Melayu puitis pempengaruh curi perhatian anak muda
Bekas pegawai polis, Yusoff Rasid, serlah bakat dalam ‘Berani Lakon!’
Bahasa Melayu puitis pempengaruh curi perhatian anak muda
Ramai mungkin mengenali pempengaruh popular, Yusoff Rasid, melalui lakonan sketsa berbahasa Melayu puitis yang disampaikan dengan personaliti yang memikat, seolah-olah mengajak netizen mengimbau kembali zaman kegemilangan filem seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, di laman media sosial.
Kandungan beliau biasanya diawali dengan frasa, “In Malay, we don’t say… (Dalam pepatah Melayu, kami tidak kata), kini cukup melekat dalam ingatan masyarakat Singapura, apatah lagi disampaikan dengan suara ikonik Yusoff, bak jejaka Melayu terakhir itu.
Yusoff berkongsi idea itu setelah melihat satu trend di TikTok oleh pempengaruh berbangsa Arab yang menyampaikan budaya percakapan mereka menerusi sketsa jenaka.
Dalam satu sesi wawancara bersama Berita Harian (BH) di Mediacorp Campus baru-baru ini, Yusoff, 29 tahun, berkata:
“Bagi saya, apabila menciptakan kandungan, saya lebih suka ‘go with the flow’ (ikut rasa hati) dan pastikan ia bermakna pada umum.
“Saya memang meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dan pasti masyarakat Melayu cukup sebati dengan karya beliau.
“Pada awalnya, saya cuma mendengarkan lagunya di media sosial.
“Kemudian, saya perhatikan di TikTok, ada orang Arab membuat kandungan jenaka berbunyi, “In Arab, we don’t say…” (Dalam bahasa Arab, kami tidak kata).
“Dari situlah ideanya muncul. Saya fikir ini satu trend yang menarik dan ingin cuba olah dalam versi Melayu pula.”
Yusoff tidak menjangka kandungannya akan mendapat sambutan yang begitu hangat di TikTok, sehingga menarik perhatian penonton di Malaysia.
“Di pejabat, saya biasanya menggunakan bahasa Inggeris, tetapi saya juga ingin mempromosikan bahasa Melayu dengan cara yang berbeza daripada apa yang lazimnya ada di media sosial, yang rata-rata bersifat stereotaip.
“Saya tidak pula menjangka kandungan itu akan mendapat sambutan hangat seperti ini. Lebih penting lagi, saya ingin menarik minat anak muda untuk lebih menghargai bahasa ibunda mereka,” kongsi Yusoff.
Menurutnya, peluang menjadi seorang pencipta kandungan berlaku secara tidak sengaja.
Beliau, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai polis, antara 2018 dengan 2021, mengakui minatnya dalam bidang lakonan dan perfileman telah berputik sejak sekian lama.
“Saya memang mempunyai minat dalam bidang lakonan dan perfileman sejak dulu lagi, namun saya tiada pengalaman atau latar pendidikan formal dalam bidang itu.
“Saya banyak meluangkan masa untuk mempelajari ilmu itu sendiri melalui YouTube.
“Keputusan untuk menjadi pegawai polis dibuat atas alasan praktikal, kerana perlu menyara keluarga.
“Setelah tempoh perkhidmatan tamat, barulah saya memberanikan diri untuk menceburi bidang media,” katanya, yang kini bernaung di bawah syarikat media, SGAG.
Pada mulanya, Yusoff menceburi bidang media sebagai jurukamera di SGAG.
Di situ, beliau mula mempelajari selok-belok dunia kamera serta mempertingkatkan kemahiran dalam bidang media.
Pada masa yang sama, pengalaman melakonkan sketsa yang dimuat naik ke laman media sosialnya turut memperkaya pengetahuan dan pemahamannya dalam bidang lakonan, sehingga diberi peluang untuk menyertai program realiti hiburan, ‘Berani Lakon!’, terbitan Oonik di Mediacorp Suria, baru-baru ini.
“Pengalaman lakonan memang bermula dari situ (lakonan sketsa dalam media sosial), tetapi agak terhad dan berbeza ketika berada dalam program Berani Lakon!.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana diberi peluang menonjolkan bakat lakonan melalui program ini, terutamanya memandangkan saya bukan berasal dari bidang hiburan atau lakonan,” cerita Yusoff.
Biarpun pengalaman lakonan tersebut membantunya dari segi persiapan mental, beliau tetap mengekalkan sifat rendah hati dalam usaha mengasah lagi bakatnya, selain sentiasa bersedia menerima tunjuk ajar daripada mentor dengan hati terbuka.
“Walaupun saya ada sedikit pengalaman dalam lakonan, saya sentiasa harus rendah hati dan meluaskan minda menerima segala didikan dengan baik.
“Saya bersyukur digandingkan dengan mentor seperti pelakon berpengalaman, Fir Rahman, yang mengubah pandangan saya tentang dunia lakonan.
“Saya sedar sesiapa pun boleh berlakon, tetapi untuk menjadikan watak itu nyata dan hidup sangat sukar,” ujarnya.
Yusoff berhasil menjadi antara finalis di pusingan akhir program tersebut, yang telah melabuhkan tirainya pada 10 Februari.
Program, Berani Lakon! boleh ditonton semula melalui aplikasi mewatch atau di YouTube, Mediacorp Entertainment.

