Biduanita Negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berkongsi keterujaan dapat mendendangkan lagu, The Moon Represents My Heart, nyanyian asal penyanyi Taiwan, mendiang Teresa Teng, pada majlis malam sempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, pada 16 April.
Persembahan tersebut malah mendapat perhatian pemimpin serta delegasi kenamaan luar.
Siti, 46 tahun, berkata beliau menerima banyak maklum balas yang rata-rata menyukai dan memuji kefasihan beliau menyanyi dalam bahasa Mandarin, lapornya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
“Saya percaya jika ke luar negara dan mendengar artis menyanyikan lagu bahasa Melayu pasti menerbitkan kekaguman.
“Mungkin itulah yang berlaku kepada Presiden China waktu itu. Lagu ini pula memang popular dan semua orang tahu. Cuma, cara nyanyian saya sahaja berbeza.
“Saya dapat kiriman pesanan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Suami saya di rumah pun dapat mesej kerana rakannya yang berada pada majlis berkenaan beritahu delegasi dari China memuji saya dengan mengatakan nyanyian saya sempurna,” katanya apabila ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri CTDK Holdings dan Yayasan Nurjiwa di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 19 April.
Menurut penyanyi lagu, Aku Bidadari Syurgamu itu memberitahu, pemilihan lagu berkenaan dibuat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
“Lagu ini memang karya legenda. Rasanya semua orang Cina tahu lagu ini. Cuma, susunan muzik kali ini digubah untuk disesuaikan dengan orkestra.
“Saya sudah menyanyikannya sejak dahulu lagi. Cuma, saya belajar lagi untuk acara seperti ini. Saya dengar balik lagu daripada penyanyi asal, terutama dari segi sebutan.
“Alhamdulillah, sebutan saya betul dan mereka pun terhibur. Saya sangat bersyukur mereka terhibur dan menghargai nyanyian saya.
“Saya anggap ini salah satu sumbangan kepada negara. Lagipun Motac banyak membantu dalam kerja seni saya,” katanya yang turut menyanyikan lagunya, Cindai.
Selain Siti, majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan Aina Abdul yang menyampaikan lagu ikonik Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Tunggu Sekejap, dan karya Mandarin, Wo Yao Ni De Ai.
Majlis penuh berprestij yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Malaysia, itu turut dihadiri pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan barisan Kabinet.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg