Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta Raya 2025 rai seni dan budaya Nusantara

Meriah dengan nostalgia teater pascaperang ‘Salina’, karya puitis Habsah Hassan dan irama Gen-Z
Mar 18, 2025 | 5:30 AM
Salah satu daya tarikan utama Pesta Raya 2025 adalah pementasan adaptasi novel sastera moden oleh sasterawan, A. Samad Said, berjudul, ‘Salina’, yang akan disajikan kumpulan teater veteran Singapura, Teater Kami, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, dari 2 hingga 4 Mei.
Salah satu daya tarikan utama Pesta Raya 2025 adalah pementasan adaptasi novel sastera moden oleh sasterawan, A. Samad Said, berjudul, ‘Salina’, yang akan disajikan kumpulan teater veteran Singapura, Teater Kami, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, dari 2 hingga 4 Mei. - Foto ESPLANADE - TEATER DI PERSISIRAN

Berpegang pada akar tujuan dalam memastikan seni dan budaya Nusantara terus dilestarikan dan kekal relevan, terutama dalam kalangan generasi muda, Pesta Raya 2025, kembali untuk menyemarakkan semangat cinta seni dan budaya masyarakat setempat.

Setiap tahun, Pesta Raya, anjuran pusat seni Esplanade, mengetengahkan dan meraikan kepelbagaian ikon dan bakat serantau menerusi sajian persembahan teater, tarian dan muzik Nusantara yang memukau.

Memasuki edisi ke-24, Pesta Raya 2025 bakal menyajikan pelbagai bentuk hiburan yang membawa penonton menyelami sejarah pascapeperangan era 1950-an melalui pementasan teater, menyegarkan kembali kenangan muzik yang penuh nostalgia, serta memberi ruang untuk meneroka seni kontemporari.

Memeriahkan lagi acara penuh gemilang ini, hadirin turut berpeluang menikmati pelbagai barangan eksklusif seperti pakaian dan kraf tangan hasil karya pereka dan usahawan serantau melalui acara pasar lambak, Pasar Pesta.

Pasar Pesta yang dibawakan dengan kerjasama Me-you Market, dijangka adalah yang terbesar dan menampilkan lebih 35 reruai.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di pejabat SPH Media pada 12 Mac, Penerbit Pesta Raya, Cik Hanie Nadia Hamzah, 44 tahun, berkata:

“Selama 10 tahun menganjurkan acara ini, saya telah meluangkan masa untuk memahami minat generasi kini tanpa mengabaikan bakat legenda kita.  

“Saya rasakan penting untuk menyajikan rangkaian hiburan yang sesuai dengan selera semua peringkat usia, supaya pendedahan terhadap seni dan budaya dapat diperluas.  

“Saya juga percaya kerjasama dengan masyarakat di luar Kota Singa amat penting, agar bakat tempatan dapat mempelajari amalan baik yang dipraktikkan oleh penggiat seni dari luar, dengan harapan ia dapat menaik taraf dan memajukan kedudukan seni dan hiburan di tanah air.”

Salah satu tarikan utama Pesta Raya 2025 adalah pementasan karya sastera moden, Salina, yang akan dipentaskan kumpulan teater veteran Singapura, Teater Kami, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade, dari 2 hingga 4 Mei.

Karya Salina merupakan sebuah novel hasil tulisan sasterawan mapan, A. Samad Said, mengenai perjuangan seorang wanita pada zaman 1950-an, yang terpaksa melacurkan diri, demi bertahan hidup di Singapura pada tempoh pascapeperangan.

Diarahkan oleh penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Atin Amat, pementasan itu menghidupkan kembali kisah menyayat hati yang kali terakhir dipersembahkan hampir tiga dekad lalu, pada 1993 di Pusat Drama.

Salina menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Ariati Tyeb Papar, Fir Rahman, Rizal Aiman, Amirah Yahya, Suhaila M Sanif, Rusydina Afiqah dan Rafaat Haji Hamzah.

Esplanade telah menugaskan Teater Kami untuk kembalikan pementasan itu yang akan berlangsung dalam empat set persembahan iaitu 2 Mei bermula 8 malam; 3 Mei pada 3 petang dan 8 malam; dan 4 Mei bermula 3 petang.

Buat julung-julung kalinya juga, Pesta Raya 2025 memberi penghormatan kepada penulis lirik legenda kelahiran Singapura, Habsah Hassan, melalui konsert Dari Sudut Hati, Habsah Hassan.

Habsah Hassan merupakan seorang penulis lirik wanita yang dihormati dengan kerjaya yang melangkaui lebih lima dekad, dengan lebih 1,000 lagu dihasilkan. 

Beliau yang dikenali dengan gaya penceritaan yang puitis dan penuh emosi itu telah bekerjasama dengan penyanyi tersohor seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Zaiton Sameon, Rahimah Rahim dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Konsert dengan iringan Orkestra Tradisional Malaysia, menghidupkan lagu klasik dan ‘tangkap leleh’ ciptaan Habsah Hassan seperti Merisik Khabar lantunan biduan ikonik, Sudirman dan Cinta Nusantara yang dinyanyikan penyanyi popular zaman 1990-an dengan genre muzik Nusantara dan pop tradisional, Sheqal.

Bagi menggamatkan lagi suasana, konsert itu menghadirkan penyanyi Malaysia dan Singapura seperti Datuk Jamal Abdillah, Rahimah Rahim, Sufie Rashid, Rahilah Rashun dan Arish.

Senarai artis terlibat dilengkapkan dengan kehadiran kumpulan G.T.S. yang terbentuk melalui rancangan realiti nyanyian, Kaki Nyanyi, anjuran Mediacorp. Mereka terdiri daripada Haqim Mokhtar, Rico Setiabudi dan Sio Lubis.

“Amat penting untuk kami mengangkat dan memberi penghormatan kepada karya muzik Habsah Hassan.

“Walaupun beliau sudah berhijrah ke Malaysia, namun, berdasarkan apa yang dikongsikan olehnya, sebahagian besar karya hebatnya dicipta di Singapura,” tambah Cik Hanie.

Konsert Dari Sudut Hati, Habsah Hassan, akan berlangsung pada 2 Mei, 8 malam di Dewan Konsert, Esplanade.

Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, yang terkenal dengan lagu, ‘Bila Aku Sudah Tiada’ dan ‘Pagi Yang Gelap’, akan memeriahkan acara Pesta Raya 2025 pada 2 Mei di Studio Annexe, Esplanade.
Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, yang terkenal dengan lagu, ‘Bila Aku Sudah Tiada’ dan ‘Pagi Yang Gelap’, akan memeriahkan acara Pesta Raya 2025 pada 2 Mei di Studio Annexe, Esplanade. - Foto ESPLANADE - TEATER DI PERSISIRAN
Penyanyi Indonesia, Pamungkas, yang terkenal dengan lagu galau, ‘To The Bone’ dan ‘I Love You But I’m Letting Go’, akan turut menambah lagi warna pada acara Pesta Raya 2025 melalui persembahan yang akan berlangsung pada 3 Mei di Studio Annexe, Esplanade.
Penyanyi Indonesia, Pamungkas, yang terkenal dengan lagu galau, ‘To The Bone’ dan ‘I Love You But I’m Letting Go’, akan turut menambah lagi warna pada acara Pesta Raya 2025 melalui persembahan yang akan berlangsung pada 3 Mei di Studio Annexe, Esplanade. - Foto ESPLANADE - TEATER DI PERSISIRAN

Dalam pada itu, acara muzik yang akan diadakan di Studio Annexe, Esplanade turut menampilkan persembahan daripada tiga bintang hebat di rantau ini yang bakal memikat hati anak muda, khususnya dalam kalangan Generasi Z.

Mereka terdiri daripada Noh Salleh, seorang legenda indie; bintang Indonesia, Pamungkas; serta kolektif muzik tempatan, G-Town.  

Pesta itu tidak hanya meraikan budaya, malah mengangkat seni kontemporari yang berani dan mendalam seperti tarian, Jarum Dalam Jerami, hasil ciptaan pereka tari Hartati dari Indonesia, yang mengulas tentang perubahan sosial Indonesia dalam tempoh dua dekad terakhir.

Selain itu, penghibur serba boleh Hafidz Rahman juga bakal membuat penampilan istimewa dengan monolog komedi bertajuk, My Name Is (Not) Khan, arahan Rizman Putra, sebuah karya yang diilhamkan daripada kecintaannya terhadap dunia Bollywood.  

Menyentuh harapannya, Cik Hanie berharap kerjasama itu dapat menarik minat generasi muda untuk menyertai dan menikmati pengalaman unik Pesta Raya, terutama bagi mereka yang tidak berpeluang mengenali kekayaan budaya Nusantara.

Tiket bagi kesemua acara dan persembahan di Pesta Raya boleh ditempah melalui laman web Esplanade dan Sistic mulai 18 Mac pada 3 petang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg