Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fenomena Feminin, ‘Tamparan Wanita’ Elite dikenang

Jun 24, 2025 | 7:16 PM
Feminin, As, Along, Watie, GenKRU
Kumpulan Feminin mungkin tidak lama dalam industri seni tetapi membawa impak besar dan pengaruh dari segi fesyen dan penampilan mereka pada 1990-an. Kelihatan (dari kiri) Along, Watie, dan As, menghidupkan kembali nyala rasa pada dunia hiburan dalam Konsert GenKRU di Axiata Arena, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto INSTAGRAM AS FEMININ

Penangan kumpulan Feminin yang terkenal antara 1992 dengan 1999 memang tidak boleh dinafikan.

Walaupun kehadiran mereka dalam persada seni Nusantara tidak sampai 10 tahun, bagaimanapun, impak mereka pada kehidupan kanak-kanak dan anak gadis ketika itu, memang tidak dapat dinafikan.

Setiap kali pulang dari kampus, saya akan terlihat anak saudara saya yang pada ketika itu berusia lapan tahun akan menari-nari di atas tilamnya, mengikut gaya Feminin, walaupun liriknya bersepah, mengikut gerak hatinya.

Menyingkap kenangan yang sukar dilupakan, seorang teman yang lebih muda daripada saya akan berkata: “Kak, saya sampai ke salun rambut dan bawa majalah dengan kulit muka berhiaskan gambar Feminin.

“Saya minta ‘nyonya’ di salun potong pendek rambut saya, ikut gaya As Feminin (vokalis kumpulan)! Pakaian yang saya gunakan ke politeknik pun ala-ala Feminin. Sempat pakai but lagi!”

Kerana itu, saya kira apabila Feminin yang sudah menggantung mikrofon selama 28 tahun tiba-tiba muncul di pentas Axiata Arena, Kuala Lumpur, bagi hari keempat konsert KRU, GenKRU, pada 11 Mei lalu, ramai yang teruja.

Berulang kali saya menyaksikan klip video yang tular di TikTok.

Walaupun Asfarina Muhamad (As), Ruzilawati Muhamad (Watie), dan Along (Nor Askiela Zainal Abidin) yang muncul, tanpa kehadiran Yatie (Andriaty Abdul Rahman) dan Deq Nor (Noor Intan Zanariah Abdul Zaharin), tidak selincah dahulu dek faktor usia dan status mereka sebagai ibu, mereka memang ‘Nombor 1’.

Saya akui suara mereka tidaklah ‘tip-top’ macam Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nadeera, Ernie Zakri, atau Aina Abdul. Bagaimanapun, Feminin memang fenomena 1990-an yang tidak dapat dilupakan.

Lebih-lebih lagi apabila mahakarya seperti Untukmu, Kini dan Rindu, mahupun lagu Hari Raya, Kurniaan Hari Raya, yang mereka persembahkan, lengkap dengan gerak tari mempesona, membuatkan kita terbayangkan kumpulan pop Korea (K-Pop) wanita kegilaan ramai kini.

Sebelum Dolla dan De Fam menguasai pasaran, kita dibuai dengan lagu dan gaya Feminin dan sebuah lagi kumpulan wanita yang dikaitkan dengan bos mereka yang tak kurang hebatnya, KRU.

Dalam saya menulis rencana ini juga, saya mendapat berita Elite akan mengadakan konsert Elite’25 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 September ini, sempena ulang tahun ke-30 kumpulan yang pernah diberi jolokan ‘Spice Girls Malaysia’.

Bolehlah kita lihat Abby Abadi, Azza Zawari, Watie Sadali, Sasha Saidin dan Linda Rafar, menunjukkan usia bukan penghalang bagi mereka kekalkan stamina untuk menari seperti dahulu.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata penganjuran konsert itu bagi memenuhi permintaan tinggi peminat yang mahukan kemunculan semula Elite selepas penampilan ringkas mereka di Konsert GenKRU sebelum ini.

Pemerkasaan wanita menjadi antara teras penubuhan Elite.

Lagu mereka mempunyai sisipan pesanan sosial buat wanita, sebagaimana Trauma dan Tamparan Wanita.

Siapa boleh lupa lagu Manisnya Senyumanmu, Sesuatu Di Dalam Dirimu, G.I.G, Di Pintu Syurga (duet bersama KRU)? Semuanya menggamit memori.

Bagi saya, kehadiran kumpulan wanita ini adalah petanda bagaimana sekumpulan wanita boleh bersatu hati dalam menyebar erti gotong-royong, persahabatan dan saling mendorong dalam dunia yang kian hari kian dimamah konflik dan pergeseran pendapat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg