Kejayaan projek album Belagu II (Belagu 2) membuktikan sentuhan seni komposer terkenal Malaysia, Aubrey Suwito, 58 tahun, kekal relevan apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang kategori Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM 24).
Hasil kemenangan itu, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000 ($61,040) melalui Dana Kandungan Digital (DKD).
Acara berprestasi tersebut diadakan di dewan konsert Arena of Stars, Genting Highlands, Malaysia pada 14 September, dan disiarkan secara langsung melalui siaran TV2, RTM Klik dan Nasional FM.
Sementara itu, album yang dirakam oleh penyanyi Dayang Nurfaizah itu menewaskan empat lagi album hebat iaitu Janji yang juga karya Dayang; Imaji (Aina Abdul); Imaji Deluxe Edition (Aina Abdul), dan SITISM (Datuk Seri Siti Nurhaliza).
Ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM), Aubrey tidak pernah menyangka diberi tanggungjawab menghasilkan album penuh selain merasakan bingkisan terbabit dekat di hatinya.
“Saya jarang diberi tanggungjawab untuk terbitkan satu album penuh. Namun, dalam Belagu II, semua lagu sangat dekat dengan hati saya.
“Saya dibesarkan di Melaka dengan lagu sebegini dan apabila mendapat peluang untuk terbitkan lagu pasaran Malaysia, saya berasa bangga.
“Saya sangat berterima kasih kepada Dayang dan kumpulan kakitangannya serta pasukan yang terlibat dalam projek Belagu II,” katanya ketika ditemui BHM selepas majlis penganugerahan AIM 24 di Arena of Stars.
Aubrey berkata, visi projek Belagu II adalah untuk menghasilkan album dengan nilai seni, bukan untuk meraih populariti.
“Kami tidak sasarkan apa-apa anugerah. Kami hanya mahu buat album seni.
“Saya kagum dengan Dayang kerana dia ada visi untuk menghasilkan album seperti Belagu II.
“Saya ingat lagi, ketika kali pertama berjumpa dengannya, Dayang ingatkan projek ini bukan untuk populariti,” tambahnya lagi.
Pada masa sama, Aubrey juga mengakui menyimpan impian sama seperti Dayang iaitu menghasilkan album seni.
“Dengan kehadiran Dayang, impian itu seakan-akan hidup dan jadi kata sepakat.
“Maka itu, saya sangat bersyukur,” kata Aubrey yang turut menyifatkan kemenangan pada AIM 24 sebagai peluang sekali seumur hidup.
Beliau turut memuji kerjasama Dayang sepanjang proses rakaman album Belagu II.
“Sangat mudah bekerjasama dengan Dayang. Vokal dia sangat mulus. Jadi, saya tidak perlu buat banyak kerja.
“Saya hanya kendalikan susunan muzik dan keseluruhan kerja penerbitan album,” ujarnya.
Selain kemenangan Album Terbaik, Aubrey turut meraih piala bagi Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa) menerusi lagu Rindu Menyapa, nyanyian Dayang.
Di samping itu, penat lelah dan kerja keras Aina Abdul untuk menggenggam sekurang-kurangnya satu piala AIM 24 akhirnya menjadi kenyataan.
Jika sebelum ini, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 31 tahun, sekadar melihat wajah penyanyi lain terpampang di kaca televisyen untuk menerima piala AIM, kali ini tiba gilirannya pula untuk bersinar dengan koleksi piala yang dimenangi.
Aina yang dicungkil bakat menerusi program realiti terbitan TV3, Mentor Legend pada 2014 menganggap kejayaan menggondol empat piala pada AIM 24, menjadi detik paling berharga.
Pada acara tersebut, beliau memenangi empat kategori iaitu, Vokal Wanita Terbaik, Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik melalui single Jangan Mati Rasa Itu.
Satu lagi kategori diraih Aina adalah Rakaman Album Terbaik menerusi album berjudul, Imaji Deluxe Edition.
Bagi kategori tumpuan seperti Vokal Wanita Terbaik, Aina menewaskan empat nama besar lain seperti Siti Nurhaliza, Marsha Milan, Liza Hanim dan Ernie Zakri.
Menurut Aina, beliau akan mengenang detik itu sepanjang bergelar anak seni di rantau ini.
“AIM antara anugerah yang saya tunggu dalam hidup saya.
“Ini boleh dikatakan salah satu anugerah ikonik di Malaysia selain Anugerah Juara Lagu (AJL). Jadi, saya memang impikan untuk menggenggam piala anugerah ini.
“Piala ini boleh dikatakan penguat terbaru saya untuk terus berkarya. Saya tidak sangka dihargai seperti ini.
“Lagu Jangan Mati Rasa Itu adalah antara karya yang sangat bermakna dalam hidup saya,” kata Aina.
Aina yang buat julung-julung kali dicalonkan dalam AIM mencipta sejarah peribadi dengan pencalonan merangkumi kategori Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik, dan Album Terbaik yang membabitkan dua pencalonan.
Penyanyi berpenampilan unik itu turut tercalon dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/Drama serta Vokal Wanita Terbaik.
Dengan jerih perih dilalui sepanjang bergelar penyanyi dan penulis lagu lebih sedekad, Aina mengakui pengiktirafan diterima memiliki makna begitu besar.
Biarpun pernah beberapa kali melalui fasa terendah dalam hidupnya, Aina percaya aturan yang ditetapkan Tuhan pasti akan menghadirkan sinar di tengah-tengah kekusutan.
“Saya datang dari latar belakang sebagai penulis lagu.
“Kadang-kadang saya terfikir, ‘Apa yang saya buat dan cuba hendak capai dalam industri ini?’
“Saya akui sebagai penyanyi, pasti ada pelbagai perkara dirasai.
“Sebagai penulis, adakalanya perlu menepati ‘deadline’ dan kita buat apa yang perlu.
“Tetapi, saya percaya ilham daripada Allah itu benar.
“Saya sentiasa berterima kasih kerana dalam titik terendah hidup, Allah sentiasa hadirkan karya ataupun melodi lagu terbaik untuk saya,” ujar Aina.
Mengulas kecaman dan kata negatif diterima sepanjang berkarya, Aina menyifatkan perkara itu sebagai langkah memperbaiki diri.
Namun begitu, Aina menjadikan sokongan peminat tegar sebagai penawar yang menguatkan semangatnya.
“Saya boleh katakan kritikan mereka itu walaupun perit untuk saya dengar, tetapi, perkara itu juga yang kuatkan saya secara tidak langsung.
“Disebabkan mereka jugalah nama saya dipetik.
“Itu pun salah satu anugerah untuk saya, bagi orang ingat siapa Aina Abdul.
“Saya berterima kasih kepada ‘Aination’ (kelab peminat) yang sentiasa menyokong saya.
“Saya mungkin tidak baca semua komen, tetapi, mereka baca dan sentiasa menjadi ‘perisai’ saya,” kata Aina.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg