Adegan ikonik bertutur dalam pelbagai bahasa seperti Mandarin, Melayu, Tamil dan Inggeris dalam drama bersiri, Operandi Gerhana, meninggalkan kesan mendalam dalam diri pelakon kacukan, Cassandra Spykerman, sewaktu memerankan Nayla, seorang polis risikan wanita di era 1950-an.
Watak yang sering dilihat dengan berambut sanggul, gincu merah, kemeja dan skirt separas lutut itu dikatakan penuh misteri yang ada kalanya mendebarkan jiwa, meningkatkan lagi daya tarik pada pesona Nayla.
Persembahan cemerlang Spykerman itu melayakkan beliau sebagai calon kategori ‘Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Drama Bersiri’ di Pesta Perdana 2025.
Spykerman, 34 tahun, yang berdarah Serani, tidak sedikit pun gentar memaparkan kebolehan lakonannya di saluran Melayu.
Apa yang membuat dirinya tertarik pada saluran Melayu justeru adalah tema kekeluargaan dan unsur dramatik yang sering dipaparkan dalam untaian drama.
Dengan wajah yang memancarkan sinar kegembiraan, ibu seorang anak perempuan itu meluahkan rasa syukur atas pencalonan sulungnya di pentas anugerah berprestij tersebut.
“Mestilah saya terkejut apabila mendapat berita ini!
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran, saya akan tersenarai dalam pencalonan ‘Pelakon Pembantu Wanita’ bagi drama bersiri, Operandi Gerhana, apatah lagi kerana ia pun ditayangkan dua tahun lalu (2023),” katanya kepada Berita Harian (BH) sewaktu ditemui menerusi Zoom pada 20 Mei.
Drama terbabit yang mula disiarkan pada 25 September 2023 di aplikasi Mewatch dan platform penstriman Netflix, diilhamkan daripada sejarah gelap Singapura pada 1955.
Ia turut menjadi saksi kewujudan banyak kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam pelbagai jenayah, termasuk perjudian, penjualan dadah dan pelacuran, yang menjadi latar pada kisah penuh debaran itu.
Drama ini, meskipun berbahasa Melayu, turut melibatkan ramai pelakon bukan Melayu dan berbilang kacukan dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Antara mereka termasuk Carmen Soo, Michael Wahr, Jamie Aditya, Aaron Mossadeg, Shane Mardjuki, Alaric Tay dan James Kumar.
Bagi Spykerman, watak Nayla adalah cerminan keberanian dan ketabahan seorang wanita yang berdiri teguh di barisan hadapan dalam melaksanakan tugas, walaupun berhadapan cabaran yang rumit.
Malah, untuk melakonkan watak tersebut tidak kalah sukar buatnya.
Setidaknya, watak ini menjadi penenang dan saksi perjuangan Spykerman menghadapi pasang surut dalam hidupnya ketika itu, yang juga sedang mempersiapkan perancangan perkahwinan.
“Selain peralihan bahasa yang agak mencabar, saya juga perlu menitikberatkan hal-hal kecil yang dapat membuat watak Nayla menyerlah dari segi keperibadiannya.
“Misalnya, ada babak yang memerlukan Nayla menyamar menjadi salah satu anggota kongsi gelap, Dragonflies, kerana beliau ditugaskan untuk membuat risikan.
“Babak lain termasuk di mana saya harus menyelubungi Adam (lakonan Aaron Mossadeg) menggunakan selimut dalam sebuah bilik untuk mengelakkannya daripada disyaki musuh,” katanya, yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di bangku sekolah.
Namun, menurut Spykerman, yang paling mengesankan pada penonton adalah ketika Nayla melepaskan tembakan peluru amarahnya pada Major Johnson (lakonan Michael Wahr), yang telah meragut nyawa kekasihnya, Adam.
“Ketika menggambarkan babak itu, pengarahnya, Mike Wiluan, selalu mengingatkan saya mengapa watak itu bertindak sedemikian rupa.
“Nayla tidak pernah memegang pistol dan menembak seseorang atas alasan dendam. Sebelum ini, beliau hanya menggunakan pistol sebagai perlindungan diri.
“Jadi, ketika beliau menembak Major Johnson dek amarah yang terpendam, itu juga berat bagi saya untuk gambarkan,” tambah Spykerman, yang turut kagum dengan kerjasama yang diberikan oleh pasukan penerbitan dan barisan pelakon terlibat untuk menjayakan babak demi babak.
Selama penggambaran di Batam, beliau turut berkongsi tentang hubungan rapat yang terjalin antara dirinya dengan rakan pelakon, Soo, pelakon asal Malaysia, yang juga dicalonkan dalam kategori ‘Pelakon Wanita Terbaik – Drama Bersiri’ untuk drama yang sama.
Bakat lain Spykerman yang tidak berapa ‘terpendam’ lagi adalah nyanyian.
Beliau mengatakan mula berkecimpung dalam bidang lakonan melalui teater ketika berusia 19 tahun.
Namun, pada yang sama, minat bernyanyi sudah mendarah daging sejak kecil lagi.
Sewaktu berumur 20-an tahun, bernyanyi dalam ‘live’ band di kelab malam telah menjadi mata pencarian wang untuk menyara keluarganya.
Namun begitu, setelah dimahkotakan gelaran ibu, Spykerman tidak lagi aktif dalam bidang nyanyian.
“Setelah mempunyai anak, permintaan untuk bernyanyi juga sudah semakin perlahan.
“Kini, anak saya lah yang menjadi teman mendengar saya melepaskan rindu pada nyanyian,” kata Spykerman seraya tertawa.
Menyentuh tentang aspirasi susulan pencalonan ini, bahang semangat Spykerman lebih membara untuk terus mekar dalam industri hiburan tanah air.
“Pencalonan ini menunjukkan betapa pentingnya usaha yang gigih dalam mengerjakan sesuatu, ibarat hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.
“Saya ingin menjadikan pencapaian ini sebagai inspirasi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang lahir daripada bangsa minoriti seperti saya,” ujarnya, yang turut menyimpan harapan memegang watak utama dalam drama bersiri atau filem seterusnya.
Spykerman juga mengimpikan lebih banyak tema rumit seperti perceraian, hubungan antara kaum dan pengangkatan anak diketengahkan dalam karya drama atau filem tempatan, sekali gus kerjasama kreatif di peringkat serantau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg