Selepas mula mengendalikan rancangan Singa Maksima di udara, penyiar radio Mediacorp Ria 897, Ezam Ernady, dapat memahami dengan lebih mendalam perjalanan yang dilalui pemuzik tempatan untuk menempa nama dan meraih kejayaan dalam bidang hiburan.
“Menerusi sesi temu bual dengan bakat tempatan yang terdiri daripada penggubah lagu, penyanyi dan pemuzik, saya dapat mempelajari bagaimana mereka bekerja keras untuk bertahan dalam industri seni tempatan.
“Setiap individu ada cerita masing-masing. Namun, tidak kira yang baru atau mapan, mereka tidak pernah putus asa untuk berkarya demi peminat walaupun pasaran tempatan tidak sebesar berbanding dengan negara jiran,” kongsi Ezam, 34 tahun, semasa satu sesi temu bual bersama Berita Harian (BH) melalui Zoom.
Singa Maksima merupakan rancangan yang bersiaran di udara setiap hujung minggu dengan memberi fokus kepada bakat tempatan.
Ezam atau nama sebenarnya, Muhammad Ezam Ernadi Mohd Ashri, turut menyuntik pembaharuan dalam rancangan itu dengan menampilkan bakat tempatan yang kurang dikenali media arus perdana.
“Saya cuba mengetengahkan bakat seperti busker (penyanyi jalanan), The Street Therapist, yang mempunyai perjalanan muzik menarik untuk dikongsi dengan para pendengar,” jelasnya yang mengendalikan program itu sejak September 2024.
Baru-baru ini, Ezam diberi peluang menjadi salah seorang hos bagi rancangan hiburan secara langsung iaitu Singapura LIVE! 4.0 yang tamat siaran pada 9 Disember di saluran Mediacorp Suria.
Menyentuh mengenai gandingan bersama dua hos lain, Hans Hamid dan Fikah Zainal, Ezam akur ia merupakan satu pengalaman baru.
“Sejujurnya, saya banyak belajar daripada mereka berdua. Ini kali pertama saya menjadi penyampai bagi rancangan televisyen secara langsung.
“Bagi dua episod pertama, kami bertiga masih mencari keserasian dan mengenalpasti kekuatan masing-masing memandangkan kami datang daripada latar belakang yang berbeza.
“Saya turut membuat kajian dengan melihat kembali bagaimana pengacara bagi musim yang lalu mengendalikan program itu,” ceritanya.
Ditanya episod manakah yang memberi impak kepada dirinya, Ezam berkata episod ketujuh yang bertemakan From The Ground Up dan menampilkan penyanyi ‘indie’ dan mereka yang mengorak langkah secara sendiri untuk meraih kejayaan.
“Dalam episod itu, terdapat bakat yang bermula daripada busking, menggubah lagu dari rumah dan membina kerjaya mereka dengan cara tersendiri.
“Mereka bermula dengan tidak ada apa-apa sehingga berjaya menarik perhatian pihak penerbitan dan diberi peluang membuat persembahan di pentas yang besar.
“Saya boleh memahami perjalanan mereka kerana saya turut bermula dengan hanya menjadi deejay majlis orang kahwin dan kini saya bertugas di radio,” jelas Ezam yang mana bakatnya dicungkil daripada pertandingan realiti, Suara Juara pada 2023.
Ezam yang turut menerima pencalonan bagi DJ Radio Terbaik buat kali pertama di acara penganugerahan berprestij Pesta Perdana 2025 pada Mei lalu mengakui tahun 2025 dipenuhi dengan pelbagai peluang yang beliau tidak jangkaan.
“Saya tidak menyangka kerjaya saya akan berkembang dengan begitu cepat.
“Saya bersyukur dengan setiap peluang diberikan dan berterima kasih adanya keluarga yang memahami tuntutan tugas yang rencam.
“Ini bermakna saya harus bekerja lebih keras dan memperbaiki diri saya,” ceritanya yang tampil sebagai peserta dalam rancangan realiti hiburan terbaru, Berani Lakon!.
Rancangan hiburan, Berani Lakon! kini ditayangkan setiap Selasa, bermula 8.30 malam di Mediacorp Suria.
Namun, Ezam turut melalui peristiwa yang pilu pada 2025.
Bapanya, Allahyarham Encik Mohd Ashri Hashim, yang merupakan tulang belakang utamanya untuk menceburi bidang penyiaran, meninggal dunia pada 12 Februari disebabkan barah pankreas.
“Memang saya tidak boleh menafikan setiap hari yang saya lalui dalam kerjaya ini ada berkaitan dengannya.
“Saya mengingati pesannya untuk jangan putus asa dan jangan pernah mundur jikalau perkara yang diusahakan itu benar,” ujar Ezam yang merupakan bapa kepada empat anak perempuan berumur antara lapan tahun dengan enam bulan.
Ezam bakal menjadi salah seorang pengacara bagi acara luar studio, Singapura LIVE! & Singa Maksima x Locals Only! yang berlangsung pada 20 Disember di Teater Luar DBS Foundation di Esplanade.
Acara percuma itu menampilkan barisan penyanyi termasuk Jatt Ali, Rahila Rashun, Fauzie Laily, Thaqif, Heema Izzati, Putri Emily dan kugiran The Pinholes.
“Saya berharap penonton yang hadir dapat berpesta dengan kami kerana terdapat ramai bakat tempatan termasuk kumpulan dikir barat dan kumpulan gendang yang bakal beraksi di atas satu pentas.
“Saya dan rakan setugas, Azura Goh, merancangkan sesuatu yang berbeza lantas berharap orang ramai dapat hadir dan memberi sokongan,” ujarnya yang turut merupakan penerbit bersama bagi segmen Singa Maksima x Locals Only!.
Semua episod Singapura LIVE! 4.0 boleh ditonton menerusi aplikasi mewatch.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg