Meski takdir memisahkan, tiada noktah cinta antara ibu bapa, anak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meski takdir memisahkan, tiada noktah cinta antara ibu bapa, anak

Cahaya mata harus dilindungi, tidak perlu jadi ‘mangsa’ kesan jejak digital, video liputan berita cerai, komen netizen di media sosial
Jan 19, 2026 | 5:30 AM

Meski takdir memisahkan, tiada noktah cinta antara ibu bapa, anak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pelakon dan pengacara, Hamish Daud (kiri) dan Raisa Andriana, dari Indonesia, mengambil keputusan mengumumkan dalam satu kenyataan betapa jodoh mereka hanya bertahan selama lapan tahun sahaja, dengan tanggungjawab menjaga anak tunggal mereka, Zalina, akan diurus bersama.
Pelakon dan pengacara, Hamish Daud (kiri) dan Raisa Andriana, dari Indonesia, mengambil keputusan mengumumkan dalam satu kenyataan betapa jodoh mereka hanya bertahan selama lapan tahun sahaja, dengan tanggungjawab menjaga anak tunggal mereka, Zalina, akan diurus bersama. - Foto INSTAGRAM RAISA

Tidak lama selepas ramai dikejutkan dengan perceraian dua bintang filem terkenal Malaysia, Nur Fazura Sharifuddin dan Fattah Amin, serta pelakon, Emma Maembong dan juruterbang, Muhammad Shazli Azhar pada 2024, berita perpisahan artis Malaysia dan Indonesia terus memenuhi laman web hiburan.

Lewat 2025, dengar pula kisah pelakon jelita, Uqasha Senrose, memfail cerai terhadap suaminya selama empat tahun, pelakon Kamal Adli.

Mereka mengenali hati budi masing-masing selama dua tahun sebelum bernikah.

Di Indonesia, berita bertiup kencang tentang badai rumah tangga yang melanda mahligai penyanyi cantik, Raisa Andriana, dan pelakon serta pengacara tampan, Hamish Daud.

Kededuanya sudah disahkan bercerai.

Raisa dan Hamish saling berkenalan selama empat tahun, disusuli dengan perkahwinan lapan tahun.

Dua pasangan itu, masing-masing mempunyai seorang cahaya mata perempuan yang comel.

Hasil perkahwinan mereka, Uqasha, 33 tahun, dan Kamal, 39 tahun, dikurniakan seorang anak, Hawra Uqaira, yang berusia sembilan bulan.

Zalina Raine Wyllie yang bakal mencecah tujuh tahun pada 12 Februari 2026 pula merupakan anak kecil cantik Raisa, 35 tahun, dan Hamish, 45 tahun, yang sentiasa mendapat perhatian media walaupun wajahnya jarang terpampang bagi melindungi privasinya.

Memang dalam hati berkata-kata: “Dua pasangan selebriti ini sama cantik, sama padan. Apa silapnya sehingga mahligai yang dibina bertahun lamanya, dengan ribuan hantaran media sosial indah sewaktu detik pernikahan itu berakhir dengan keretakan rumah tangga yang memilukan?”

Mungkin ada netizen yang cepat merumuskan: “Dunia artis, baik di mana-mana, Hollywood, Bollywood, Indowood atau Malaywood sama sahaja. Dah kahwin dengan majlis meriah dan mewah, tahu-tahu mahligai musnah berkecai begitu sahaja.”

Namun, jodoh pertemuan dan perpisahan memang perkara yang sudah tertulis, baik dalam kehidupan artis mahupun manusia biasa dalam kerjaya berbeza.

Cuma apa yang menarik perhatian saya adalah bagaimana pasangan selebriti menangani isu pergolakan rumah tangga mereka di khalayak awam – sama ada untuk berdiam dan lebih senang menangani isu perceraian secara profesional atau dek kemarahan pada pasangan yang tidak dapat ditahan, maka dilontarkan kata-kata mengaibkan tentang orang yang suatu ketika dahulu pernah disayangi.

Saya tabik dengan profesionalisme yang dijadikan sandaran Raisa dan Hamish apabila kisah mereka begitu hangat diperkatakan media Indonesia.

Di tengah-tengah kekecohan dakwaan kononnya Hamish ada hubungan dengan wanita lebih muda di Bali mahupun isu beliau gagal membayar gaji pekerja di syarikat pemula, Octopus (sesuatu yang beliau nafikan), Raisa bertindak mendiamkan diri dan meneruskan sahaja konsert jelajahnya di Indonesia dan Malaysia, bagaikan tiada apa-apa yang terjadi.

Peminat hanya dapat membaca isi hatinya yang terpendam melalui karya-karya menusuk kalbu yang dihasilkan bagi album Ambivert, iaitu Si Paling Mahir, Tetap Bukan Kamu dan Terserah.

Antara lain, lagu-lagu itu mengisahkan tentang wanita yang pandai menyembunyikan kesedihan di hatinya seakan-akan beliau tiada masalah langsung di samping keinginan membina hidup baru tetapi kenangan pada seseorang yang bertakhta di hati sentiasa menghantui.

Ada juga diselitkan lirik lagu kisah cuba memperbaiki keadaan atau hubungan bersama pasangan tetapi pasangannya pula seakan acuh tak acuh membuat perubahan.

Apabila kes perceraian mereka dikemukakan di Mahkamah Syariah di Indonesia, Raisa dan Hamish kemudian mengambil keputusan memuatnaikkan kenyataan bersama di Instagram tentang sampai di sini sahaja jalinan kasih mereka yang terbina selama lapan tahun.

Bagaimanapun, mereka akan sama-sama menjaga Zalina secara bergilir kerana ia menjadi tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan, memandangkan anak itu mesra dengan kededua ibu bapanya.

Antara sebab yang dinyatakan tentang perpisahan mereka adalah perbezaan pendapat dalam meneruskan kehidupan sebagai suami isteri.

Kenyataan itu kemudian dilenyapkan selang tiga hari selepas ia dimuatnaikkan.

Saya kira ia merupakan satu langkah bijak bagi melindungi anak yang kian dewasa dan pastinya pintar menggunakan alat teknologi daripada mengesan kenyataan itu sekarang atau pada usia matang dan mula mempersoal langkah atau tindakan ibu bapanya.

Dalam era jejak digital begitu senang dilakukan, bimbang jika anak mereka terkesan sehingga terjejas kesejahteraan emosi dan mindanya seandainya suatu hari dia bertemu pula video ibu ayahnya saling melontar kata-kata marah dan mengaibkan satu sama lain di alam maya.

Jika Raisa dan Hamish pilih untuk bersuara menerusi kenyataan media yang menekankan mereka berpisah secara baik, lain pula kisahnya dengan Kamal dan Uqasha, yang saling berbalas kisah dan pesanan yang disampaikan menerusi wartawan.

Uqasha enggan merujuk kembali kerana seakan-akan sudah serik untuk melalui alam rumah tangga dengan Kamal yang disifatkan memberinya tekanan serta menyakiti jiwa raganya dan didakwa tidak bertanggungjawab. Beliau hanya bertahan demi anak mereka.

Kamal pula meminta maaf kepada Uqasha kerana mungkin kurang memberi perhatian pada amanahnya sebagai suami dan bapa.

Beliau turut berterima kasih kepada Uqasha kerana mengajarnya erti sebenar memikul dua tanggungjawab tersebut.

Memang pada awalnya, kes perceraian mereka yang bertemu di set drama, Akira Khan, mencetus pelbagai reaksi dengan ada yang rasa Uqasha tidak perlu berlebih-lebihan berkongsi tentang rasa bingitnya pada Kamal.

Ini ditambah dengan kehadiran pakar motivasi pasangan yang di ambang perceraian, yang menggelar dirinya ‘Coach Cerai’... makinlah kecoh keadaan.

Pada akhirnya, ada banyak perkara yang perlu difikirkan pascaperceraian – masa depan anak yang masih dalam tanggungan serta kesihatan minda selebriti berkenaan... jangan sampai isu itu membebani dan sukar beri perhatian pada kerjaya mereka dalam dunia hiburan.

Saya lebih sejuk hati melihat selebriti seperti Abby Abadi dan Norman Hakim yang pernah berstatus suami isteri dahulu berbaik-baik semula, malah meraikan kejayaan anak-anak atau menghurai masalah anak-anak sebagai keluarga besar (bersama pasangan mereka kini).

Begitu juga artis legenda, Jatt Ali, dan bekas isterinya, personaliti hiburan, Sharifah Shahirah, yang masih akrab seperti saudara-mara sendiri dan saling kunjung mengunjung, baik ke Singapura atau Kuala Lumpur, selepas masing-masing sudah membina hidup baru dengan keluarga sendiri.

Yang penting, walau jodoh tidak panjang dan menemui noktahnya, semangat buang yang keruh, ambil yang jernih demi anak-anak, harus dipupuk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg