Topik diikuti
Pergi ke BHkuDanny X-Factor beli kereta baru, ingin penumpang selesa
Danny X-Factor beli kereta baru, ingin penumpang selesa
Pelakon dan penyanyi, Danny X-Factor, sanggup membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) baharu, Mitsubishi Xpander, bagi memastikan keselesaan penumpang yang menggunakan khidmatnya sebagai pemandu e-hailing (akereta sewa privet).
Danny, atau nama sebenarnya, Mohd Kardanie Anwa, 46 tahun, yang juga anggota kumpulan X-Factor, berkata beliau membeli kenderaan tujuh tempat duduk itu sekitar Ogos, kerana ruangnya yang luas dan lebih selesa untuk penumpang, terutama bagi perjalanan jauh.
“Buat masa sekarang, saya terpaksa memperlahankan kerjaya lakonan kerana mahu memberi tumpuan kepada perjalanan semula kumpulan X-Factor dalam bidang nyanyian selepas melancarkan lagu baharu, Walu-Walu pada Jun.
“Bagaimanapun, saya masih aktif sebagai pemandu e-hailing dengan memberi tumpuan kepada perjalanan mengambil dan menghantar penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu kota.
“Hampir 10 tahun menjadi pemandu e-hailing sejak 2017, saya masih seronok dan menganggap pekerjaan ini cukup menenangkan.
“Saya tidak pernah menganggap pekerjaan ini sebagai ‘downgrade’ (turun taraf), malah benar-benar menikmati setiap pengalaman sebagai pemandu e-hailing.
“Jika saya memandu e-hailing dari pagi hingga malam selama tiga hingga empat hari, alhamdulillah, pendapatan yang diperoleh cukup berbaloi.
“Kalau rajin mengambil penumpang, saya mampu meraih antara RM300 ($94.29) dengan RM400 sehari,” katanya dalam laman Harian Metro.
Mengulas perkembangan kumpulan X-Factor, Danny berkata aktiviti seni mereka masih berjalan lancar, namun persembahan nyanyian hanya tertumpu pada hujung minggu memandangkan setiap anggota mempunyai kerjaya tetap masing-masing.
Selain Danny, kumpulan X-Factor yang pernah dibimbing trio adik-beradik KRU turut dianggotai Zachery Francis Ubu (Zach), 49 tahun; Syed Affendi Syed Ibrahim (Fendi), 49 tahun; Irwan Shah Azhar (Shah), 48 tahun; dan Faizal Ezuan Esha (Jim), 44 tahun.
Kumpulan itu pernah mencipta nama menerusi lagu terkenal seperti Sehangat Api, 7251364, Tak Sanggup, Percayalah dan Tiada Sesempurnamu.
“Jadi, kami saling menghormati kelapangan masa masing-masing yang ada kerja tetap dan sudah berkeluarga.
“Apatah lagi, kemunculan semula X-Factor dalam industri untuk memeriahkan serta mewarnai bersama bakat-bakat baharu, itu sahaja.
“Dari segi populariti, kami sudah pernah merasainya pada hujung era 1990-an dulu.
“Sekarang, X-Factor tampil hanya untuk menghiburkan peminat-peminat yang masih menyokong serta menyukai lagu-lagu kami,” ujarnya.