Dari pentas seni suara dan gelanggang adu bakat Talentime, Faridah Dollah dan Rozianah Baharudin kini bahagia membangun perniagaan makanan selepas berdekad lamanya tidak muncul di kaca televisyen.
Faridah, 60-an tahun, yang merupakan juara bahagian solo adu bakat Inggeris di Radio Televisyen Singapura (RTS), Talentime 1978, mengendalikan gerai Syifa’ Satay di pusat makanan Makansutra Gluttons Bay berdekatan pusat seni Esplanade.
Gerai itu dikendalikan sejak 2019, sebelum Covid-19 melanda.
Mungkin ramai tidak perasan wanita ramah bertudung adalah Faridah, penyanyi bersuara emas suatu ketika dahulu.
Namun, apabila terdengar suara serak-serak basahnya, mereka yang pernah mendengar vokal merdu itu tahu inilah anak seni yang sudah menghilang dari arena hiburan setempat.
“Sejak 2019, sebelum Covid-19, saya menjadi pemilik bersama Syifa’ Satay ini bagi memastikan saya terus aktif melakukan sesuatu.
“Tiada hari yang membosankan sebab saya bertemu dengan ramai pelanggan termasuk pelancong yang rata-rata ramah dan menyambut baik apabila kita dapat bersembang santai.
“Secara umum, saya adalah seseorang yang suka bertemu orang. Amanah ini dirasakan sesuai. Sambil meniaga, kita ceriakan orang dengan bertanya khabar dan pastikan mereka selesa sambil menikmati sajian kita,” ujarnya dalam satu wawancara terdahulu.
Apabila suaminya meninggal dunia kerana barah paru-paru sekitar 13 tahun lalu, pemilik restoran makanan Italy, Rozianah, berasakan dunianya remuk-redam.
Lantaran itu, pemenang tempat ketiga adubakat Inggeris Talentime 1980 itu, tergerak ingin menutup sahaja restoran Porta Porta di kawasan Changi Garden.
Bagaimanapun, beliau teringatkan pesanan arwah suaminya, Antonino Laino, seorang usahawan marmar, yang yakin akan semangat wajanya untuk meneruskan perniagaan yang dibina bersama dengan penuh nyala rasa.
Porta Porta yang menyajikan makanan dari daerah selatan Italy sudah enam tahun berpindah ke 32 Jalan Pari Burung (berhampiran Simpang Bedok).
Rozianah, 64 tahun, lebih teruja dan bersyukur dirinya dibantu anak tunggalnya, Danesh, 37 tahun, dalam mengurus restoran itu.
Dalam wawancara BM dengannya sebelum ini, Rozianah yang pernah menyanyi di Hotel Marco Polo dan sudah mengeluarkan dua album pada 1980-an berkata:
“Tidak mudah kendalikan restoran sebab akan timbul isu mendapatkan pekerja yang komited dan sedia bekerja keras melayan keperluan pelanggan.
“Saya dapat rasakan desakan menutup perniagaan apabila suami saya meninggal. Kami memang sering berbincang tentang menu untuk disajikan serta keperluan lain yang perlu kami utamakan dari segi mutu makanan dan keperluan pelanggan.
“Apabila beliau tiada, saya ibarat patah sayap. Saya risau nanti orang akan kurang kepercayaan kerana wanita Melayu Singapura yang kendali bisnes masakan Italy.
“Namun, saya ingat pesan arwahnya sebelum pergi. Beliau beri saya keyakinan, saya kuat semangat dan boleh teruskan perniagaan,” ujarnya lagi. - ISMAWATI ISMAIL


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg