Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dikecam dek bahasa Melayu ‘kaku’, Sofia Dendroff tekad usaha

Ambil kelas tuisyen di M’sia untuk tingkatkan penguasaan bahasa
May 22, 2025 | 5:30 AM
Sofia Dendroff, Pesta Perdana 2025
Pelakon Singapura, Sofia Dendroff, bangkit selepas dikecam kerana kelancaran bahasa Melayunya yang kedengaran kekok dalam lakonan. Beliau sempat mengikuti kelas tuisyen di Malaysia demi memperkukuh penguasaan bahasa. - Foto MEDIACORP

Ketika dulu, pelakon berdarah kacukan Cina, Jerman, Melayu, India dan Bugis, Sofia Dendroff, pernah menerima tomahan netizen mengenai pengucapan bahasa Melayu dan lakonan yang ‘kaku’.

Namun, Sofia atau nama sebenarnya, Sofia Jane Dendroff, 33 tahun, menganggap dirinya sudah kebal dengan kata-kata itu.

Sebaliknya, beliau menjadikan ini sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri.

Seperti pepatah yang mengatakan usaha tidak pernah mengkhianati hasil, Sofia menerima pencalonan dalam kategori ‘Personaliti Wanita Paling Popular’ di pentas anugerah berprestij, Pesta Perdana 2025.

Ditanya Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 20 Mei mengenai pencalonan sulungnya ini, beliau melahirkan rasa syukur yang mendalam diiringi rasa terkejut kerana akhirnya, jerih payahnya terbayar selepas sembilan tahun berkecimpung dalam bidang hiburan tanah air.

“Saya masih sukar mempercayai pencalonan ini. 

“Ia benar-benar kejutan besar, tetapi pada masa yang sama, saya berasa sangat bersyukur,” ujar Sofia, yang sebelum ini berkecimpung dalam dunia peragaan dan penyiaran radio.

Menurut Sofia, pencalonan dalam kategori ini amat bermakna kerana ia berdasarkan pilihan masyarakat melalui pencalonan yang telah diadakan beberapa bulan lalu. 

Baginya, ini adalah detik berharga, terutama apabila sebahagian peminatnya telah mengikuti perjalanan kerjayanya sejak usia remaja.

“Saya rasa segala usaha keras saya akhirnya mula membuahkan hasil. 

“Ada peminat yang telah bersama saya sejak zaman blog, malah menyaksikan saya melalui pelbagai fasa kehidupan, daripada peragawati dan penyiar radio hingga menjadi pelakon,” kata Sofia, yang tidak pernah berputus asa walaupun penguasaan bahasa Melayu pada awalnya, kurang mantap.

Seiring perkembangan kerjayanya dalam bidang hiburan, Sofia mengakui bahasa Melayunya menunjukkan peningkatan, khususnya setelah berhasil menempa nama dalam arena seni hiburan di seberang Tambak. 

Pada 2023, beliau diberi kepercayaan membawa watak utama buat julung-julung kali sebagai Indah Kamelia, dalam drama romantik berjudul, Bukan Hanya Sekadar Cinta, yang ditayangkan pada 2023 di saluran Slot Akasia, TV3.

Sofia digandingkan dengan penyanyi Malaysia, Ismail Izzani, yang memainkan watak sebagai Isa Rafael, pemenang hati Indah Kamelia.

“Watak Indah Kamelia penuh agak mencabar dari segi emosi dan memerlukan saya benar-benar menyelami perasaan watak tersebut. 

“Penggambaran yang berlangsung selama tiga bulan setiap hari itu memang melelahkan, tetapi ia menjadi pengalaman yang mematangkan saya sebagai pelakon,” katanya.

Tidak hanya itu, Sofia turut mencuri perhatian dalam filem aksi komedi, Bulan dan Pria Hebat, arahan Ghaz Abu Bakar, yang dibintangi oleh Zahirah Macwilson, Zizan Razak dan Maya Karin, pada 2020.

Gandingannya dengan Zizan meninggalkan kenangan manis, lebih-lebih lagi kerana Zizan sering memberikan aksi spontan yang menghidupkan babak lakonan bersama.

“Zizan sangat kelakar dan suka melakukan ‘adlib’ atau improvisasi. 

“Rasanya tidak perlu hafal skrip kerana pada akhirnya, beliau akan mengubah dialog juga.

“Bagaimanapun, keserasian yang kami miliki di set penggambaran memudahkan lakonan kami,” ujar Sofia, yang memainkan watak sebagai tunangan Zizan dalam filem tersebut.

Tidak ingin terlihat kekok bertutur dalam bahasa Melayu, Sofia mengambil kelas tuisyen selama berada di Malaysia, bagi membuat lakonannya lebih meyakinkan.

Malah, kini, anak kedua dalam keluarga tiga beradik itu, rasa ‘lebih Melayu’ berbanding dulu sewaktu berjinak-jinak dalam bidang lakonan.

Memandang ke hadapan, Sofia ingin mencabar dirinya keluar dari zon keselesaan dengan memerankan watak yang lebih kompleks seperti seseorang yang mengalami gangguan mental.

Menyentuh tentang nilai yang menjadi pegangannya dalam meniti kerjaya dalam dunia hiburan, dengan penuh tekad, Sofia mengulas:

“Saya percaya bahawa ketakutan tidak seharusnya menjadi halangan. 

“Walaupun pernah dikecam kerana lakonan yang kurang memuaskan, saya akan bangkit dan membuktikan kemampuan saya.”

Pesta Perdana Glam akan disiarkan di saluran Suria, aplikasi mewatch, saluran YouTube, Mediacorp Entertainment, dan TikTok Mediacorp Untukmu, antara 7 malam dengan 8 malam. Ini disusuli dengan program utama, Pesta Perdana 2025, antara 8.30 malam dengan 11 malam.

“Saya percaya bahawa ketakutan tidak seharusnya menjadi halangan.  Walaupun pernah dikecam kerana lakonan yang kurang memuaskan, saya akan bangkit dan membuktikan kemampuan saya.”
Sofia Dendroff.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg