Topik diikuti
Pergi ke BHkuEpisod pahit ‘D Academy Asia’ dorong Nada Fitri buru juara ‘Anugerah 2026’
Mahu dikenali sebagai penyanyi serba boleh, punya ‘jiwa’ dalam setiap lagu disampaikan
Episod pahit ‘D Academy Asia’ dorong Nada Fitri buru juara ‘Anugerah 2026’
Setelah sekian lama menggantung mikrofon, bakat muda, Nada Fitri, tidak menyangka video yang dimuat naik secara spontan di akaun TikTok bakal menjadi titik tolak untuknya kembali mengejar impian yang lama terpendam.
Menerusi video ringkas yang mana beliau mendendangkan lagu terkenal, Die On This Hill, nyanyian asal Siena Spiro, Nada, 25 tahun, berjaya mencuri perhatian apabila rakaman tersebut meraih sekitar 15,500 tontonan dan 1,491 tanda suka, sehingga akhbar ini diterbitkan.
Sambutan positif terhadap video tersebut, di samping dorongan ibu bapa yang masih menaruh keyakinan terhadap bakatnya, menyuntik semula keberanian Nada, atau nama sebenarnya, Nada Fitri Abdul Hanip, untuk kembali ke pentas.
Justeru, apabila pertandingan nyanyian tempatan, Anugerah 2026, terbitan Mediacorp Suria diumumkan, beliau melihatnya bukan sekadar peluang untuk menghidupkan semula kerjaya seni, malah sebagai langkah pertama untuk mengubah haluan hidupnya.
“Ketika pertandingan ini mula-mula diumumkan, ramai yang menggesa saya supaya menyertainya.
“Namun, jauh di sudut hati, saya sendiri ragu-ragu sama ada masih mampu menyanyi seperti dulu.
“Dah terlalu lama saya tak menyanyi sampai banyak teknik nyanyian pun saya dah lupa.
“Keyakinan diri pun dah tak macam dulu.
“Orang mungkin melihatnya sebagai satu pertandingan nyanyian biasa, tetapi bagi saya, keputusan untuk kembali ke pentas bukan sesuatu yang mudah.
“Apatah lagi, saya kini memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu,” luah suri rumah tangga yang mempunyai dua anak berusia tiga dan lima tahun itu, kepada Berita Minggu (BM) melalui Zoom baru-baru ini.
Di sebalik susuk tubuhnya yang mungil, Nada memiliki vokal lantang dan bernada tinggi yang mampu memukau penonton setiap kali beliau beraksi di pentas.
Malah, kemampuan vokalnya pernah diuji di pentas serantau apabila beliau mewakili Singapura dalam pertandingan nyanyian dangdut terkenal Indonesia, D’Academy Asia 3, pada 2017.
Ketika itu, Nada merupakan antara enam peserta yang mewakili Singapura, bersama Rahila Rashun, Sunny Jackson, Eriy Rizale, Ajul Anwar dan Nor Hakim.
Bagaimanapun, peristiwa beliau tersasul menyebut lirik lagu Sambalado, nyanyian asal Ayu Ting Ting, sebagai “sambal bala bodo” masih membekas dalam ingatannya.
Kesilapan itu berlaku ketika beliau membuat persembahan bersama peserta Indonesia, Putri Isnari; dan peserta Malaysia, Farez Adnan; sebelum potongan video persembahan itu tular di media sosial.
“Sebenarnya, Sambalado merupakan pilihan lagu pada saat-saat akhir.
“Ketika di belakang pentas, saya, Putri dan Farez yang memang rapat, sempat bergurau membayangkan betapa lucunya kalau ada antara kami tersasul menyebut lirik lagu itu.
“Farez siap berpesan supaya jangan sampai perkara itu berlaku.
“Tetapi siapa sangka, perkara yang kami jadikan bahan gurauan itulah yang benar-benar terjadi ketika saya menyanyi di atas pentas!,” selorohnya.
Biarpun hampir sedekad berlalu, Nada mengakui peristiwa itu masih menjadi bahan usikan segelintir pihak sehingga kini.
Enggan terus dibayangi kesilapan lalu, anak penyanyi, Henny Hanip, yang juga peserta 10 terbaik D’Academy Asia pada 2015, itu melihat Anugerah 2026 sebagai peluang untuk membina semula keyakinan dan memperkenalkan sisi lain bakat nyanyiannya.
Kali ini, finalis Anugerah 2026 itu mahu membuktikan bakatnya tidak hanya terbatas pada irama dangdut, malah mampu menyentuh hati pendengar menerusi penghayatan lagu balada.
Antara pencapaian terbaiknya sepanjang pertandingan itu termasuk menduduki tangga pertama pada minggu kedua menerusi lagu, Kesetiaan (nyanyian Allahyarhamha Siti Sarah), diikuti tempat kedua pada minggu ketiga dengan lagu dangdut, Bolehlah Boleh (Mas Idayu).
Bagi peringkat separuh akhir yang berlangsung pada 13 Oktober lalu, Nada sekali lagi membuktikan kehebatan vokalnya apabila meraih tempat kedua menerusi lagu Di Pintu Syurga, nyanyian asal Dayang Nurfaizah, yang turut menjadi lagu runut bunyi (OST) drama terkenal, Ariana Rose.
Ini sekali gus melayakkan dirinya ke pentas akhir Anugerah 2026.
Beliau turut bergandingan dengan peserta Firdaus Senin; dan pemenang tempat ketiga Anugerah 2002, Yanni Bakri, menerusi lagu duet Aku Cinta (Ernie Zakri dan Syamel), yang merupakan lagu OST bagi drama Lelaki Itu Pemilik Hatiku.
“Saya tidak mahu terus dikenali hanya kerana kesilapan itu.
“Ramai yang tahu saya boleh menyanyikan pelbagai genre lagu, termasuk irama tradisional.
“Tetapi saya tidak mahu orang sekadar mengenali saya sebagai penyanyi yang serba boleh.
“Sebaliknya, apabila nama Nada Fitri disebut, saya mahu orang mengingati saya sebagai penyanyi yang mempunyai penghayatan mendalam dalam setiap lagu.
“Bagi saya, menyanyi bukan sekadar menunjukkan kehebatan vokal, malah menyampaikan sesuatu dengan sepenuh hati,” ujarnya.
Pusingan akhir Anugerah 2026 boleh ditonton secara langsung di saluran Mediacorp Suria pada 27 Oktober, bermula 8.30 malam.
Ia juga boleh ditonton melalui aplikasi mewatch atau di laman web YouTube Mediacorp Entertainment.
“
Ketika pertandingan ini mula-mula diumumkan, ramai yang menggesa saya supaya menyertainya. Namun, jauh di sudut hati, saya sendiri ragu-ragu sama ada masih mampu menyanyi seperti dulu. Dah terlalu lama saya tak menyanyi sampai banyak teknik nyanyian pun saya dah lupa. Keyakinan diri pun dah tak macam dulu. Orang mungkin melihatnya sebagai satu pertandingan nyanyian biasa, tetapi bagi saya, keputusan untuk kembali ke pentas bukan sesuatu yang mudah.