Konsert ‘Empat Live In Kuala Lumpur 2025’ yang menampilkan empat figura hebat – Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel – bakal melakar sejarah sebagai konsert pertama menampilkan artis yang mempunyai pertalian darah.
Dalam hal ini, Anuar dan Ziana adalah dua beradik, manakala Ernie, yang berkahwin dengan Syamel, adalah anak saudara Anuar dan Ziana.
Bakal dipentaskan pada 18 Oktober di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, persembahan yang julung kali dianjurkan itu bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya perlambangan cinta, kasih, sayang dan silatulrahim serta bakat hebat daripada generasi dan usia berbeza yang perlu diraikan.
Berkongsi lanjut mengenai konsert anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse itu, Anuar menyifatkannya sebagai persembahan istimewa kerana menterjemahkan erti sebenar ikatan kekeluargaan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Konsert ini bukan soal kami, tetapi mengenai ikatan kekeluargaan dan bakat diraikan.
“Ini adalah cara kami menghargai sokongan peminat daripada semua generasi terhadap karya yang pernah dan bakal dilahirkan.
“Konsert ini adalah projek yang sangat mengujakan. Tidak ada seorang pun daripada kami pernah terfikir bahawa pada akhirnya, takdir membawa kami semua terbabit dalam industri yang sama sebagai penghibur dan bakal beraksi di satu pentas,” katanya.
Anuar berkata konsert menggabungkan dirinya, Ziana, Ernie dan Syamel sudah lama dirancang.
“Konsert ini boleh dikatakan dirancang sejak dua atau tiga tahun yang lalu.
“Namun, melihatkan jadual kerja yang padat serta komitmen kami, penganjur dan pengurusan perlu mencari masa yang tepat dan sesuai untuk melaksanakan konsert ini.
“Alhamdulillah tahun ini (2025) menyaksikan ‘Empat Live In Kuala Lumpur 2025’ direalisasikan, sesuai dengan perancangan,” katanya.
Anuar, yang popular dengan lagu Bila Resah, berharap peminat dapat menikmati konsert berkenaan dengan semangat cinta dan kasih sayang.
Bagi Ziana pula, konsert itu akan menjadi temasya meraikan cinta antara beberapa generasi bersama peminat yang hadir.
“Saya sifatkan seperti temasya yang berjaya direalisasikan selepas mendapat banyak permintaan dalam kalangan peminat.
“Peminat hadir ke sebuah konsert tetapi menikmati karya daripada dua generasi iaitu daripada generasi saya, Anuar, Ernie serta Syamel.
“Saya juga tidak mahu menjanjikan sesuatu yang luar biasa. Tetapi, datanglah dan nikmati sebaiknya.
“Saya mahu peminat pulang dari konsert kami yang penuh magis dengan momen indah,” katanya, yang popular dengan lagu Madah Berhelah.
Ernie turut terharu hingga menitiskan air mata sebaik ditawarkan untuk menjayakan konsert itu.
“Sebagai penghibur legenda, Ziana dan Anuar membuat debaran saya berkurang kerana sangat terbuka dan profesional menerima kami untuk bekerjasama dalam konsert berskala besar ini.
“Saya menangis selepas dilamar untuk bekerjasama dengan ibu dan bapa saudara saya yang selama ini sangat saya kagumi dengan membesar melihat bagaimana mereka berusaha keras untuk berjaya.
“Ini adalah impian saya sejak lama dahulu dan bakal menjadi realiti tidak lama lagi.
“Konsert ini pasti meninggalkan kenangan manis buat saya,” luahnya.
Berkongsi pandangan sama dengan isterinya, Syamel menyifatkan pembabitan dalam konsert dianggap ‘pesta vokal’ itu ibarat bulan jatuh ke riba buatnya.
“Anuar, Ziana dan Ernie masing-masing adalah legenda. Justeru, apa yang saya lihat dengan kerjasama kami berempat dalam konsert ini menerusi tenaga masing-masing boleh membuahkan konsep persembahan yang menarik,” katanya.
Untuk kelancaran konsert ini, Jennifer Thompson bakal memikul tanggungjawab sebagai pengarah konsert, manakala Sze Wan bertindak sebagai pengarah muzik.
Tiket konsert ‘Empat Live In Kuala Lumpur’ mula dijual sejak 25 April.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg