SUBANG JAYA: Kumpulan Dolla tidak merancang menghasilkan video muzik baru bagi single Question selepas klip itu diturunkan dari pelantar digital, baru-baru ini.
Anggota Dolla, Angel berkata Dolla mahu terus melangkah ke hadapan dan menghasilkan produk baru selepas kontroversi video muzik Question.
“Langkah menurunkan klip video Question adalah keputusan pasukan kami dan difikir ia tindakan terbaik.
“Saya fikir ramai orang gembira dengan keputusan itu. Kami mahu terus melangkah ke hadapan untuk peminat, iDolla.
“Kami masih ada klip video latihan tarian untuk peminat dan video muzik untuk penonton antarabangsa. Saya fikir hari ini sahaja sudah mencecah 400,000 tontonan.
“Kami tahu kami ada penonton di luar negara. Kami gembira berkongsi video muzik itu bersama mereka,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) selepas membuat persembahan dan bertemu iDolla di Bandar Sunway pada 6 Disember.
Angel, atau nama sebenarnya, Angelina Chai Ka Ying, berkata Dolla berterima kasih kepada peminat yang terus memberi sokongan kepada mereka.
“Bagaimana kami boleh berterima kasih kepada peminat? Mereka tak boleh lihat persembahan kami tetapi masih menyokong dari jauh. Mereka buat video untuk kami dan sebagainya.
“Ada peminat dari Russia dan Jerman yang buat video ‘cover’ tarian untuk lagu Question. Bahasa Melayu pun tak mudah untuk mereka ‘lip sync’ tapi mereka belajar dan buat.
“Jadi, Dolla fikir kami sebarkan aura positif kerana peminat di luar negara yang sanggup belajar mengenai Malaysia,” katanya.
Mengulas persembahan di Bandar Sunway, inisiatif itu diambil bagi menghargai peminat yang sudah membeli tiket konsert Dolla Good Girls Gone Bad yang pada mulanya dijadual berlangsung di Idea Live, Petaling Jaya, pada 6 Disember.
“Dari segi minda, kami sudah bersedia mementaskan konsert buat peminat. Kami rindukan mereka. Disebabkan mereka sudah membeli tiket, mengapa tidak kami adakan perjumpaan ini untuk mereka?
“Ada yang datang dari Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ada juga seorang peminat yang terbang dari Jerman untuk tengok konsert kami,” katanya lagi.
Angel mengaku semua anggota Dolla sedih dan terharu melihat sokongan peminat.
“Namun, biarpun konsert tidak dianjurkan, tahun depan (2026) akan lebih baik. Kami teruja untuk itu.
“Untuk persembahan tahun depan. kami ada lebih masa untuk membuat persiapan buat iDolla seperti album baru,” katanya.
Sebelum ini, syarikat pengurusan Dolla, Universal Music Malaysia, bertindak menurunkan video muzik Question di semua platform digital selepas mendapat kecaman ramai.
Konsert kumpulan Dolla, Good Girls Gone Bad Live In Concert, yang sepatutnya berlangsung di Idea Live, Petaling Jaya, pada 6 Disember juga dibatalkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg