Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bintang Indonesia, Luna Maya, kini milik rakan seperjuangan, Maxime Bouttier

Pelakon filem seram, ‘Suzzanna: Buried Alive’ bangkit suasana sebak dalam hadirin apabila minta maaf, mohon restu dengan ibu, untuk nikah
May 7, 2025 | 11:04 PM
Pasangan selebriti, Luna Maya (kanan) dan Maxime Bouttier, melangsungkan perkahwinan mereka di pusat peranginan terkemuka di Bali, Indonesia, Como Shambala Estate, Desa Kedewatan, Ubud, Gianyar, pada petang 7 Mei.
Pasangan selebriti, Luna Maya (kanan) dan Maxime Bouttier, melangsungkan perkahwinan mereka di pusat peranginan terkemuka di Bali, Indonesia, Como Shambala Estate, Desa Kedewatan, Ubud, Gianyar, pada petang 7 Mei. - Foto INSTAGRAM LUNA MAYA/ILUMINEN

Jarak usia 10 tahun antara mereka bukan penghalang membina mahligai impian yang sekian lama diimpikan.

Pelakon terkenal Indonesia, Luna Maya, 42 tahun, bernikah dengan jejaka pilihan hati, Maxime Bouttier, 32 tahun, juga seorang pelakon, di sebuah pusat peranginan terkemuka di Bali, Indonesia, Como Shambala Estate, Desa Kedewatan, Ubud, Gianyar, pada petang 7 Mei.

Maxime, yang bermula sebagai model kacukan Perancis-Indonesia itu, mengenakan persalinan hitam sambil menghadiahkan mahar logam senilai 7.5 gram dan wang tunai AS$2,025 ($2,614), kepada cinta hatinya itu.

Abang kandung Luna, Tipi Jabrik, menikahkan pasangan itu yang mengadakan majlis dengan gabungan adat Bali, Jawa, dan Eropah.

Luna atau sebenarnya, Luna Maya Sugeng, merupakan bintang kacukan Indonesia dan Australia.

Maxime melamar Luna di Tokyo, Jepun pada 1 April lalu, ketika mereka bercuti dengan menghadiahkan cincin berlian 3.53 karat.

Mereka menjalin hubungan cinta sejak 2023, namun merahsiakannya hingga 2025 apabila tidak lagi segan berkongsi kemesraan di media sosial.

Projek filem seram berjudul Gundik mempertemukan Luna dan Maxime di layar lebar untuk kali pertama.

Laman Detik.Com turut menjejak percintaan kededuanya.

Kedekatan Luna dengan Maxime terjadi pada 2022 walaupun mereka pernah bertemu sekitar 2011.

Maxime mengenali Luna ketika menuntut di sebuah sekolah swasta di Denpasar, Bali, yang pernah menjadi institusi tempat Luna menuntut ilmu.

Pada majlis alumni sekolah itu, mereka saling bertegur sapa.

Momen itu yang menjadi awal kisah cinta mereka. Isteri pelakon dan pengacara, Raffi Ahmad, Nagita Slavina adalah orang penting yang menyatukan Luna dan Maxime.

Beliau memperkenalkan Maxime kepada Luna, di kala kededuanya tidak dalam status berpacaran dengan sesiapa.

Dari pertemuan itu, benih cinta perlahan-lahan tumbuh di antara mereka. Maxime mengakui bahawa dirinya memberanikan diri mengajak Luna keluar makan malam. Luna menyambut baik pelawaannya sehingga akhirnya mereka merasakan cinta benar-benar mekar di hati.

Mereka kemudian kelihatan menghadiri beberapa konsert bersama termasuk konsert Yovie Widianto dan Suga BTS.

Dalam salah satu kesempatan, Luna sempat menyampaikan pujian bahawa Maxime merupakan jejaka beraura positif.

Beliau kemudian meminta didoakan agar hubungan mereka berkekalan. Luna juga bersyukur hubungan asmaranya diterima baik orang sekeliling.

Merpati dua sejoli ini kemudian meraikan ulang tahun perhubungan cinta mereka yang pertama pada Disember 2023.

Menerusi Instagram, kededuanya memuatnaikkan foto romantis mereka.

Pada 2024, Luna dan Maxime berkongsi mereka serius dengan hubungan yang akan dibawa ke jenjang pelamin tetapi belum pasti tarikhnya bila kerana masih sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Luna sering kelihatan menemani ibu Maxime yang meninggal pada Januari 2024.

Selepas dilamar di Jepun pada 1 April 2025, Luna menulis di Instagram:

“Dengan hati yang dipenuhi cinta, aku berkata YA - untukmu, untuk perjalanan indah yang kita tulis bersama, untuk selamanya.”

Maxime juga menulis: “Kita lanjutkan ke babak seterusnya.”

Pelbagai adat istiadat dijalankan seperti upacara siraman, yang disiarkan secara langsung menerusi YouTube Luna Maya, dan TS Media, pada 6 Mei.

Bahagia sekali gus menyelimuti proses siraman Luna, menjelang pernikahannya dengan Maxime.

Air mata Luna bertitisan ketika beliau memohon doa restu dan meminta maaf kepada bondanya, Desa Maya Waltaurd Maiyer.

Nuansa adat Jawa terasa kental dalam acara ini.

Siraman dibuat di ruang terbuka, yang berhias dengan hiasan bunga berwarna pastel.

Luna berjalan anggun, memakai kebaya putih dan kain batik berwarna merah jambu, sambil didampingi abangnya, Tipi Jabrik dan Ismael Dully.

“Ibu yang aku sayang dan aku hormati. Ini adalah hari bahagiaku. Tidak ada kata sempurna yang bisa menggambarkan rasa syukur. Untuk orang tuaku tercinta, sudah menuntunku sejak aku kecil hingga dewasa dan membuatku sampai di titik ini,” ucap Luna kepada ibunya.

“Aku minta maaf atas semua kesalahan yang telah aku lakukan, baik disengaja ataupun tidak. Aku benar-benar berharap dirimu memaafkanku dan aku meminta izin bernikah dengan calon suamiku, Maxime Andre Selam Bouttier. Aku mohon berkatmu untuk memulai hidup baru,” lanjutnya.

Majlis pernikahan Luna dan Maxime pada 7 Mei juga disiarkan secara langsung di YouTube TS Media.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg