Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Di balik pesona keletah ‘Bonda Bedah’, pelawak Hafidz Rahman lebih suka menyendiri

Monolog Pesta Raya, ‘My Name Is (Not) Khan’, teroka fenomena Bollywood yang buat orang Melayu kemaruk
Apr 29, 2025 | 5:30 AM
Pementasan ‘My Name is (Not) Khan’, yang dijayakan Hafidz Abdul Rahman, merupakan monolog yang mengisahkan tentang jejaka bernama Harith, yang sangat kemaruk dengan filem dan lagu Hindustan.
Pementasan ‘My Name is (Not) Khan’, yang dijayakan Hafidz Abdul Rahman, merupakan monolog yang mengisahkan tentang jejaka bernama Harith, yang sangat kemaruk dengan filem dan lagu Hindustan. - Foto ESPLANADE

Dalam dunia hiburan dan seni Singapura, nama Hafidz Abdul Rahman, memang tidak asing lagi.

Pelakon, pengacara, pencipta kandungan, pelawak, dan tentunya, watak mak cik ikonik, Bonda Bedah, yang melonjakkan namanya di persada seni – semuanya ada dalam satu figura yang penuh berwarna ini.

Namun di sebalik gelak ketawa dan watak yang mencuit hati, Hafidz, 36 tahun, sebenarnya adalah seseorang yang jauh lebih tenang dan banyak berfikir.

“Ramai orang kenal Bonda Bedah yang lantang dan kelakar.

“Tapi sebenarnya saya jenis senyap, banyak berfikir dan suka perhatikan saja,” kata Hafidz sambil tersenyum

Menurut Hafidz, apabila berada di pentas atau di dalam video, beliau memang penuh bertenaga.

Namun, selepas tugasnya selesai, beliau mengakui perlu berhenti seketika dan mengembalikan tenaganya.

Pada rumah terbuka sempena Hari Raya yang diadakan di flatnya di Yishun, pada 5 April, penulis sempat berbual dengan ibu Hafidz, Cik Erwati Mansol, 59 tahun, yang sering memuji perwatakan anak sulungnya, yang dianggap sebagai ‘anak yang baik’ dan sangat bertanggungjawab.

“Dari kecil, beliau tidak pernah menyusahkan saya.

“Beliau rajin membantu di rumah, dan kalau di rumah, beliau yang akan mengemas, memasak untuk adik-adiknya. Jadi, saya tidak perlu risau,” kata Cik Erwati, yang bertugas sepenuh masa sebagai operator telefon.

Bukan itu saja, Hafidz malah kerap membawa keluarganya bercuti ke luar negara, dan ibunya amat berbangga beliau telah melancong ke beberapa negara termasuk Jepun, serta kota Paris dan London.

“Bukan belanja ibu bapanya saja, malahan mak cik dan pak cik saudaranya, serta sepupunya turut diajak bercuti ke luar negara,” kata Cik Erwati, yang mempunyai empat anak lelaki, dengan tiga daripada mereka sudah berumah tangga.

Namun, Hafidz kelihatan tidak selesa dipuji sedemikian oleh ibunya sendiri, namun menjelaskan beliau bekerja keras, agar dapat berseronok pada kemudian hari.

“Saya membesar dalam keluarga sederhana, jadi bila dah mampu bantu mak ayah dari segi kewangan, rasa lega sangat.

“Ini juga satu bentuk penghargaan buat keluarga saya, dan cara saya menunjukkan kasih sayang, ialah dengan memberi,” tambahnya.

Menurut ibunya, semasa bersekolah, guru-guru Hafidz sering menyifatkannya sebagai pelajar yang baik dan suka membaca.

“Beliau suka membaca, dan sewaktu ingin memasuki Maktab Seni La Salle, saya beritahu beliau, mengapa mahu belajar teater, apa gunanya?

“Tetapi beliau cekal dengan pilihannya, dan sanggup bekerja sambilan untuk membiayai pelajarannya sendiri,” singkap Cik Erwati yang kini yakin dan menganggap pilihan anaknya itu tidak sia-sia.

Sementara itu, minat Hafidz terhadap isu keihsanan pula jelas terserlah dalam karyanya.

Sama ada dalam sketsa lucu dalam talian atau di pentas teater, Hafidz menyentuh isu sosial dengan cara santai tapi bermakna.

“Saya rasa kita semua sebenarnya ada sifat suka memerhati. Tapi saya gunakan komedi untuk sampaikan mesej kerana ia lebih santai untuk kemukakan isu-isu yang berat,” ujarnya.

Projek terbarunya, My Name is (Not) Khan – monolog yang bakal dipentaskan sempena Pesta Raya di Studio Resital Esplanade dari 1 hingga 4 Mei – ialah persembahan teater yang menyentuh soal identiti dan cinta terhadap dunia Bollywood, yang sememangnya dekat di hati Hafidz.

“Filem pertama yang buat saya jatuh cinta ialah, Nagina, lakonan Sridevi.

“Saya ni sangat visual orangnya, jadi dunia Bollywood yang penuh warna dan budaya itu memang buat saya terpesona,” kata Hafidz, yang mengaku telah menonton filem, Kabhi Khushi Kabhie Gham, arahan Karan Johar, lebih 50 kali.

“Emosi dalam filem Bollywood tu memang ‘over’ sikit, tapi itulah yang buat kita suka, lebih-lebih lagi sebab ia filem Shah Rukh Khan. Siapa tak suka dia?” kata Hafidz sambil ketawa.

Hafidz turut berkongsi tema yang diceritakan dalam filem Bollywood, seperti meraikan budaya, warna-warni kehidupan, dan semangat sebagai kaum minoriti, memang mudah meresap dalam jiwa penonton Melayu.

Apabila ditanya siapakah dirinya yang sebenar, Hafidz menjawab ringkas tapi penuh bermakna:

“Saya seorang yang percaya kerja kuat itu adalah cara kehidupan dan membuat orang lain gembira itu satu tanggungjawab. Kalau dapat bayaran sambil bekerja, apa salahnya?”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg