Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Emma Maembong menyerlah main watak ibu tunggal

Sep 26, 2025 | 1:56 PM
 Emma Maembong
Pelakon, Emma Maembong, menyahut cabaran papar kelainan dan kedalaman emosi seorang wanita bergelar janda dan ibu tunggal dalam drama terkini Viu, ‘Seadanya Cinta’. - Foto INSTAGRAM EMMA MAEMBONG

Pelakon popular Malaysia, Emma Maembong, mengakui lebih gemar mencabar diri dengan melakonkan watak berbeza berbanding mengulangi watak biasa yang sering ditawarkan kepadanya.

Emma, atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 33 tahun, berkata pemilihannya membawa watak Alani dalam drama terbaru Viu, Seadanya Kita, menuntut sisi lakonan yang lebih matang.

Watak yang dibawanya itu tidak klise atau biasa seperti kebanyakan jalan cerita yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

“Saya pilih watak Alani dalam drama, Seadanya Kita, kerana ia bukan kisah berebut harta atau kisah yang mudah dijangka – soal duit.

“Sebagai pelakon, Emma sukakan kelainan. Memang keinginan sendiri untuk bawa watak berbeza dan ada kelainan.

“Saya lihat watak Alani ada kelainan. Jadi, saya ambillah.

“Kalau berlakon fasal suami curang, duit dan harta – bukan saya tidak mahu. 

“Saya okey sahaja jika tidak ada pilihan,” katanya dalam laman web, Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau ditemui BHM pada tayangan perdana episod akhir, Seadanya Kita, di Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Emma, selepas membawa watak Alani, beliau mendapat banyak maklum balas positif daripada penonton yang melihat sisinya yang berbeza.

“Penonton komen kata Emma macam lain dan nampak lebih cantik. 

“Lain kenapa? Sebab Emma boleh ‘bermain’ dengan watak itu.

“Sebelum ini, Emma tidak boleh ‘main’ (teroka lebih dalam) watak. 

“Emma terpaksa jadi orang kampung dan apabila menjayakan watak orang kampung, Emma tidak boleh bersolek atau bersiap, serta pakai baju kurung sentiasa.

“Jadi, apabila penonton lihat saya tampil dengan penampilan berbeza, mereka lihatlah kelainannya,” tambahnya.

Emma menyifatkan watak Alani sebagai lambang kekuatan wanita.

“Sebenarnya, bukan soal status janda atau ada ‘anak ikan’. 

“Saya lihat Alani sebagai wanita berdikari yang membesarkan anak sendirian.

“Cara penonton tafsir watak itu mungkin berbeza. Tetapi, bagi saya, Alani adalah simbol kekuatan wanita,” ujar Emma.

Lebih daripada itu, pelakon asal Kuala Terengganu, Malaysia itu, turut memuji sikap profesional rakan gandingannya dalam naskhah, Seadanya Kita, Mierul Aiman.

Emma menyifatkan Mierul sebagai pelakon berdisiplin, mudah bekerjasama dan tidak menimbulkan masalah di lokasi penggambaran.

“Ini kali pertama Emma berlakon dengan Mierul dan beliau sangat profesional. 

“Beliau senang diajak kerjasama, tidak menyusahkan orang, berdisiplin dan sangat menghormati orang sekeliling.

“Apabila kita tahu itu kerja, tiada yang kekok. 

“Hingga hari ini, kami tidak simpan nombor telefon masing-masing, tiada cadangan untuk berjumpa atau makan berdua.

“Tetapi, apabila kami di set penggambaran, kita tahu emosi atau watak yang perlu dihidupkan,” kongsinya.

Emma meluahkan rasa syukur apabila drama, Seadanya Kita, yang disiarkan di wadah penstriman digital, Viu, mendapat sambutan positif penonton.

“Setakat ini, drama ini tidak terima komen negatif. 

“Hampir semua maklum balas sangat positif dan penonton sentiasa ternanti-nanti episod seterusnya. 

“Saya agak terkejut kerana sambutan di luar jangkaan.

“Dari segi penggambaran, semuanya lancar, kru bagus dan pasukan penerbitan juga amat profesional. 

“Saya fikir ini antara drama yang paling banyak terima sokongan positif sepanjang kerjaya saya dalam lakonan,” kata Emma.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg