Babak pertengkaran sengit antaranya dengan pelakon berpengalaman, Sani Hussin, dalam drama saspens, Mencari Marina, akan sentiasa terpahat dalam ingatan penyanyi dan pelakon, Olynn Saleh.
Apa tidaknya? Dahlah pipinya ditampar kuat oleh Sani sampai terjatuh di atas katil.
Dalam keadaannya tiba-tiba terlontar serta-merta, boleh pula matanya terpandang beberapa kuku palsunya tercabut dan ‘melayang’ merata kerana kesan dilempang Sani itu.
Kerana Olynn tidak tahan ketawa, maka adegan tersebut terpaksa diulang atau dilakonkan lagi.
Inilah antara perkara menarik yang dikongsi Olynn dalam jawapan e-melnya kepada Berita Harian (BH) mengenai dua pencalonan yang diterima untuk Pesta Perdana 2025, bagi kategori yang sama, iaitu ‘Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Drama Bersiri’.
Selain Mencari Marina, beliau yang awalnya lebih dikenali sebagai penyanyi dalam kumpulan 3D (bersama Asnida Daud dan Nadia Ali) dan band Shagies, turut dicalonkan bagi drama Krisalis.
Kesyukuran benar-benar dirasakan Olynn, apatah pula pada Pesta Perdana 2023, beliau menjulang piala ‘Pelakon Wanita Terbaik Dalam Watak Pembantu (Drama Khas/Antologi)‘ bagi watak tukang urut penuh misteri bernama Mastura dalam drama popular, Misteri Jam 12 (Musim Kedua).
“Saya memang tak percaya! Dua pencalonan dalam kategori yang sama? Ia cukup menakjubkan!
“Saya lebih daripada bersyukur dan rasa berbesar hati kerana diiktiraf seperti ini.
“Dengan penuh kerendahan hati dan senyum lebar terukir di bibir, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana panel pengadil telah menyenaraipendekkan kerja seni saya dan menghargainya.”
Menurutnya, satu perkara yang beliau senangi tentang peranannya dalam Mencari Marina adalah perubahan dinamis watak itu, daripada wanita yang mementingkan dirinya kepada seseorang yang lebih menyedari siapa dirinya.
Olynn menjelaskan satu hari suntuk di set penggambaran penuh terisi dengan lakonan babak yang sarat pasang surut emosi berbeza.
“Rakan pelakon lain menganggapnya sebagai satu larian maraton. Ia cukup mencabar apabila babak yang dijayakan datang silih berganti, sampaikan terasa macam tiada noktahnya.
“Ribut seketika. Mujurlah, saya mampu menghela nafas lega sebelum perlu bertukar pakaian dan hidupkan babak lain pula. Tapi ia pengalaman yang menyeronokkan,” kongsinya.
Bagi drama Krisalis, yang menceritakan tentang sebuah keluarga kaya raya berprofil tinggi yang tiba-tiba jatuh dalam keperitan, Olynn teruja diberi peluang bekerjasama dengan anak seni Singapura yang sudah bermastautin di Malaysia, Hasnul Rahmat.
“Saya banyak belajar sebagai seorang pelakon dan amat menghargai peluang berganding dengan Hasnul,” katanya lagi.
Olynn akur menyanyi adalah nyala rasanya yang sebenar, bahkan beliau menikmati setiap saat menyanyi setiap hari.
Bagaimanapun, lakonan mula menarik perhatiannya. Beliau jatuh hati pada dunia lakonan dan teruja dengan apa jua peluang berlakon yang ditawarkan kepadanya, baik peranan kecil atau besar.
“Saya optimistik tentang potensi dan peluang yang semakin banyak untuk bakat mapan kita dalam industri hiburan atau dunia televisyen Melayu.
“Seronok kalau kita dapat melihat artis veteran kita membawa pelbagai peranan yang meluas skopnya dan tidak tertumpu hanya sebagai ibu bapa atau datuk nenek.
“Saya kira kalau ada lebih banyak jalan cerita yang menampakkan keberanian dan inovasi lakonan, kita boleh berikan pelakon veteran kita peluang meneroka watak dan naratif yang lebih pelbagai dan rencam.
“Ini akan menambah juga minat atau pengalaman penonton kita apabila mereka mengamati watak yang dibawakan pelakon veteran.
“Lagi pun, pelakon mapan kita ni dah tahap legenda. Mereka mesti boleh berikan yang terbaik,” jelas Olynn, yang kepingin bawa watak jahat atau lain daripada lain.
Mengenai projek terkininya, beliau baru sahaja tamat menjalani penggambaran filem ringkas bagi projek pelajar yang mengambil tema sempena ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 atau SG60.
Ia akan ditayangkan sekitar Jun ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg