SEPANG: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Mac atas empat tuduhan memuat naik kandungan video sumbang dengan niat menyakiti hati orang lain pada 2022.
Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie (cukup bukti) di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Fuad berkata video yang tidak sopan itu dimuatnaik ketika Ramadan, yang mana bulan umat Islam berpuasa dan harus dihormati.
“Makan di khalayak ramai di bulan puasa juga tidak sopan, apatah lagi memuatnaik hantaran video di bulan puasa dengan menari liuk lentuk dan berpakaian wanita, ia tetap tidak sopan,” katanya, lapor Harian Metro.
Dengan keputusan itu, Aliff Syukri bersedia untuk membela diri pada tarikh ditetapkan pada 19 Mei ini.
Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38 tahun, mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya, dekat sini, pada 24 April 2022.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 ($15,030) atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sebelum ini, klip video muzik lagu Raya nyanyian Aliff Syukri selama lima minit 23 saat itu dianggap warganet mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut berkenaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg