Dunia penyiaran hilang ‘suara wibawa’ dengan pemergian Rashid Sulaiman
Dunia penyiaran hilang ‘suara wibawa’ dengan pemergian Rashid Sulaiman
Dunia penyiaran tempatan kehilangan sebutir permata dengan pemergian wartawan penyiar era 1970-an hingga lewat 2000-an, Allahyarham Rashid Sulaiman.
Allahyarham, 78 tahun, kembali ke Rahmatullah pada 17 Februari lalu, sekitar 1.40 pagi, di Hospital Besar Sengkang.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 19 Februari, anak tunggal Allahyarham, Encik Mohammed Noor Rashid, 50 tahun, berkongsi bapanya mula mengadu sakit di bahagian perut sejak beberapa minggu sebelum pemergiannya.
“Selama dua minggu terakhir ini, bapa saya ada mengadu sakit di bahagian perut.
“Kami pun membawanya ke klinik untuk pemeriksaan.
“Pada awalnya, doktor mengesyaki beliau mengalami flu perut dan memberikan ubat probiotik serta penahan sakit,” kata Encik Noor.
Bagaimanapun, keadaan bapanya itu tidak menunjukkan tanda-tanda pulih.
“Pada 16 Februari lalu, ketika saya berada di dapur, ibu memanggil dan memberitahu bapa terjatuh.
“Apabila saya bergegas ke bilik, saya dapati beliau sudah rebah dalam keadaan tersujud,” katanya.
Bapanya itu kemudian dibawa ke Hospital Besar Sengkang.
Menurut Encik Noor, Allahyarham sebelum ini menghadapi kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.
Namun begitu, kesakitan di bahagian perut yang dialami berpunca daripada ulser yang telah pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman.
“Saya memaklumkan kepada doktor yang sebelum ini, bapa ada mengadu sakit perut.
“Doktor kemudian menjalankan prosedur skop.
“Antara 2 dengan 3 petang (16 Februari), doktor memberitahu terdapat luka di bahagian perut bapa saya akibat ulser yang telah pecah dan menyebabkan pendarahan,” ujar Encik Noor.
Tepat 1.43 pagi pada 17 Februari, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Pada hari yang sama, jenazah beliau selamat dikebumikan di Pusara Aman pada 4.30 petang.
Allahyarham dikenali dengan suara berwibawa, seolah-olah ‘menghidupkan’ liputan sekali gus membolehkan pendengar radio merasai sendiri keterujaan dan suasana di lokasi ketika berita sukan dilaporkan di udara, kata rakan penyiar Cik Surtini Sarwan.
Bahkan, Cik Surtini, 76 tahun, turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tidak banyak ‘songeh’ (santai).
“Allahyarham seorang yang pendiam dan sangat santai. Bahkan bila marah pun, kita sukar untuk mengetahuinya.
“Beliau juga seorang yang lembut hati dan amat disukai oleh golongan muda ketika itu, sehingga ramai yang menjadikannya sandaran untuk berkongsi cerita,” kata Cik Surtini.
Sejak bersara pada 2008, Allahyarham sebenarnya tidak pernah benar-benar ‘meninggalkan’ dunia penyiaran yang dicintainya.
Pada 2024, beliau kembali menyapa pendengar secara mingguan setiap Sabtu – dari 10 pagi hingga 2 petang – mengendalikan segmen hujung minggu di stesen radio Warna 942 bersama penyiar, Elfie Rafiee.
Menurut Encik Noor, Allahyarham biasa bersiaran setiap Ramadan.
“Beliau pernah beritahu, kalau dijemput lagi untuk Ramadan tahun ini (2026), beliau tidak akan menolak,” singkapnya.
Namun begitu, hajat itu tidak kesampaian.
Bagi Encik Noor, Ramadan kali ini pastinya terasa lebih sunyi tanpa kehadiran insan yang disifatkannya sebagai pemurah hati, gemar bergurau dan sentiasa menceriakan suasana.

