Tatkala mula menceburi bidang pengarahan dan lakonan, Liyana Jasmay menyedari sifat saling menyokong antara satu sama lain dalam kalangan penggiat seni itu sudah kian hampir lenyap.

Menurut Liyana, 38 tahun, beliau terkilan dengan sikap segelintir rakan industri yang memiliki sikap ‘suka menjatuhkan orang lain’.

Beliau berkongsi:

“Sebenarnya benda ini bukannya datang dalam kalangan netizen sahaja.

“Saya bukan cuba nak menjatuhkan atau mengaibkan sesiapa, tetapi penyatuan dalam industri ini memang tak ada.

“Kebersamaan untuk memberi sokongan itu sangat kurang.

“Apabila melihat seseorang itu sudah ‘evolve’ atau berkembang daripada satu tahap ke tahap yang lain, ia bukan satu perjalanan yang mudah.

“Saya sendiri dapat merasakan suasana atau ‘vibe’ tersebut.”

Sebelum ini, melalui satu kiriman dalam laman Threads, Liyana meluahkan rasa kecewa apabila ada rakan industri yang bersikap talam dua muka terhadapnya.

Liyana menjelaskan, terdapat individu yang menghemburkan kata-kata yang tidak baik terhadapnya dan ia bukan datang daripada orang awam.

Namun, individu itu sudah beliau anggap sebagai kakaknya sendiri.

“Mungkin saya sendiri ada masalah kerana saya jenis yang cepat mesra.

“Bila saya kawan dengan seseorang, saya anggap macam kakak sendiri dan saya harapkan orang itu akan suka saya semula, tetapi sebenarnya tidak.

“Kita rasa sahaja orang rambut sama hitam ini baik dengan kita, tapi mungkin sebenarnya mereka tidak berkenan dengan kita.

“Saya lebih sedih kalau mendengar kritikan daripada orang yang saya kenal berbanding orang asing,” katanya dalam laman Harian Metro.

Bagaimanapun, beliau dibesarkan dengan ajaran untuk sentiasa menghormati karya orang lain sejak menceburi bidang seni sejak kecil lagi.

Liyana yang merupakan pengarah bagi filem sulungnya iaitu ‘Pemuja Syaitan’ turut memegang pesanan individu yang berada dalam bidang industri seni.

Antaranya ialah Datuk Rosyam Nor, Badar Haji Azmi, Ahmad Idham dan Datuk Afdlin Shauki untuk tidak bersikap menghakimi terhadap hasil karya individu lain.

“Seni ini tiada istilah salah atau betul. Ia adalah interpretasi seseorang terhadap visi dan misi mereka. Saya tidak pernah menghakimi karya orang lain.

“Namun, lumrah dalam industri kita, melihat orang jatuh itu lebih menyeronokkan daripada menepuk tangan. Orang lebih suka ketawakan kegagalan kita.

“Arwah bapa saya selalu pesan, untuk berjaya itu memang susah dan memang banyak orang akan benci kita dalam perjalanan menuju kejayaan tersebut.

“Jadi, saya harus terus kuat,” kongsinya.

Filem ‘Pemuja Syaitan’ bakal menemui penonton di pawagam mulai 15 Oktober.

Ia akan menampilkan Zul Ariffin sebagai pelakon utama dan turut dibarisi pelakon popular Malaysia seperti Nadhir Nasar dan Aila Azizul.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti