Topik diikuti
Pergi ke BHkuAina Abdul buru impian di pentas antarabangsa ‘Eurovision Asia 2026’
Kenangan bersama kucing kesayangan cetus ilham lagu ‘Bluest Sky’ yang bakal dipertaruh dalam pertandingan
Aina Abdul buru impian di pentas antarabangsa ‘Eurovision Asia 2026’
Di sebalik penampilan gah dan persembahan penuh dramatik yang kerap menjadi trademark atau ciri khas penyanyi dan penggubah lagu Malaysia, Aina Abdul, beliau percaya kejayaan dalam industri muzik bukan datang dalam sekelip mata.
Adakalanya, seseorang anak seni mengambil masa sehingga sedekad sebelum bakat dan usaha gigih mereka mendapat perhatian.
Bagi Aina, antara tiga perkara menjadi pegangan sepanjang membina kerjayanya, termasuk keberanian, kerajinan dan kesabaran.
Setelah bertahun-tahun mengharungi liku-liku industri hiburan, Aina, atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 33 tahun, bersedia mengorak langkah lebih jauh menerusi penyertaannya dalam pertandingan nyanyian antarabangsa, Pertandingan Lagu Eurovision Asia 2026.
Pertandingan itu bakal diadakan di Bangkok, Thailand, pada 14 November.
Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) yang diadakan di Mediacorp Campus baru-baru ini, Aina menyifatkan peluang mewakili Malaysia itu sebagai antara pencapaian terbesar dalam kerjayanya.
“Sejak selesai Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) pada Ogos lalu, fikiran saya hanya tertumpu kepada Eurovision.
“Ini mungkin pertandingan terbesar yang pernah saya sertai.
“Saya menganggapnya sebagai peluang keemasan untuk menempa nama di luar Malaysia.
“Tekanannya memang sangat tinggi kerana saya membawa nama negara.
“Lebih-lebih lagi apabila peminat dari negara sendiri tidak dibenarkan mengundi,” katanya, yang turut memenangi Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee, pada AJL40.
Di tengah-tengah persiapan yang semakin rancak, penglibatannya sebagai juri undangan khas pertandingan realiti nyanyian tempatan, Anugerah 2026, anjuran Mediacorp Suria, ternyata membawa satu perubahan yang amat dihargainya.
Pertandingan itu, bagaimanapun, telah melabuhkan tirainya pada 27 Oktober.
Menurut Aina, kunjungan mingguannya ke Kota Singa sepanjang empat minggu membantu mengalihkan perhatian daripada tekanan persiapan pertandingan tersebut.
Selaku juri, Aina menyifatkan penyertaan dalam Anugerah 2026 hanyalah langkah awal bagi finalis sebelum melangkah ke dunia hiburan sebenar yang sarat dengan cabaran.
Menurutnya lagi, kemunculan media sosial seperti TikTok, Instagram dan YouTube kini membuka lebih banyak peluang untuk bakat muda memperkenalkan diri kepada khalayak serantau.
“Ada orang hanya nampak hasil usaha anak seni selepas 10 tahun, seperti saya sendiri.
“Ketika berusia awal 20-an, saya sudah banyak menghasilkan video nyanyian lagu ‘cover’ atau saduran di YouTube.
“Kini, seseorang itu lebih mudah memperkenalkan diri menerusi media sosial.
“Jadi, kita perlu berani, rajin dan paling penting, sabar,” kata Aina, yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-33 tahun pada 25 Oktober.
Beliau turut menegaskan agar finalis yang terdiri daripada Nada Fitri, Farras Qushayyi, Izzan Adlan, BANIE dan Alfan Ryan, tidak tergesa-gesa menghasilkan lagu.
Sebaliknya, mereka perlu terus berguru, memperbaiki mutu vokal dan mencari identiti muzik sendiri.
Dalam senarai finalis itu, Nada, 25 tahun, dinobatkan sebagai juara.
Manakala, Farras, 28 tahun, berhasil meraih tempat kedua selaku naib juara.
Di samping itu, persiapan bagi Pertandingan Lagu Eurovision Asia 2026 turut membawa Aina mengimbau kenangan pahit apabila kehilangan kucing kesayangannya, Hiro, yang mati seminggu sebelum AJL40.
Kehilangan itu meninggalkan kenangan yang akhirnya menjadi titik permulaan kepada penghasilan lagu bahasa Inggeris terbaharunya, Bluest Sky, yang dipertaruhkan dalam pertandingan tersebut.
“Ketika itu, saya sedang buntu memikirkan bagaimana hendak memulakan lagu baharu.
“Saya berehat sebentar dan menonton video Hiro melompat ke atas piano.
“Beberapa nota (papan piano) yang ditekan itulah akhirnya menjadi sebahagian daripada permulaan Bluest Sky,” kongsinya.
Menurutnya, lagu itu mengangkat tema cinta dan kesetiaan, dengan langit biru melambangkan harapan untuk terus bertahan bersama insan tersayang meskipun berdepan pelbagai dugaan.
Di samping itu, Aina bakal untuk kesekian kali bekerjasama dengan pereka fesyen ternama, Melinda Looi, untuk menghasilkan busana yang mencerminkan pesanan lagu tersebut.
Berbeza daripada penampilan dramatik dan berani yang sinonim dengannya, Aina membayangkan persembahan kali ini akan menonjolkan sisi lebih elegan.
Bagaimanapun, di sebalik keterujaan menuju pentas dunia, Aina memendam rindu yang mendalam terhadap arwah bapanya, Allahyarham Abdul Ghani Abdullah, yang tidak sempat menyaksikan pencapaian bersejarah ini.
Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung, ketika Aina berusia 15 tahun.
Arwah bapa Aina menghembuskan nafas terakhir di ribanya sewaktu menemani Aina menyertai sebuah pertandingan nyanyian di Malaysia.
“Ayah saya ialah orang yang paling menyokong saya untuk berada dalam industri muzik sejak awal lagi.
“Kalau Ayah masih ada, saya rasa beliau mungkin akan menjadi sebahagian daripada pasukan saya.
“Mungkin, beliau akan jadi pemandu atau pembantu peribadi saya,” ujarnya.
Aina turut menceritakan ibunya, Zaini Abdullah, yang juga guru Bahasa Melayu, pada mulanya bimbang akan kestabilan kerjaya dalam bidang nyanyian.
Namun begitu, arwah bapanya tidak pernah berbelah bahagi dalam memberikan sokongan terhadap impian seninya.
“Ayah saya memang seorang yang sangat gigih.
“Walaupun beliau sakit dan tidak mampu bergerak dengan pantas, beliau antara orang yang paling aktif dalam keluarga.
“Saya memang anak ayah. Saya sangat rapat dan manja dengannya,” luah Aina.
Sokongan keluarga turut memainkan peranan penting dalam perjalanan seni Aina, khususnya abangnya, Awin Ghani, yang merupakan antara individu terawal melabur dalam kerjayanya.
Menurut pelantun lagu, Semalam dan Jangan Mati Rasa Itu, abangnya, yang sebelum ini bekerja sebagai akauntan, kini menguruskan hal kewangan, serta terlibat dalam beberapa keputusan penting kerja seninya.
“Alhamdulillah, saya bertuah kerana Abang turut menjadi sebahagian daripada pasukan saya.
“Sejak awal lagi, beliau antara individu terawal yang melabur dalam kerjaya saya kerana untuk menghasilkan dan mengeluarkan lagu, kita memerlukan modal,” katanya.
Aina turut mengakui kelebihan melibatkan ahli keluarga dalam pasukan pengurusan, seperti yang dilakukan artis lain termasuk Datuk Ziana Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar, namun berpendapat hubungan kekeluargaan bukanlah jaminan kejayaan seseorang artis.
“Bagi saya, tidak semestinya ahli keluarga sahaja boleh menjadi pengurus yang baik.
“Apa yang lebih penting ialah kita mempunyai individu yang benar-benar sanggup berjuang bersama-sama demi kejayaan kerjaya kita.
“Bukan mudah untuk mencari orang seperti itu,” ujar Aina.