Topik diikuti
Pergi ke BHkuBudaya wayang Raya dah tiada?
Budaya wayang Raya dah tiada?
Kemeriahan sambut Raya di pawagam pudar apabila cita rasa penonton muda sudah beralih arah
Budaya wayang Raya dah tiada?
Tradisi berkunjung ke pawagam pada Hari Raya pertama merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan ‘orang lama’ seperti bapa saya.
Kalau kita biasanya menjenguk sanak saudara untuk meraikan hari kemenangan pada Aidilfitri yang mulia kini, satu daya tarikan masyarakat Melayu/Islam pada era 1950-an dan 1960-an adalah menonton filem beramai-ramai.
Setiap kali menceritakan pengalaman menonton wayang P. Ramlee yang disajikan khusus untuk musim Lebaran di pawagam Rex, terkesan kerdipan pada mata bapa saya, memberi gambaran betapa seronoknya menyambut Raya dengan menyaksikan filem, Bujang Lapok, Ibu Mertuaku dan Anakku Sazali, ketika itu.
“Satu pawagam penuh dengan orang-orang kita yang datang dengan keluarga dan teman, semuanya berbaju Melayu dan baju kurung.
“Pastinya selepas kunjung-mengunjung, mereka singgah pawagam. Bapak pula suka tengok wayang seorang-seorang... siri Bujang Lapok memang ‘best’! Bapak pula jenis lone ranger, ke mana-mana tak perlu kawan.
“Tak rasa sunyi sebab satu pawagam menemani dan kami ketawa terbahak-bahak tengok ragam dan kerenah Ramlee, Sudin dan Aziz,” cerita bapa saya, mengimbau kenangan lalu, yang mencorak pawagam menjadi ruang perpaduan dan penyatuan masyarakat atas nama seni dan hiburan.
Selepas era tersebut, pada 1980, saya masih ingat dibawa ibu bapa saya ke pawagam Singapura pada hujung minggu pertama Raya untuk menonton filem komedi-drama, Adik Manja, yang dibintangi Allahyarham Dharma Harun Al-Rashid dan Noor Kumalasari.
Satu pawagam penuh penonton, dari barisan depan ke belakang.
Yang menariknya, komen yang saya panggil ‘ulasan selari’ tentang fesyen pelakon, pembayang mata dan dandanan yang tebal atau kebaya yang digayakan menambah keanggunan sang pelakon, begitu banyak kedengaran.
Tidak dapat dinafikan banyak filem Melayu ketika itu dihasilkan syarikat penerbitan filem khusus untuk musim Hari Raya – daripada Tiada Maaf Bagimu, Darma Kesuma, Ali Setan, Rumah Maut, Bayangan Maut, Jasmin dan Balik Kampung.
Tiada yang bertemakan Hari Raya kecuali filem komedi romantik, Selamat Hari Raya, yang diarahkan L. Krishnan dan dijayakan S. Roomai Noor, Maria Menado dan Umi Kalthum, pada 1955.
Apabila membaca rencana, The Lost Tradition of Raya Movie Releases, di New Straits Times, pada 29 Mac lalu, hasil tulisan Penyelaras Possiswazah (Kerja Kursus) di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Puncak Perdana, Dr Norman Yusoff, barulah saya tahu lagu, Selamat Hari Raya ciptaan Ahmad Jaafar, menjadi runut bunyi filem itu.
Ia dipersembahkan Nona Asiah tetapi kemudian dirakam semula menjadi versi terkenal oleh Puan Sri Saloma yang kita dengar kini.
Niat di hati nak tengok filem itu tetapi ia dikatakan sudah hilang, justeru tidak dapat ditayangkan semula.
Bagaimanapun, landskap layar perak Melayu sudah berubah dan beralih kepada sesuatu yang memenuhi cita rasa ramai, khususnya anak muda milenial dan Generasi Z mahupun Alpha.
Di Singapura, filem Melayu yang ditayangkan di pawagam sewaktu Hari Raya tahun ini, hanyalah Malaikat Malam, yang dibintangi Syafiq Kyle, Tracie Sinidol dan Amir Nafis.
Apa yang kadangkala membosankan saya adalah filem Melayu hari ini tidak habis-habis memaparkan kisah mat rempit dan lumba haram mahupun samseng dan sindiket dadah.
Pasaran filem Melayu juga kurang memberangsangkan meskipun pada musim Lebaran lagi payah mencapai status ‘pecah panggung’ barisan filem dahulu kerana kewujudan wadah penstriman yang begitu banyak menyajikan filem Malaysia dan Indonesia yang rencam jalan ceritanya.
Kita dah tak perlu khuatir mata ini hanya menyaksikan filem tentang pelumba haram, sindiket jenayah atau hantu yang keluar dari mana-mana penjuru.
Ada kepelbagaian genre filem yang memenuhi cita rasa segenap lapisan masyarakat, baik yang muda atau tua.
Satu perkembangan menarik adalah bagaimana filem sekarang dicorak cita rasa Generasi Z yang mahu gaya hidup mereka seperti kecenderungan menyelami pertarungan sukan elektronik dalam talian atau e-Sports (e-Sukan) dipaparkan.
Filem, Soloz: Game of Life, arahan Syafiq Yusof, mengetengahkan tema golongan ‘mabuk game’, mengecapi populariti dalam talian dan kerja keras atau ‘hustle demi hasil’ sebilangan anak muda.
Ia berdasarkan kisah sebenar legenda e-Sukan, Muhammad Faris Zakaria (Soloz), yang membina nama daripada seorang budak kampung ke juara permainan video telefon bimbit, Mobile Legends: Bang Bang.
Kalau anda nakkan hiburan lain daripada lain di rumah sahaja, boleh tonton siri animasi komedi seram 26 episod, Kisah Bawah Tanah, di Astro Prima atau platform penstriman Sooka, yang dihasilkan Animasia Studio dan Komet, untuk penonton 13 tahun dan ke atas.
Ia membawa anda ke alam ghaib dengan watak hantu daripada kisah dongeng Asia Tenggara.
Watak utama animasi itu adalah tengkorak bergerak, Sam dan Zack, yang penuh humor meski mengemudi jalan cerita yang gelap dan suram.
Lantaran itu, penerbit filem Melayu perlu benar-benar fikirkan formula terbaik dek perubahan cita rasa penonton dan daya saing yang dihadapi daripada kandungan wadah penstriman kini jika ingin terus kekalkan budaya menonton wayang pada musim Lebaran.
