Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua dekad bersama, pelakon Edika, isteri sah bercerai

May 5, 2025 | 11:50 AM
Edika Yusof, Nor Hidayah Yusri, cerai, divorce, Malaysia
Edika Yusof dan Nor Hidayah Yusri sah bercerai pada pagi 5 Mei di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. Menurut Nor Hidayah, beliau terpaksa menuntut cerai kerana ia melibatkan hukum dan beliau berharap Edika faham. - Foto BH ONLINE

KUALA LUMPUR: Rumah tangga yang dibina selama 20 tahun antara pelakon, Edika Yusof, dengan Nor Hidayah Yusri, berakhir dengan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur pada pagi 5 Mei.

Edika, atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abdul Majid, 58 tahun, melafazkan di hadapan hakim syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh.

“Saya setuju melepaskan plaintif (Nor Hidayah),” kata Edika, ketika disoal oleh hakim pada awal perbicaraan.

Hakim seterusnya bersetuju dengan prosiding pada 5 Mei dan membenarkan defendan iaitu Edika melafazkan cerai talak satu di bawah Seksyen 47, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Ketika ditanya sama ada mempunyai ucapan terakhir buat isterinya, Edika menjawab tiada.

Seterusnya, Nor Hidayah, ketika diminta membuat ucapan terakhir, dalam nada sebak memohon pemahaman daripada Edika.

“Sebagai isteri, saya tak pernah menafikan semua kebaikan yang pernah beliau buat dan keputusan saya adalah atas hukum.

“Saya tahu saya boleh bertahan sehingga akhir hayat, tapi apabila sudah membabitkan hukum, saya terpaksa buat keputusan ini.

“Saya berharap beliau (Edika) faham,” katanya.

Seterusnya, Edika dan Nor Hidayah, 47 tahun, bersalaman sebelum melafazkan cerai.

Pada 24 Mac lalu, peguam syarie mewakili Nor Hidayah, iaitu Encik Mohd Yazid Hazim dari Tetuan Yazid Azuhan Associates, mengesahkan wanita itu memfailkan perceraian pada pertengahan Februari 2025.

Menurut Encik Mohd Yazid, mahkamah turut menetapkan 5 Mei sebagai tarikh lafaz cerai selepas prosiding ditangguhkan susulan wanita itu dalam keadaan tidak suci.

Encik Mohd Yazid memaklumkan terdapat 10 dakwaan yang Nor Hidayah sertakan atas sebab permohonan cerai.

Bagaimanapun, pihaknya tidak boleh mendedahkannya kerana ia boleh mengaibkan.

Menerusi hasil perkongsian hidup sejak 2003, Edika dan Nor Hidayah dikurniakan dua cahaya mata, Fardeen Nasrulhaq, 21 tahun, dan Fereena Nurulhaq, 20 tahun.

Terdahulu, Edika dan Nor Hidayah menarik perhatian ramai apabila Edika sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg