Topik diikuti
Pergi ke BHkuDilabel tidak pandai nyanyi, Elizabeth Tan tetap bangga keunikan suara
Dilabel tidak pandai nyanyi, Elizabeth Tan tetap bangga keunikan suara
Susulan tularnya satu hantaran di aplikasi Threads yang menyenaraikan beberapa artis bersuara sumbang, nama penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan, turut terpalit.
Akur dengan kritikan itu, Elizabeth mengakui beliau tidak mempunyai teknik vokal yang hebat.
Bagaimanapun, penyanyi dan pelakon itu tetap berbangga dengan keunikan suaranya tersendiri.
Elizabeth yang mesra dipanggil sebagai Lizzy, 32 tahun, berkata beliau tidak pernah mendakwa dirinya pandai menyanyi kerana menyedari tidak pernah mengikuti kelas vokal atau latihan rasmi sebagai seorang penyanyi.
“Bab menyanyi, saya tidak pernah cakap saya pandai menyanyi. Saya tidak pernah sekali pun cakap saya ini hebat menyanyi.
“Saya tidak pernah masuk kelas vokal, saya tidak pernah masuk latihan sebagai seorang penyanyi.
“Tapi saya ada terfikir nak dilatih bawah asuhan penyanyi popular, Ernie Zakri, tapi masa itu mungkin dia sibuk.
“Selepas itu, saya tidak lagi mencari guru vokal lain,” katanya dalam laman web, Harian Metro.
Tatkala menyedari kelemahan teknik nyanyiannya, Lizzy berkata perkara itu berlaku mungkin disebabkan beliau jarang membuat persembahan pentas.
“Saya percaya nada saya, agak istimewa dan unik.
“Bila anda semua dengar di radio, tak nampak muka pun, orang akan kata, ‘Oh, itu suara Lizzy.’
“Saya bangga dengan keunikan nada suara saya.
“Tidak semua orang ada. Tetapi dari segi teknik menyanyi, saya tahu saya tidak pandai. Sebab itulah saya tak banyak buat ‘show.’
“Saya sedar diri tetapi dalam masa yang sama bukannya saya akan berhenti menyanyi terus.
“Saya sangat suka untuk menulis lagu dan saya suka menyanyikan lagu dengan genre yang sesuai dengan suara saya,” ujarnya.
Sementara itu, Lizzy turut meluahkan rasa terkejut dan terharu apabila membaca pelbagai komen positif serta sokongan daripada peminat di media sosial selepas isu berkenaan hangat diperkatakan.
“Saya terkejut bila saya baca komen.
“Saya sebenarnya takut nak baca komen sebab saya ingat semua orang akan benci saya.
“Tetapi bila saya baca, majoriti komen mereka sangat positif.
“Mereka ‘backup’ (pertahankan) saya,” tambah beliau.
Penyanyi yang popular dengan lagu, Knock Knock itu berkata peminat yang menyokong beliau telah berkongsi pengalaman bagaimana lagu beliau telah menemani pelbagai fasa kehidupan mereka.
Hal tersebut secara tidak langsung membakar kembali semangatnya untuk bertahan dalam industri seni.
“Sungguh menyentuh hati apabila melihat reaksi seperti, ‘okey, lagu awak membantu saya mengharungi situasi ini’, ‘lagu awak menemani saya sepanjang zaman sekolah menengah’, ‘lagu awak membantu saya melalui saat-saat sukar ini’.
“Itulah impak yang saya mahukan daripada album saya, kerana lirik lagu saya boleh mengaitkan dengan kehidupan mereka.
“Sebenarnya, saya berasa sangat gembira apabila membaca komen itu.
“Jadi, saya patut berterima kasih kepada orang yang membuat hantaran Threads itu.
“Disebabkan beliau, saya sedar yang saya sebenarnya mempunyai banyak kasih sayang dan sokongan daripada ramai orang yang selama ini saya sendiri tidak tahu,” katanya.