Pelakon Malaysia, Dayana Roza, mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suami, yang juga merupakan seorang usahawan iaitu, A’dale Adham Ayahudin, pada 18 Disember 2025.
Menurut Dayana, atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin, 34 tahun, mereka telah berpisah secara baik dan mengekalkan hubungan yang rukun demi anak-anak.
“Saya diam-diam sahaja (bercerai), tetapi, ada juga orang tahu. Seboleh-bolehnya, saya tak mahu hebahkan.
“Malah, saya tak mahu dedahkan dalam media sosial sebab kami berpisah secara baik. Saya sudah cakap kepada bekas suami, apa-apa pun kita harus menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak.
“Jadi, kami bersetuju kekalkan hubungan baik. Bagi saya pun, tidak perlu bergaduh dan fokus kami adalah anak-anak.
“Kalau kami bergaduh atau kongsi dalam media sosial, ia akan kekal. Nanti, anak-anak boleh baca. Sebab itu, saya diam-diam selesaikan perkara ini.
“Tidak mahu anak-anak jadi mangsa. Kami perlu jaga kesihatan mental mereka juga,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada masa sama, Dayana Roza turut menegur sikap segelintir netizen yang gemar menghakimi selebriti setiap kali berlakunya perceraian.
Melalui satu hantaran di laman Threads, beliau meluahkan secara realiti kes perceraian berlaku dalam semua lapisan masyarakat, bukan hanya membabitkan artis semata-mata.
“Apabila artis bercerai mereka (netizen) labelkan artis suka bercerai, padahal di mahkamah bukan main penuh lagi orang bercerai,” tulisnya.
Pelakon drama bersiri, Nikmat Hanya Sesaat, itu berkata artis sering dijadikan sasaran kecaman tanpa mengambil kira keadaan sebenar yang dihadapi individu terbabit.
“Apabila perceraian melibatkan artis bertukar menjadi pertelingkahan terbuka dengan mendedahkan aib masing-masing, artis sering diminta untuk berdiam diri.
“Namun, apabila perceraian berlangsung tanpa hiruk-pikuk dan tiada aib dibuka, wanita sering menjadi sasaran tuduhan hanya kerana memilih untuk tidak bersuara.
“Ketika melihat pada gambar profil, luaran mereka tidak mencerminkan kata-kata buruk yang dilemparkan.
“Jangan terlalu ghairah menilai, kerana menabur fitnah tetap berdosa,” ujar Dayana yang memiliki dua cahaya mata iaitu, Astrid Raheeya, empat tahun, dan Aryan Andika, dua tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg