Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bintang pop Indonesia kembali ke M’sia dengan konsert ‘Untungnya, Untungnya’

May 8, 2025 | 12:32 PM
Bernadya
Malaysia jadi negara pertama menampilkan dua persembahan Bernadya, iaitu di KL dan diikuti dengan Kota Kinabalu, Sabah, pada 19 Julai. - Foto INSTAGRAM BERNADYA

Selepas konsert di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 2024, berjaya menarik perhatian ramai, penyanyi pop Indonesia, Bernadya, kembali menghiburkan peminat pada konsert jelajah Malaysia 2025, Untungnya, Untungnya, di Zepp Kuala Lumpur, pada 13 Julai.

Lebih istimewa, Malaysia menjadi negara pertama menampilkan dua persembahan Bernadya, iaitu di Kuala Lumpur dan diikuti dengan Kota Kinabalu, Sabah, pada 19 Julai.

Ini kejayaan besar buat Bernadya, atau nama sebenar, Bernadya Ribka Jayakusuma, apatah lagi dalam usia 20 tahun yang mampu mencipta fenomena menerusi lagu, Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan.

Susulan kejayaannya, penyanyi remaja itu meraih trofi kategori Album Pop Terbaik dalam Anugerah Muzik Indonesia (AMI) pada 2024.

Bernadya bersyukur karyanya diterima peminat Malaysia, sekali gus membuka peluang untuk mementaskan konsert di Malaysia.

“Senang sekali boleh kembali ke Malaysia. Malaysia memiliki tempat istimewa di hati saya. 

“Semoga konsert jelajah, Untungnya, Untungnya ini boleh menjadi jelajah perayaan atas keuntungan kecil atau besar yang jarang dihargai.

“Saya juga mahu ajak kumpulan peminat digelar, Bersenadya Malaysia, untuk menikmati pertunjukan saya dengan lebih intim lagi. 

“Saya akan tampil dengan koleksi lagu lebih lengkap daripada album mini dan album pertama,” kata penyanyi asal Surabaya, Indonesia, itu dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Diberi julukan penyanyi lagu galau, Bernadya berkata, gelaran itu memberi kesan baginya untuk mencipta karya seterusnya.

“Agak berat jika sering dikaitkan dengan lagu galau. 

“Bagi saya, ia menjadi terbeban. Saya tertekan apabila harus menulis lagu sedemikian,” katanya.

Bernadya menambah bahawa setiap karya dihasilkan ada ‘resipi’ tersendiri untuk menjadikan lebih dramatik.

Memiliki lebih 10 lagu, beliau mendedahkan lagu, Satu Bulan, adalah karya paling sedih pernah dihasilkan.

Menurutnya, lagu itu ditulis ketika berada dalam fasa sedih selepas dikecewakan teman lelaki.

“Ini lagu paling sedih pernah saya cipta. Karya lain juga papar kisah peribadi, tetapi lagu, Satu Bulan, lebih meresap dalam jiwa saya.

“Mungkin lagu lain saya cipta dalam keadaan lebih baik.

“Namun, single, Satu Bulan, diilhamkan ketika saya berada di titik terendah dalam hidup. 

“Ketika itu, saya baru putus cinta dan tulis apa yang saya rasa,” ujar Bernadya.

Konsert jelajah Malaysia 2025, Untungnya, Untungnya, juga akan dilengkapkan dengan kolaborasi Bernadya bersama penyanyi Indonesia, Adrian Khalif, dalam lagu berjudul, Asumsi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg