Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Demi tampung biaya rumah mewah, Aliff Syukri lipat ganda kerja keras

Usahawan sensasi perlu ketepi RM40,000 sebulan untuk bil elektrik, selenggara kolam renang, bayar gaji 12 pekerja
May 11, 2025 | 1:50 PM
Datuk Seri Aliff Syukri (tengah bersama keluarga), perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM40,000 ($12,079) sebulan bagi menampung pelbagai komitmen tetap untuk kediaman mewahnya di Petaling Jaya, Selangor.
Datuk Seri Aliff Syukri (tengah bersama keluarga), perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM40,000 ($12,079) sebulan bagi menampung pelbagai komitmen tetap untuk kediaman mewahnya di Petaling Jaya, Selangor. - Foto INSTAGRAM ALIFF SYUKRI

Dahulu, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, fikir apabila beliau memiliki rumah agam, bolehlah ia ditayang-tayangkan kepada khalayak ramai, tetapi selepas memilikinya, barulah dirinya sedar komitmen bulanan yang perlu dibayar.

Aliff, 38 tahun, malahan, perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM40,000 ($12,079) sebulan bagi menampung pelbagai komitmen tetap untuk kediaman mewahnya di Petaling Jaya, Selangor.

Beliau menjelaskan kos itu merangkumi bil elektrik, selenggara kolam renang serta membayar gaji kepada 12 pekerja yang merangkumi pembantu rumah dan peribadi serta pengawal keselamatan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Ini juga termasuk kos penyelenggaraan empat lot banglo yang menjadi tempat tinggal keluarganya.

“Saya tiada niat nak menunjuk tapi saya sekadar menjawab pertanyaan anda (media). Saiz rumah saya ini 28,000 kaki persegi dan mempunyai 28 bilik. Tetapi hampir 70 peratus daripada bilik tidak digunakan. Bukan sebab tidak mahu guna, tetapi saya tak mahu menambah kos.

“Ketika hendak bina rumah ini dahulu, saya tidak pernah terfikir masalah yang bakal berlaku seperti tandas bocor, jubin pecah dan pelbagai kos lain. Hendak mengecat rumah ini sahaja mencecah RM300,000.

“Sebab itu saya ‘struggle’ nak cari duit. Jujur saya cakap, komitmen bulanan saya sangat tinggi. Ini menyebabkan saya perlu bekerja keras untuk cari pendapatan.

“Kalau diberi pilihan, saya lebih rela memiliki rumah yang lebih kecil. Tetapi ini rumah yang saya sudah bina, jadi, saya reda,” katanya.

Menurut Aliff, sejak mendiami rumah itu hampir lapan tahun lalu, beliau sudah membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk baik pulih rumah.

“Setakat ini. saya sudah belanjakan lebih RM3 juta hanya untuk kerja-kerja membaiki rumah termasuk lampu, sistem paip, kerosakan air, tandas dan jubin.

“Setiap bulan, saya juga perlu peruntukkan antara RM300,000 dengan RM500,000, semata-mata untuk penyelenggaraan dan pembaikan kerosakan rumah.

“Sebab itu saya hendak nasihatkan anak-anak muda, kalau beli rumah, jangan fikir harga sahaja, tetapi fikir juga kos penyelenggaraan,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg