Sebut sahaja tentang kumpulan trio adik-beradik, KRU, ikatan mereka bukan sekadar terjalin melalui muzik, malah ia berakar daripada kasih sayang keluarga yang utuh.
Bagi Datuk Norman Abdul Halim, 53 tahun, abang sulung dalam trio legenda ini, satu pesanan ibu bapa yang masih tersemat di hati ialah, ‘jaga hubungan adik-beradik’.
Meskipun tidak lagi mendengar nasihat seperti itu dilafazkan, ia tetap menjadi pegangan yang membuatkan hubungan adik-beradik itu kekal utuh.
Buktinya, KRU yang turut dianggotai Datuk Yusry Abdul Halim, 52 tahun; dan Edry Abdul Halim, 49 tahun; masih teguh melangkah dalam medan kreatif dengan karya yang terus berkembang, menghiburkan peminat tak kira lama ataupun baru.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di pejabat Sony Music Entertainment Singapore baru-baru ini, Norman mengenang detik-detik membesar dengan kedua-dua adiknya, Yusry dan Edry, sekali gus keakraban mereka yang menjadi antara kekuatan KRU kekal relevan.
“Kami dibesarkan dalam satu unit keluarga yang sangat rapat. Dulu, biasanya, kami akan luangkan masa bermain bola bersama di rumah.
“Bahkan, adik perempuan kami yang sering jadi penjaga gol. Tapi ada juga kebaikan dan keburukannya.
“Saya sebagai ‘abang long’ sudah dibasuh otaknya oleh kedua ibu bapa untuk menjaga adik-beradik. Itu sudah menjadi tanggungjawab saya.
“Sewaktu Yusry dan Edry masih lagi kanak-kanak riang dan ceria, mereka susah bergaul dengan orang.
“Ada kalanya tali kasut tidak diikat dan dibiarkan begitu sahaja dan macam-macam lagi kerenahnya.
“Tetapi apabila sudah semakin dewasa, mereka menemui jati diri masing-masing.
“Itu yang membuat KRU jadi lebih baik dengan tiga perwatakan dan kemahiran yang berlainan tapi, saling melengkapi,” kata Norman kepada BH.
Konsert GenKru Live In Singapore di The Star Theatre pada 28 Jun lalu turut menjadi bukti nyala rasa dan semangat mereka masih membara.
Sorakan penonton dan laungan bersama setiap lagu dinyanyikan menunjukkan bahawa ‘otai’ itu belum hilang sengat.
Bagi mengubat rindu dan menyalakan semula semangat nostalgia, KRU melancarkan album studio ke-15 berjudul, Kaset.
Album Kaset memuatkan 10 lagu yang menggabungkan unsur nostalgia era 1990-an dengan sentuhan moden, termasuk dua lagu berbahasa Inggeris bertajuk, GOAT dan High Maintenance.
Dalam album itu, KRU mencipta sejarah sebagai kumpulan muzik Malaysia pertama yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam video muzik mereka.
Norman menegaskan AI membuka ruang penerokaan baru dalam aspek visual dan kreativiti tanpa menjejas nilai artistik yang sebenar.
“Sebenarnya, untuk rakaman lagu, kami tidak gunakan AI. Ia digunakan untuk muzik video sahaja demi mendapatkan kesan visual yang diinginkan.
“Bercakap tentang kebaikan AI, saya rasa ramai artis kini menggunakan AI untuk mencari inspirasi bagi lagu mereka, misalnya.
“Bagi kami, tidaklah. Tapi, saya tahu ada dalam kalangan artis yang buat sedemikian untuk menentukan pengarahan muzik.
“Itu tidak salah sebenarnya. Jika dilihat, artis Barat mahupun P. Ramlee mempunyai inspirasi tersendiri juga.
“Kalau seseorang artis ada inspirasi dan menghasilkan karya secara ‘original’, maka tidak ada masalah.
“Ia menjadi masalah jika artis itu ‘copy’ (tiru) bulat-bulat daripada AI. Maka, hilanglah seni itu,” kata Norman.
Bagi Yusry, penggunaan AI dalam penghasilan muzik video masih merupakan satu medan baru, namun tidak terlepas daripada cabarannya.
Terutama dalam video muzik Voodoo, Yusry menggunakan AI untuk menggambarkan KRU dalam versi mereka sewaktu muda belia.
“Saya rasa dari segi penggunaan visual, buat masa ini AI masih dianggap sesuatu yang baru. Ia masih dalam fasa penerokaan.
“Tetapi bahayanya sekarang ialah dalam konteks visual, ia sudah kehilangan nilai.
“Contohnya, kalau saya nak cipta gambar King Kong melintas jalan, sesiapa pun boleh lakukannya. Jadi, dari segi visual semata-mata, ia sudah tidak begitu mengagumkan.
“Apa yang penting sekarang ialah penceritaan. Dalam muzik video KRU, saya tampilkan versi muda kami kerana itu diperlukan untuk menyampaikan naratif bagaimana KRU bermula.
“Tetapi dalam muzik video One More Time, jalan ceritanya berbeza. Ia menggambarkan KRU dalam era kini.
“Secara teknikal, sesiapa pun boleh hasilkan visual seperti itu. Tapi kalau kita tidak gunakan AI, orang lain akan guna.
“Bagi kami, kami sentiasa terbuka terhadap teknologi baru dan suka mencuba perkara yang belum pernah dilakukan.
“Alhamdulillah, dalam 30 tahun ini, kami masih menjadi antara yang pertama mencubanya.
“Walaupun sekarang ada Gen Z atau Gen Alpha, tetap juga ‘pak cik-pak cik’ ini yang meneroka dulu,” seloroh Yusry, bapa tiga anak itu.
Apabila ditanya oleh BH bagaimana keadaan mungkin berbeza jika KRU ditubuhkan dalam era media sosial, Norman berkata mereka mungkin hanya akan menjadi pencipta kandungan semata-mata, tanpa merancang untuk menghasilkan album.
Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana memulakan perjalanan muzik sejak era 1990-an.
Meski telah melalui pelbagai fasa jatuh bangun dalam industri muzik, dari era kaset hingga digital, KRU masih lagi dapat mengekalkan sokongan daripada peminat setia.
Seterusnya, mungkinkah ada pelapis bagi kumpulan KRU?
Edry, yang kini menetap di Manchester, United Kingdom, bersama keluarganya, berkongsi bahawa perkara itu pernah dibincangkan bersama dua abangnya itu.
“Ada perbincangan, kerana kami sedar terdapat komitmen yang tidak lagi dapat kami penuhi. Kami berada dalam fasa yang tidak seaktif dulu.
“Kami kini hanya memberi tumpuan kepada komitmen yang lebih besar seperti konsert dan acara berskala besar.
“Bukan niat untuk berlagak, tetapi masing-masing mempunyai komitmen sendiri.
“Lagipun, kami juga sudah lama tidak menerbitkan kumpulan muda. Dulu, kami pernah tampilkan kumpulan seperti X-Factor dan Fourteen.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk memperbaharui konsep sebegitu, supaya muzik kami dapat terus disampaikan oleh generasi muda yang benar-benar komited untuk turun padang.
“Tapi, bab tercetusnya ‘KRU Junior’ melibatkan anak-anak kami, rasanya tidaklah. Mungkin harusnya KRU dalam versi ‘baru’, untuk menyampaikan lagu-lagu kami.
“Saya tak pasti sama ada itu idea yang baik, tapi mungkin sudah sampai masanya mencari mereka yang mampu menyambung legasi kami,” kata Edry.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg