Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ernie Zakri saji lagu nada tinggi melangit

Konsert solo perdana di S’pura pamer kuasa vokal
Jun 3, 2025 | 5:30 AM
Ernie Zakri
Konsert ‘Aura’ merupakan konsert sulung penyanyi tersohor Malaysia, Ernie Zakri, menampilkan lebih 10 lagu pada malam 31 Mei di Teater, Mediacorp. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Memerhati sekeliling ruang Teater Mediacorp yang dihiasi jambangan bunga berwarna merah jambu muda dan kuning kemerah-merahan di tengah-tengah lautan manusia, ada yang terlopong, bersorak-sorai dan ada juga yang bernyanyi sekuat hati, seperti menyimpan kepiluan yang membebani diri.

Pelbagai reaksi yang terpancar di wajah peminat tatkala melihat penyanyi kesayangan mereka, Ernie Zakri, atau panggilan manjanya, Kak Nini, 32 tahun, yang bagai sang dewi menghiburkan peminat dengan lebih 10 lagu sewaktu konsert solo perdananya di Singapura, Aura, pada 31 Mei di Teater Mediacorp.

Antara 10 untaian lagu yang dinyanyikan termasuk Aura, Boneka, Tercipta Sempurna, Astana, Ayuh, Misteri, Gundah, Jangan Hilang Percaya, Ini Yang Ku Mahu dan Nostalgia.

Dari lagu ‘groovy’ (mengasyikkan) hingga lagu balada yang mensiat perasaan hadirin, Ernie berhasil menaklukkan dan ‘makan’ semua genre lagu yang didendangkan.

Ia ibarat satu pembalasan yang memuaskan dek peristiwa konsert Aura pada 25 Januari di Plenary Hall di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, di mana Ernie sempat mengalami jangkitan laringitis atau keradangan suara beberapa hari sebelum konsert itu. 

Tepat 8 malam, Ernie membuka tirai pentas dengan mendendangkan dua lagu daripada album Aura, Intro Buat Kamu dan Aura, ditemani penari daripada kumpulan tarian tempatan, Artistari Gentari.

Versi asal lagu Intro Buat Kamu dalam album tersebut dinyanyikan secara acapella

Namun, apa yang menarik perhatian saya adalah melihat klip video Ernie mengenakan gaun merah jambu menyala sambil menyanyikan lagu itu persis suasana dalam kisah ‘fairy tale’ atau dongeng, berlatarkan alunan muzik secara langsung.

Kesan visual itu walau adakalanya dianggap remeh, menjadi aspek penting dalam konsert kali ini.

Ia menambah ‘aura’ pada persembahan beliau selain bertujuan memaparkan seni kata bagi peminat yang ingin nyanyi bersama. 

Seterusnya, Ernie menyampaikan lagu, Tercipta Sempurna, yang diinspirasikan daripada pengalamannya sebagai ibu kepada anak perempuannya, Nur Khawla Soleha Syameel Aqmal (Lala), tiga tahun.

Khawla merupakan anak hasil perkahwinannya dengan penyanyi, Syamel, yang turut hadir sebagai penyanyi jemputan pada konsert itu.

Melihat montaj gambar mesra Ernie dan anaknya, entah mengapa hati ini dibuai antara perasaan berbunga-bunga dengan syahdu. 

Pastinya tersentuh melihat kebahagiaan yang menyelubungi kehidupan Ernie kini, sekali gus membuktikan kasih ibu sepanjang masa.

Atau mungkin juga kerana mengenang perjalanan panjang Ernie dalam dunia hiburan, ketika masih solo sehingga menjadi ibu. 

Antara sebab yang membuatkan ramai jatuh cinta pada Ernie bukan sahaja kerana suaranya yang lunak dan menggetarkan jiwa, malah kerana karyanya tulus serta sarat dengan makna yang mudah menyentuh hati penggemar.

Seusai persembahan lagu itu, lontaran kata-kata, ‘I love you Abu (panggilan Ernie)’, daripada Lala yang lantang daripada kerusi penonton turut memecah deraian ketawa hadirin.

Konsert itu juga tidak akan lengkap tanpa lagu yang tinggi melangit berawal dari Astana, Misteri, Gundah, Korban hingga Jangan Hilang Percaya.

Rasa kagum saya terhadap kemampuan vokal Ernie semakin memuncak. 

Entah bagaimana beliau mempunyai kudrat dan daya tahan untuk menyanyikan lagu yang tinggi melangit secara berterusan, ditambah pula dengan teknik vokal lain seperti ‘voice scatting’ atau gaya menyanyi menggunakan suku kata bagi mencipta melodi spontan.

Saya juga takjub dengan kehebatan vokal Ernie yang berjaya keluar dari zon selesanya ketika menyampaikan lagu rap, Ayuh, yang dijadikan runut bunyi bagi filem, Polis Evo 3.

Sama ada kebetulan atau dirancang, penampilan beliau dengan gaun biru tua bertatahkan manik berkilauan dan tudung bergaya seperti tocang tampak begitu serasi dengan persembahan lagu yang dicipta khusus untuk filem bertemakan perjuangan polis Malaysia itu.

Kemuncak konsert Aura adalah penampilan Ernie bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito, membawakan lagu duet terbaru berjudul, Kisah Penuh Kecewa.

Lagu itu merupakan hasil ciptaan Ernie sendiri bersama Clara Riva dan S/EEK.

Penyanyi asal Sumatera Utara itu merupakan juara ketiga dalam pertandingan nyanyian realiti, Indonesian Idol (Musim Ke-11) dan terkenal dengan lagu, Tak Segampang Itu, yang turut dinyanyikan pada malam itu.

Lagu Kisah Penuh Kecewa menjadi simbol kejayaan Ernie dalam menembusi industri muzik Indonesia, meneruskan momentum daripada kejayaan lagu, Hal Hebat dan Masing-Masing, hasil kerjasama dengan penggubah tersohor Indonesia, Ade Govinda.

Antara lain, duet Ernie bersama suami tercinta, Syamel, membawakan lagu wajib mereka, Aku Cinta, tidak kalah memukau.

Walaupun bagi saya, versi Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) pada 2018 sukar ditandingi, persembahan di konsert itu tampil dengan sentuhan lebih matang dan mesra – kerana ikatan sah sekian lama.

Rasanya hadirin tidak puas dengan sajian hiburan pada malam itu sehingga enggan beranjak pergi tanpa dendangan lagu terakhir.

Wajah manis Ernie menunjukkan bayang-bayang terkejut melihat permintaan peminat yang sukar ditolaknya itu.

Meski hadirin ditegur manja, seperti seorang ibu yang tidak sampai hati bertegas dengan anaknya, Ernie pun menghadiahkan lagu, Masing-Masing yang dinyanyikan bersama iringan piano.

Lagu yang disampaikan dari hati ditemani suami tercinta, Syamel dan rakan duet, Anggi, atas pentas menjadi pelengkap konsert solo pertamanya di Singapura sekali gus membanjiri peminat dengan pelbagai rasa.

Biarpun, saya rasa agak terkilan kerana alami kegenjotan tiket yang rupanya diduduki orang lain, namun melihat persembahan Ernie, Anggi dan Syamel yang memukau cukup mengubati kekecewaan dan menghidupkan malam yang berawal kurang baik. 

Setinggi penghargaan kepada SAH Entertainment kerana membawa Ernie ke Kota Singa, sekali gus merealisasikan impian beliau mengadakan konsert solo pertamanya di Singapura.

Saya pasti tiada peminat yang pulang dengan perasaan kecewa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg