Pejam celik, Syawal akan menjelang dalam beberapa hari lagi, pada 31 Mac.
Sedang ramai masyarakat Melayu/Islam sibuk membuat persiapan Aidilfitri, rancangan Sinar Lebaran, yang dinanti-nanti sebagai program ‘wajib tonton’, bakal menjengah ke layar televisyen pada malam Hari Raya, 30 Mac, dari 9 hingga 11.30 malam.
Disiarkan di saluran Mediacorp Suria, Sinar Lebaran 2025 selama dua setengah jam menghiasi malam Hari Raya dengan sketsa komedi, menjadikan suasana riang sekali gus memperindah sambutan Syawal.
Menyentuh tentang sketsa komedi, pastinya soalan yang bermain di fikiran ramai adalah apakah jenaka yang disajikan ‘sampai’ ke hati penonton dan tidak mengulangi kegenjotan sketsa komedi dalam Sinar Lebaran 2024, yang dikecam kerana kurang daya humornya.
Sejajar dengan sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), program kali ini menyajikan sketsa yang menggambarkan perubahan sambutan Hari Raya sepanjang berdekad lalu, bermula dari zaman 1960-an hingga kini.
Sketsa itu dijayakan barisan artis tempatan seperti, Fir Rahman, Aminah Ahmad, Khairudin Samsudin, Zuhairi Idris, Farah Lola, Haziqah Hashir, Junaidi Sali, Mishall Kiara, Danish Aswad, Shaqeel Jailani, Siti Hajar, Syirah Jusni dan Zain Ihsan.
Sketsa komedi dengan modal jenaka selamba ini tidak akan lengkap tanpa kehadiran pelawak tanah air, Hamzah Adon dan Hussein Saaban.
Dengan menampilkan lebih ramai bakat tanah air rentas generasi, sketsa komedi sempena Aidilfitri 2025, menjadi persembahan yang sarat dengan nostalgia dan keindahan budaya.
Lebih menarik lagi, buat kali pertama, Sinar Lebaran 2025 diadakan tanpa kehadiran pengacara, memberi tumpuan sepenuhnya kepada jalan cerita dan bakat pelakon yang terlibat.
“Dalam sketsa ini, penonton akan dibawa dalam kembara masa kerana setiap babak memaparkan sambutan Aidilfitri dalam era yang berbeza.
“Lagu Raya yang disajikan turut menyokong peredaran zaman yang digambarkan dalam sketsa komedi.
“Memandangkan acara tahun ini (2025) diadakan tanpa pengacara, pelakon yang terlibat menjadi nakhoda yang akan membentuk jalan cerita sambil memaparkan lagu Raya sepanjang zaman, sejajar dengan SG60,” kata Fir Rahman, 44 tahun, kepada Berita Harian (BH).
Hiburan lagu Raya malar segar mahupun yang baru ditampilkan Aisyah Aziz, Azra Zulaikha, Eka Mairina, Elfee Ismail, Hady Mirza, Izat Ibrahim, Jatt Ali, Datuk Ramli Sarip, Sunny Jackson, Syaz Smooth, Umairah (Myra) dan Yanni Bakri.
Bonus pada malam Lebaran ialah kehadiran penyanyi terkenal dari seberang yang mempunyai ramai peminat, iaitu Dayang Nurfaizah dan Tomok.
Melalui Sinar Lebaran 2025, penonton boleh meraikan suasana malam Hari Raya dengan untaian lagu klasik, antara lain, Selamat Hari Raya, nyanyian asal Allahyarhamha Puan Sri Saloma; Satu Hari Di Hari Raya (Datuk Dr M. Nasir); dan Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone).
Malahan, lagu Raya moden seperti, Bersyukur Seadanya (Hael Husaini) dan Ketipak Ketipung Raya (Aisha Retno dan Aziz Harun), turut menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri.
Penyanyi terkenal Malaysia, Dayang Nurfaizah, 43 tahun, turut berkongsi keseronokan menjayakan acara yang penuh meriah itu.
Lebih istimewa lagi, beliau menyampaikan sebuah lagu Raya yang belum pernah dibawakan secara langsung berjudul, Raya Terbaik.
Cuma dalam hati berkata, kalaulah Dayang datang dengan lagu Raya barunya, Jodoh Hari Raya, bukankah lebih seronok?
“Terakhir kali Dayang terlibat dalam program, Sinar Lebaran, ialah pada 2022.
“Yang seronoknya pula tahun ini (2025), mereka memilih lagu Raya yang belum pernah Dayang bawakan di mana-mana iaitu, ‘Raya Terbaik’.
“Lagu ini dinyanyikan bersama pelakon dan penyanyi, Hannah Delisha dan penyanyi ‘rap’, Sophia Liana, yang juga anggota De Fam, pada 2022.
“Dari segi persiapan, Dayang perlu berlatih dan merancang pembahagian lagu tersebut, memandangkan lagu asal dinyanyikan secara bertiga,” kata Dayang yang turut membawakan lagu, Raya Terbaik, bersama penyanyi Singapura, Eka Mairina.
Bagi saya yang menonton rakaman Sinar Lebaran buat kali pertama, ia sesuatu yang menyegarkan.
Mujurlah, Hamzah dan Fir boleh ‘gel’ untuk cuit hati penonton. Jadi, saya beri jaminan, takkan ada yang ‘frust’ menonton Sinar Lebaran 2025 yang lebih santai, disisip dengan pesanan tentang persahabaran serta ukhuwah antara masyarakat Melayu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg