Isteri pelakon, Edika Yusof, Nor Hidayah Yusri, mendakwa suaminya sudah banyak kali melafazkan talak, namun menafikannya.
Nor Hidayah berkata, beliau mengambil keputusan untuk meneruskan dengan permohonan cerai berikutan tindakan Edika itu.
“Memang saya buat permohonan cerai, tapi sebenarnya ini bukan permohonan kali pertama. Sebelum ini, saya pernah datang ke mahkamah untuk membuat pengesahan lafaz talak yang dilafazkan banyak kali.
“Tapi, Edika menafikan semuanya dan mengangkat sumpah laknat pada Januari lalu (2025), jadi saya teruskan dengan permohonan cerai.
“Disember tahun lalu (2024) saya buat pengesahan lafaz cerai, namun Edika tak mengaku,” dakwanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Bagaimanapun, Nor Hidayah berkata, beliau tiada masalah untuk meneruskan hubungan baik dengan Edika selepas bercerai.
“Saya tiada masalah berdamai sebab saya sudah mohon dan ajak Edika selesaikan cara baik supaya orang tidak tahu. Tetapi, dia mahu panjangkan dan inilah yang berlaku,” katanya.
Tambah Nor Hidayah, apa yang berlaku turut diketahui oleh anak-anaknya.
“Anak-anak tahu semua yang terjadi. Minta maaf, saya tak boleh cakap lebih-lebih, terpulang pada Edika apa dia nak cakap,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan selepas prosiding sebutan kedua bagi permohonan cerai, pada pagi 23 April.
Sementara itu, anak sulungnya, Fardeen Nasrulhaq, 21 tahun, yang turut hadir menemani ibunya, berkata perceraian adalah jalan terbaik buat ibu dan ayahnya.
“Selagi masih hidup saya boleh jaga dia (ibu). Tiada apa yang boleh saya cakap, tapi inilah jalan penyelesaiannya. Ibu dan ayah juga akan kurang tekanan. Saya pun sudah biasa sejak kecil, jadi untuk saya tiada beza,” katanya.
Pada pagi itu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi permohonan cerai difailkan Nor Hidayah.
Peguam syarie mewakili Nor Hidayah, Encik Mohd Yazid Hazim dari Tetuan Yazid Azuhan Associates, berkata pihak mahkamah membenarkan Edika untuk melafazkan cerai pada tarikh berkenaan.
“Seperti sedia maklum, hari ini adalah kes permohonan cerai yang secara asasnya, mahkamah sudah membenarkan Edika melafazkan cerai. Namun, Nor Hidayah tidak suci hari ini, jadi mahkamah menangguhkan kepada 5 Mei depan. Pada tarikh itu, Edika perlu hadir ke mahkamah untuk melafazkan cerai,” kata Encik Mohd Yazid kepada BHM.
Encik Mohd Yazid memaklumkan, terdapat 10 dakwaan disertakan oleh Nor Hidayah atas sebab permohonan cerai dibuat, bagaimanapun tidak boleh mendedahkan kerana ia mengaibkan.
“Kita sudah bentangkan fakta-fakta kes untuk mahkamah teliti permohonan cerai sama ada wajar atau tidak Nor Hidayah mahu bercerai dengan suaminya. Selepas fakta ini dibentang dan dakwaan dijawab oleh Edika, mahkamah akan memanggil anak sulungnya untuk memberi keterangan terhadap setiap dakwaan Nor Hidayah terhadap Edika.
“Mahkamah menerima setiap keterangan dan alasan Nor Hidayah dan mahkamah menerima alasan paling kritikal dalam rumah tangga yang sudah berlalu selama lebih 20 tahun.
“Ia sepatutnya sudah diselesaikan, tapi disebabkan Nor Hidayah bermurah hati demi menjaga maruah keluarga. Sampai sekarang barulah dia ada ketabahan atau kerelaan untuk memohon. Ini pun kerana sudah tidak tahan lagi.
“Ada lebih kurang 10 dakwaan dan kalau saya bentangkan, ia akan mengaibkan. Semua dakwaan ini paling kritikal dan boleh mencemarkan maruah Nor Hidayah sebagai isteri,” katanya.
Berikutan itu, Encik Mohd Yazid, berkata tindakan Nor Hidayah memfailkan cerai adalah wajar sebab sudah menerima pelbagai kecaman dari pihak-pihak yang menyalahkan dirinya.
“Dakwaan ini semua disaksikan oleh anaknya dan menyokong dakwaan Nor Hidayah. Jadi, ketidaksefahaman adalah hanya di permukaan sahaja, ada sembilan dakwaan kritikal lagi,” katanya.
Pada pagi 23 April, sebutan kedua kes permohonan cerai Nor Hidayah berjalan, sebagaimana yang ditetapkan pada pertengahan Februari lalu. Mahkamah menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Edika gagal menghadirkan diri dalam prosiding pertama.
Sebelum ini, kisah pasangan berkenaan meraih perhatian ramai apabila Edika setia menjaga Nor Hidayah yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg