Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bintang ‘Big Stage’: Masihkah mereka bersinar?

SPEKTRA SENI
Aug 2, 2025 | 5:30 AM
sarah suhairi, big stage
Pada 2024, juara ‘Big Stage’ Musim 1, Sarah Suhairi berduet dengan suaminya, Aswad Anuar, seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, menerusi lagu, ‘With You’. Lagu itu menjadi kenangan manis sempena penyatuan mereka sebagai suami isteri pada 26 Julai 2024. - Foto fail

Sejak akhir-akhir ini, telinga saya sering dimanjakan dengan alunan lagu P. Ramlee Saloma, nyanyian ‘boyband’, Alpha, yang terbentuk melalui pertandingan realiti nyanyian terbitan Astro, Big Stage Alpha.

Kini, mereka semakin rancak mengorak langkah dalam industri muzik Malaysia. Manakan tidak?

Lagu itu, yang diangkat sebagai runut bunyi drama, Thariq Ridzuwan, arahan Eyra Rahman, hadir tidak lama selepas kejayaan lagu sulung mereka, Monalisa.

Seronok juga saya ikuti perkembangan mereka melalui media sosial.

Namun, di sebalik kejayaan mereka, satu persoalan terbit di benak saya.

Ke manakah perginya barisan juara Big Stage yang terdahulu?

Adakah kerjaya para juara ini pudar seiring lenyapnya sorakan penonton di malam kemenangan?

Nama-nama seperti Sarah Suhairi (juara Big Stage Musim 1), Han Byul (Musim 2), Azzam Shah (Musim 3), Elica Paujin (Musim 4) dan Nadeera (Musim 5), mula terlintas satu demi satu.

Dalam Big Stage Musim 1 (2018), Sarah, contohnya, pernah mencuri perhatian ramai dengan kebolehannya menyampaikan lagu K-Pop, terutama lagu Ddu-Du Ddu-Du, nyanyian kumpulan pop Korea, Blackpink.

Beliau sempat mengukir nama menerusi lagu seperti, Nyawa & Raga, Sah, dan Pedih di bawah naungan Rusa Music. 

Pada 2024, beliau berduet dengan suaminya, Aswad Anuar, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, menerusi lagu, With You

Menurut Sarah, lagu tersebut bukan untuk mencorak masa depan sebagai pasangan duet, sebaliknya hanya sebagai kenangan manis sempena penyatuan mereka sebagai suami isteri pada 26 Julai 2024.

Di sisi lain, walaupun hanya menduduki tempat ketiga dalam Big Stage Musim 4 (2022), penyanyi yang juga komposer muda, Aisha Retno, kini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. 

Beliau tampil sebagai penyanyi jemputan dalam Big Stage Alpha di peringkat akhir pada 15 Jun, membuktikan kerelevanannya sebagai artis muda bergerak bebas. 

Lebih membanggakan, pada 25 Julai lalu, Aisha melancarkan bahagian pertama album kecil berjudul RE:HAB, menampilkan kerjasama dengan komposer Malaysia dan Indonesia seperti, Ade Govinda.

Aisha juga bakal mengadakan persembahan, The A.I.S.H.A Experience, di JioSpace, Petaling Jaya, Malaysia, pada 20 September, menandakan langkah berani yang menunjukkan beliau enggan terus dibayangi trauma pembatalan konsert solonya pada November 2024.

Namun, bagaimanakah pula dengan kelibat Elica Paujin, Han Byul atau Azzam Shah? 

Nama-nama yang suatu ketika dulu popular, kini seakan menyepi.

Di sinilah saya percaya perlunya sokongan yang lebih kukuh, bukan hanya pada malam kemenangan, tetapi lebih penting, pada fasa awal pembentukan kerjaya. 

Dunia muzik kini pesat berkembang. Setiap hari, ada sahaja bakat baru yang lahir di laman media sosial seperti, TikTok, YouTube atau Instagram. 

Jika mereka yang menang dalam pertandingan realiti tidak dipandu dan dibimbing secara strategik, besar kemungkinan mereka akan tenggelam dalam lautan suara-suara baru ini.

Lalu, saya terfikir tentang pendekatan di negara jiran, khususnya di Indonesia. 

Dalam musim ke-13 Indonesian Idol, semua peserta ‘Top 10’ atau 10 Terbaik diberi kontrak di bawah satu label, Universal Music Indonesia. 

Mereka termasuk juara Indonesian Idol Musim 13, Shabrina Leanor; naib juara, Fajar Noor; Mesa Hira, Vanessa Zee, Angie Carvalho, Piche Kota, Kenriz, Rara Sudirman, Shakirra Vier dan Anjelia Dom.

Malah, pemuzik dan komposer berpengalaman seperti Andi Rianto dan Yovie Widianto turut turun padang, memberikan iringan dan bimbingan dalam persembahan peserta dalam Indonesian Idol Musim 13.

Yovie turut mencipta lagu kemenangan dalam dua versi berbeza berjudul Pendampingmu #TahtaHatiku (nyanyian Shabrina Leanor) dan Tahta Hatiku #Pendampingmu (nyanyian Fajar Noor), buat juara dan naib juara musim tersebut.

Perbandingan ini bukan untuk menentukan siapa lebih hebat dalam mencungkil dan melahirkan bakat baru, tetapi untuk menunjukkan pentingnya ‘jambatan’ antara kemenangan dengan kemampanan. 

Tidak cukup sekadar menobatkan mereka sebagai juara, bakat baru ini juga perlu disediakan landasan kukuh untuk berkembang, meneroka kreativiti dan membina kelab peminat sendiri.

Harapan saya hanya satu – iaitu agar industri muzik di rantau ini tidak meletakkan nilai seseorang penyanyi semata-mata berdasarkan prestasi semasa pertandingan dan kemenangan.

Sebaliknya, berilah mereka ruang untuk tumbuh kerana suara yang pernah menyentuh hati jutaan, tidak seharusnya dibungkam begitu sahaja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg