Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belajar cara siap nasi ulam dalam suasana keramaian

Mar 18, 2025 | 5:30 AM
Kenali budaya serumpun melalui sesi demonstrasi hidangan nasi ulam oleh Kebon Dapor – projek bercucuk tanam herba warisan Melayu dan platform kulinari masakan Melayu tradisional, Dapur Cahaya, yang dibawakan sempena Pesta Raya 2025. Sesi demonstrasi akan berlangsung pada 3 Mei, 11 pagi dan 3 petang, di Esplanade White Room.
Kenali budaya serumpun melalui sesi demonstrasi hidangan nasi ulam oleh Kebon Dapor – projek bercucuk tanam herba warisan Melayu dan platform kulinari masakan Melayu tradisional, Dapur Cahaya, yang dibawakan sempena Pesta Raya 2025. Sesi demonstrasi akan berlangsung pada 3 Mei, 11 pagi dan 3 petang, di Esplanade White Room. - Foto ESPLANADE - TEATER DI PERSISIRAN

Selain untaian pementasan teater, tarian dan muzik Nusantara yang memukau, Pesta Raya 2025 Edisi ke-24 kali ini, turut menawarkan kegiatan mengenali hidangan nasi ulam.

Sesi itu boleh disertai oleh mereka yang berusia 13 tahun ke atas.

Buat kali pertama, acara gilang-gemilang ini menghimpunkan projek nyala rasa, Raja Mohd Fairuz, yang diberi nama Kebon Dapor dan platform kulinari masakan Melayu tradisional oleh Suria Insyirah, Dapur Cahaya dalam satu ruang.

Mereka akan berkongsi keunikan hidangan nasi ulam melalui sesi demonstrasi secara langsung di depan khalayak ramai.

Raja Mohd Fairuz membuka Kebon Dapor, satu ladang bandar dan ruang masyarakat, yang terletak di City Sprouts @ Punggol.

Ladang itu dikhususkan untuk memelihara warisan masakan Melayu dan pertanian mampan.

Ladang yang diilhamkan dari persekitaran dan rumah kampung Melayu itu mengusahakan makanan yang digunakan secara tradisional dalam masakan Melayu seperti ulam raja, daun kari, cili dan herba lain.

Sementara itu, Dapur Cahaya, yang diasaskan oleh Suria Insyirah, adalah sebuah wadah kulinari dengan matlamat mengangkat serta melestarikan warisan makanan tradisional Melayu sambil berkongsi kisah dan resipi turun-temurun keluarganya.

Usaha itu dilakukan menerusi perkongsian kandungan yang menarik di media sosial dan penganjuran bengkel berskala kecil, yang mendekatkan masyarakat kepada makanan tradisional Melayu.

Melalui sesi demonstrasi membuat nasi ulam, hadirin akan berpeluang untuk menikmati pengalaman kulinari yang tidak dapat dilupakan sambil mengenali budaya makanan Melayu yang sarat dengan herba yang bermanfaat bagi kesihatan badan.

Seperti yang dikongsikan oleh Cik Hanie Nadia Hamzah selaku Penerbit Pesta Raya kepada Berita Harian (BH):

“Ini adalah kali pertama kami menganjurkan acara yang khusus menjurus kepada makanan Melayu.  

“Sebelum ini, kami lebih menonjolkan seni dan kraf tangan. Namun, kali ini, bagi memperkaya pengalaman deria hadirin, kami ingin mencuba sesuatu yang berbeza dengan mengadakan demonstrasi membuat nasi ulam.  

“Sejujurnya, kami juga teruja mendalami lebih lanjut tentang proses penyediaan hidangan tradisional ini dan berharap pengalaman ini akan memberi manfaat kepada masyarakat.”

Demonstrasi cara membuat nasi ulam selama dua jam akan diadakan dalam dua sesi pada 3 Mei, 11 pagi dan 3 petang, di Esplanade White Room.

Mereka yang berminat boleh mendaftarkan diri dan membayar tiket berharga $20 melalui laman web Esplanade atau Sistic, mulai 18 Mac pada 3 petang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg