SHAH ALAM: Sejak episod pertama disiarkan di slot Lestary TV3 pada 28 Februari lalu, drama Keluarga Itu terbitan Rumah Karya Citra mencetus perbincangan hangat mengenai realiti institusi keluarga.
Kisah dipaparkan termasuk cabaran mengasuh anak autisme mengundang pelbagai reaksi penonton, baik marah, kecewa, jijik dan simpati yang mendalam.
Drama Keluarga Itu menyuluh sisi gelap kehidupan sebenar di mana pengkhianatan daripada darah daging sendiri bukan semata-mata imaginasi dan mimpi ngeri, sebaliknya, realiti kejam yang dialami sesetengah individu.
Datin Seri Umie Aida yang menghidupkan watak Chempaka dalam drama itu, mengakui menerima banyak mesej langsung (DM) pengikut yang berkongsi pengalaman pahit mereka.
Umie atau nama sebenar, Umi Khalsum Rahmad Ali, 51 tahun, berkata watak Chempaka memberi kesan kepada penonton hingga ramai wanita yang menjadi mangsa penganiayaan melayangkan DM untuk meminta nasihat.
“Saya harap drama Keluarga Itu memberi kekuatan untuk para mangsa yang selama ini berdiam diri, tidak berani untuk bercakap dan meluahkan perasaan kerana stigma masyarakat yang terlalu kuat.
“Tetapi, apabila adanya drama ini, ada yang berani menghantar DM dan mengadu rasa kepada saya.
“Kita tidak boleh menghakimi seseorang sebab tidak tahu sejarah menimpa mereka.
“Saya terima banyak DM berbaur luahan hati, lantas menjadi kawan berborak.
“Saya juga berkongsi gurauan agar mereka lebih relaks berhadapan masalah masing-masing,” katanya ditemui BH Online, pada majlis berbuka puasa istimewa bersama pelakon Keluarga Itu di baru-baru ini.
Drama Keluarga Itu berkisar keluarga Iman lakonan Datuk Rosyam Nor dan Chempaka (Umie) yang bergelut dengan kenyataan hidup yang jauh dari kesempurnaan.
Iman, seorang tokoh tahfiz yang dihormati, perlu membimbing empat anaknya iaitu Ansara (Fattah Amin), Anwari (Muaz Zabir), Dhamiah (Puteri Balqis) dan Dhini (Duerra Mitilda) yang membawa keresahan dan cabaran masing-masing.
Drama Keluarga Itu sebanyak 30 episod diarahkan Nur Ain Sharif, Ejump Mohd dan Amor Riza.
Umie mengakui geram dengan watak Chempaka berikutan sikap yang bertentangan dengan dirinya.
“Saya rasa agak geram atas perbezaan yang ketara dengan sikap saya. Watak itu diwujudkan melalui penyelidikan.
“Memang ada wanita yang tidak bersuara dan butakan mata kerana terlalu mengikut suami.
“Jadi, Chempaka tidak sensitif terhadap anak perempuan dan sebagainya... Ada ibu seumpama itu.
“Namun, saya cuba fahami Chempaka dan trauma yang dilaluinya,” katanya.
Umie berkata beliau banyak berbincang untuk mencari jalan menghidupkan jalan cerita Keluarga Itu yang diilhamkan daripada kisah benar.
“Chempaka ialah pendosa dan berubah secara drastik. Disebabkan itu beliau bertukar menjadi naif.
“Beliau tidak mempunyai asas dalam agama, tidak tahu sembahyang dan tidak pernah sembahyang.
“Chempaka juga tidak tahu bagaimana hendak didik anaknya. Apa yang mahu disampaikan menerusi cerita ini juga adalah mengenai didikan kepada anak.
“Kalau tiada asas agama dari kecil, inilah yang akan terjadi pada keluarga anda. Didikan agama sangat penting.
“Kita kena didik anak kita batasan dalam perhubungan dan sebagainya,” katanya.
Fattah Amin yang menghidupkan watak Ansara mengakui wujudnya karakter itu dalam dunia realiti.
“Biarpun tidak banyak, pasti ada yang mengalami nasib seperti Ansara. Kalau perkara ini terjadi kepada diri kita, apa yang patut dibuat? Mesej itulah yang mahu disampaikan penulis skrip melalui watak Ansara.
“Saya hanya melakonkan watak yang sudah diberi penulis skrip. Kita bukan sesuka hati boleh ubah watak.
“Sekarang kita nampak yang buruk, pada hujung drama ini nanti, penonton boleh nampak hikmah di sebalik musibah dan ujian yang diterima,” katanya.
Ditanya persamaan watak yang dibawanya dengan kisah peribadinya, Fattah bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Soal jalan cerita atau watak, saya tidak boleh ulas kerana pelakon terima skrip daripada penulis dan pengarah.
“Bagi saya, paling penting adalah menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberi sebaik mungkin... Itu sahaja,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg