Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakat remaja terima dua pencalonan bagi pengacara, bawa watak mangsa dera

May 21, 2025 | 5:30 AM
Nik Aqimi, Bakat Cilik, Pesta Perdana
Md Nik Aqimi Hashim selesa mengacara dan berlakon kerana gemar menghiburkan orang ramai dengan perkongsian kisah yang mampu menyentuh jiwa mereka dan membantu mereka merenung tentang kehidupan. - Foto INSTAGRAM NIK AQIMI

Air mata pelakon remaja, Md Nik Aqimi Hashim mencurah-curah, dalam hampir setiap babak sedih dan pilu yang dijayakan dalam drama S.P.Y (Musim Kedua).

Nik, 13 tahun, akui tidak mudah untuk menghidupkan watak anak yatim di rumah tumpangan yang memendam rasa terseksa kerana didera secara seksual oleh orang yang dipercayai.

Pada masa yang sama, apabila pelajar menengah dua Sekolah Menengah North Vista di Rivervale Link ini menggalas amanah sebagai pengacara buat kali pertama dalam peraduan adu bakat, Juara Mic Junior (Musim Kedua), dia rasa satu tanggungjawab besar perlu dipikul di pundaknya.

Mujurlah, dua rakan pengacara dewasa, Zhin Sadali dan Farah Farook, membantunya mengemudi peranan tersebut dengan memastikan Nik dapat mengawal perasaan gementar atau bimbangnya.

Hasil kerja keras dan rezeki bakat ramah ini, maka dia menerima dua pencalonan bagi kategori ‘Bintang Cilik Terbaik’ dalam Pesta Perdana, yang akan berlangsung di Teater Mediacorp pada 24 Mei ini.

Dua pencalonan itu adalah bagi Juara Mic Junior (Musim Kedua) dan S.P.Y (Musim Kedua).

Nik bersaing dengan tiga rakannya, Adrianna Putri (Mencari Marina), Mishall Kiara (StigMa Lea) dan Shaqeel Jailani (Makan Squad).

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Nik, anak bongsu dalam lima beradik, berkata:

“Saya sebenarnya tak sangka dicalonkan bagi dua program ini sebab ia merupakan antara tugas paling susah yang pernah saya hadapi sepanjang tujuh tahun terlibat dalam program televisyen.

“Tak mudah nak mengacara di hadapan penonton secara ‘live’ dan tak mudah nak menangis banyak kali dalam drama, membayangkan keadaan kanak-kanak yang tertekan kerana didera secara seksual dan takut untuk memberitahu sesiapa tentang pengalaman ngeri lagi menggugat emosi itu.”

Bagaimanapun, Nik harus mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya, Encik Hashim Abdul Jaffar dan Cik Rosilawatee Hussein kerana menjadi tulang belakangnya selama ini.

“Sejak awal pembabitan saya dalam dunia televisyen, bapa saya ialah jurulatih berlakon saya. Sebab beliau berpengalaman menjadi bakat cilik pada era 1980-an dan aktif dalam Bengkel Kanak-Kanak Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), maka beliau tahu selok belok bagaimana nak membawa watak sedih atau wujudkan keyakinan diri dalam membawa sesuatu peranan.

“Ibu saya pula ialah pengurus yang membantu saya mengatur jadual, menerima tawaran berlakon dan berunding dengan penerbit soal bayaran. Beliau juga menghantar dan mengambil saya daripada set penggambaran,” kongsi Nik.

Encik Hashim merupakan bakat cilik yang pernah muncul dalam program kanak-kanak kegemaran ramai, Lima Sekawan.

Ditanya mengenai apa yang disenangi tatkala berlakon, Nik menjelaskan peluang bertemu tokoh dalam dunia arahan dan lakonan seperti Gavin Yap dari seberang Tambak dalam set S.P.Y.

“Sebab saya bercita-cita untuk tebarkan sayap saya ke Malaysia suatu hari nanti macam Datuk Aaron Aziz dan Datuk Adi Putra, maka saya teruja bertemu Uncle Gavin yang banyak kongsi panduan berlakon,” jelasnya.

Setelah tujuh tahun berkecimpung dalam bidang seni dan menjayakan drama seperti Cosmo Couple dan Haikal Nak Jadi Cef, Nik dinasihati artis lebih berpengalaman agar kekal merendah hati dan tidak mudah putus asa.

“Orang-orang lebih berpengalaman memberitahu saya, jangan mudah putus asa dan terus kekal merendah hati sebab semakin kita jadi seperti padi, semakin berisi semakin tunduk, rezeki kita akan terus ada untuk tempoh masa lebih panjang,” jelasnya yang idamkan peranan sebagai individu psikotik yang mudah terganggu emosinya, sebagaimana yang pernah dibawa pelakon idolanya, Norman Ishak, dalam Identiti.

Idolanya dalam dunia pengacaraan? Siapa lagi kalau bukan ikon hiburan Singapura, Najip Ali, yang sentiasa menghiburkan dan berjaya menjana program relevan yang kreatif seperti Berani Nyanyi dan Kaki Nyanyi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg