Selain menyerlah dalam bidang lakonan, Chacha Maembong, kini memanfaatkan daya kreativiti dan ketelitian yang sama untuk membina nama dalam dunia perniagaan kosmetik.
Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aishah Ismail, 29 tahun, memperkenalkan jenamanya sendiri, CM Secret, sebagai satu usaha untuk membawa sesuatu yang segar kepada pencinta kecantikan, khususnya bagi kaum Hawa.
Produk pertama di bawah naungan jenama itu ialah rawatan maskara, dilancarkan pada 2024.
Berbeza dengan maskara biasa, maskara itu bukan sahaja mencantikkan bulu mata, malah dikatakan dapat memberi manfaat seperti melebatkan dan merawat bulu mata.
Baru-baru ini, CM Secret, turut menawarkan gincu bibir sebagai tambahan kepada rangkaian produk mereka.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Chacha berkongsi minatnya dalam dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang baru disedari.
“Kalau Chacha bukan seorang pelakon, mungkin saya dah buka kafe atau kedai kek, sebab saya memang suka melayani orang.
“Tapi sejak awal lagi, saya dah mula berniaga sebelum betul-betul terjun ke bidang lakonan,” kata Chacha yang membintangi filem seram iaitu, Anak Perjanjian Setan.
Bagi Chacha, proses menghasilkan produk bukanlah mudah.
Untuk memastikan produk kecantikannya dipercayai berkesan, Chacha mengambil tempoh dua tahun untuk mengesahkan maskaranya memenuhi piawaian terbaik.
Selain itu, beliau mengimbas kembali kesulitan yang dilalui pada permulaan usahanya dalam perniagaan, khususnya ketika mengadakan reruai untuk memperkenalkan produk kecantikan di acara dagangan, baik di Malaysia mahupun Singapura.
“Tak mudah nak keluarkan produk berjenama sendiri, lebih-lebih lagi untuk kekalkan kualiti.
“Kali pertama saya promosi di reruai, saya langsung tak ada backdrop (tirai belakang) atau poster.
“Tapi itu tak mematahkan semangat saya, dan lama-kelamaan, saya perbaiki cara pemasaran,” katanya.
Sebagai seseorang yang lahir sebelum era media sosial menjadi arus perdana, Chacha turut berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan trend perniagaan moden.
“Zaman sekarang semua tentang siaran langsung dan buat kandungan menarik.
“Sejujurnya, saya rasa janggal nak berbual sendiri depan kamera masa buat TikTok ‘live’,” ujar Chacha sambil ketawa kecil.
Tanpa patah semangat, Chacha tetap belajar dan menyesuaikan diri mengikut perubahan zaman.
Antara lain, pengalaman berniaga di Singapura semasa acara dagangan, Absolut Bazar, di Singapore Expo pada 14 hingga 16 Mac, merupakan pengalaman yang membuka matanya.
“Saya suka berniaga di Singapura sebab pembeli di sini memberikan sokongan yang menggalakkan.
“Kali pertama datang untuk meniaga, saya amat gementar dan tidak tahu apa-apa. Rasa macam ‘pendatang haram’ pula dengan membawa masuk banyak produk.
“Tapi, pengalaman ini banyak ajar saya tentang sistem dan cara pemasaran yang lebih berkesan, terutama bagaimana menggunakan TikTok ‘live’ untuk berniaga.
“Di Singapuralah, saya rancak menggunakan ‘live’ untuk menjual produk-produk saya,” ujar Chacha.
Dalam masa terdekat ini, keutamaan Chacha adalah memastikan jenamanya terus menghasilkan produk bermutu tinggi sebelum memikirkan untuk memperluaskan lagi rangkaian kosmetiknya. – AININ ALFIYANI JAILANI


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg