Bunga-bunga cinta irama Air Supply mekar, segar bugar meski 50 tahun berlalu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bunga-bunga cinta irama Air Supply mekar, segar bugar meski 50 tahun berlalu

Kumpulan asal Australia pukau penonton dengan muzik malar segar, lirik puitis mempesona
Jan 16, 2026 | 5:30 AM

Bunga-bunga cinta irama Air Supply mekar, segar bugar meski 50 tahun berlalu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Russell Hitchcock, Graham Russell, Air Supply
Kumpulan romantis Air Supply, Russell Hitchcock (kanan) dan Graham Russell, menggegarkan pentas di Sands Grand Ballroom, Marina Bay Sands (MBS), pada 4 Januari 2026, sekali gus membawa peminat menyelami nostalgia lagu-lagu cinta klasik dari era 1980-an hingga 1990-an. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Legasi 50 tahun atau ‘Jubli Emas’ muzik romantis duo terkenal asal Australia, Air Supply, pasti sukar luput daripada ingatan peminat mereka yang dewasa dengan lagu mabuk cinta seperti, Even The Nights Are Better, Lost In Love dan Every Woman In The World.

Meskipun sudah dimamah usia, anggota Air Supply, Graham Russell, 75 tahun, dan Russell Hitchcock, 76 tahun, masih lagi ligat mengembalikan nostalgia penonton di pentas Sands Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Marina Bay Sands pada 4 Januari.

Konsert, Air Supply 50th Anniversary Celebration, yang dibawakan oleh Biz Trends Media, merupakan sebahagian daripada siri jelajah dunia mereka, membuatkan penulis dan beberapa rakan sekerja, terpaku meskipun ini bukan kali pertama kami menyaksikan Russell dan Hitchcock.

Kami mampu menyelami kisah bunga-bunga cinta yang dihasilkan dengan penuh puitis oleh Russell yang menganggap dirinya sebagai kekasih dan sahabat yang setia.

Kalau disemak senarai lagu yang disajikan pada hari itu, ia memang malar segar.

Semua 15 lagu ‘wajib’ dibawakan penuh indah, diiringi dengan band anak muda cukup bertenaga.

Konsert dimulakan dengan, Sweet Dreams, lagu yang tidak pernah diduga Russell sebagai mampu menjadi antara lima lagu terbaik dalam carta muzik dunia pada 1981.

Ini disusuli dengan lagu, Even the Nights Are Better, yang lebih rancak daripada tempo lagu asal dan lagu yang memohon agar sang kekasih menerima diri sang penyanyi seadanya, Just As I Am.

Kalau dahulu penulis dan teman-teman dibuai irama mengasyikkan Air Supply ketika menyaksikan konsert mereka di Pusat Konvensyen Resorts World pada 2024, kali ini, kami dikelilingi lebih ramai lautan penonton, yang bagaikan terpanah dengan persembahan duo itu.

Memandangkan kalendar 2026 baru dibuka, kami bagaikan diberi hadiah Tahun Baru.

Antara aspek paling menyentuh perasaan kami sepanjang persembahan ialah interaksi mesra Russell dan Hitchcock bersama peminat.

Perlahan-lahan mereka bergerak dari kanan ke kiri pentas bagi memastikan mereka dapat melihat penonton yang hadir menyokong mereka.

Pada masa yang sama, lirik lagu Air Supply memang sentiasa melekat di fikiran.

Secara automatik, penonton akan berdendang sama tanpa teragak-agak. Ini yang dilihat setiap kali wajah penonton terpampang pada layar raksasa di dewan ballroom itu.

Mereka asyik menyanyi sambil merakam detik istimewa untuk dikongsi di media sosial.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert muzik, persembahan itu menjadi manifestasi cinta dan kenangan indah yang telah terjalin antara Air Supply dengan peminat mereka sejak 1975.

Encik Faisal Mustaffa, (kiri) dan isteri Cik Noraini Rizman Ali, meminati lagu-lagu Air Supply sejak zaman remaja.
Encik Faisal Mustaffa, (kiri) dan isteri Cik Noraini Rizman Ali, meminati lagu-lagu Air Supply sejak zaman remaja. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Air Supply ditubuhkan pada 1975, apabila Russell dan Hitchcock bertemu ketika beraksi dalam penerbitan muzikal, Jesus Christ Superstar, di Australia.

Sejak itu, mereka telah mencipta kenangan bersama menerusi lagu romantik yang menjadi siulan ramai di seluruh dunia dan terus meraih peminat baru walaupun selepas 50 tahun dalam industri muzik.

Konsert di Singapura jelas menggambarkan muzik cinta kekal relevan dan dihargai pelbagai lapisan peminat.

Penulis sendiri terpaku dengan karisma Russell yang begitu cintakan sastera Inggeris dan sempat membaca puisi penuh perlambangan tentang alam dan kehidupan untuk pendengaran peminatnya.

Tidak hairanlah beliau mampu mencipta lagu cinta puitis yang terpahat dalam ingatan ramai.

Peminat tegar kumpulan ini yang ditemui Berita Harian (BH), Encik Faisal Mustaffa, 57 tahun, seorang kakitangan awam, bersama isterinya Cik Noraini Rizman Ali, 54 tahun, karyawan sektor kewangan, sudah meminati Air Supply sejak zaman remaja.

“Semasa membesar pada era 1980-an, Air Supply sangat popular dalam kalangan remaja. Muzik mereka bukan sahaja enak didengar, malah mempunyai tempo yang membuatkan kita ingin mendengarnya berulang kali.

“Kebanyakan lagu mereka berkisarkan hubungan cinta, sesuatu yang mudah untuk difahami pada waktu itu. Jika saya perlu memilih tiga lagu kegemaran, saya akan pilih, Here I Am, Lost in Love, dan Chances,” ujar Encik Faisal.

Bercerita tentang keistimewaan Air Supply berbanding kumpulan balada lain, beliau menekankan cara mereka mengolah lagu yang menggabungkan melodi menarik dan menenangkan dengan penggunaan gitar dan papan nada.

Encik Faisal berpendapat, muzik era akhir 1980-an hingga 1990-an mempunyai ciri tersendiri berbanding muzik di alaf 2000.

“Setiap era mempunyai genre dan lirik tersendiri. Kumpulan pada era 1980-an menghasilkan karya mengikut cita rasa penonton pada waktu itu, mencerminkan gaya hidup dan harapan generasi mereka.

“Saya juga mendengar muzik terkini, ada yang bagus dan masih boleh saya fahami,” jelas beliau.

Bagi Cik Meshel Ty, pada awal 1980-an hingga 1990-an, Air Supply adalah antara kumpulan paling popular. Lagu-lagu mereka seolah-olah menjadi latar bunyi kehidupan seharian, berkumandang di radio, televisyen, dalam kereta, malah di pusat beli-belah.
Bagi Cik Meshel Ty, pada awal 1980-an hingga 1990-an, Air Supply adalah antara kumpulan paling popular. Lagu-lagu mereka seolah-olah menjadi latar bunyi kehidupan seharian, berkumandang di radio, televisyen, dalam kereta, malah di pusat beli-belah. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Seorang lagi peminat Air Supply adalah Cik Meshel Ty, 41 tahun, seorang karyawan dalam industri binaan, pula berkata: “Muzik Air Supply sering membawa saya kembali ke zaman yang lebih santai dan sederhana.

“Pada era awal 1980-an hingga 1990-an, Air Supply merupakan antara nama paling berpengaruh di corong radio.

“Lagu-lagu mereka seakan menjadi iringan dalam kehidupan harian, dan ia berkumandang di radio, TV, di dalam kereta mahupun di pusat beli-belah,” jelas Cik Meshel.

Minat Cik Meshel terhadap kumpulan itu bermula melalui koleksi kaset ibunya. Namun, album, The One That You Love, benar-benar membuatnya terpikat.

“Muzik mereka memberi rasa keselesaan yang kekal hingga ke hari ini,” tambah beliau.

Beliau membeli tiket konsert pada saat-saat akhir melalui platform Carousell. Ia berharga $180 berbaloi dengan pengalaman yang diraih.

Selain Air Supply, Cik Meshel turut menggemari muzik Abba, Bee Gees, Bread, dan Carpenters kerana melodi yang mudah diingati, susunan muzik indah, dan kemampuan vokal yang menyentuh hati.

“Konsert Air Supply ini penuh bertenaga dan menggabungkan nostalgia dengan persembahan vokal yang hebat.

“Jika diberi peluang, saya pasti akan menonton mereka lagi. Duo ini kelihatan hebat walaupun usia mereka semakin meningkat,” katanya sambil tersenyum.

Yang pasti, All Out of Love, Lost In Love, Goodbye, I Can Wait Forever, Two Less Lonely People In The World dan Without You menjadi lagu yang membawa penulis terbang jauh ke alam mimpi-mimpi indah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg