Faizal Hussein utamakan mesej drama ‘Walid’, abai kecaman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faizal Hussein utamakan mesej drama ‘Walid’, abai kecaman

Mar 10, 2026 | 2:47 PM

Faizal Hussein utamakan mesej drama ‘Walid’, abai kecaman

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
faizal hussein, walid
Pelakon berpengalaman, Faizal Hussein, menekankan penglibatannya dalam drama ‘Walid’ yang distrim di Viu, lebih bermakna kerana mampu menyampaikan mesej kepada penonton. - Foto INSTAGRAM FAIZAL HUSSEIN

Walaupun drama bersiri, Walid, mungkin tidak sepopular drama Bidaah yang ditayangkan pada 2025, pelakon berpengalaman, Faizal Hussein, atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Hussein, menekankan penglibatannya dalam projek itu lebih bermakna kerana mampu menyampaikan mesej kepada penonton.

Drama arahan Pali Yahya itu, yang juga sekuel pada Bidaah, diterbitkan Rumah Karya Citra dan ditayangkan secara eksklusif di penstriman Viu, sejak 26 Februari.

Selain Faizal, drama memuatkan 12 episod itu turut dibintangi Aqasha, Datuk A Tamimi Siregar, Marisa Yasmin, Vanidah Imran serta bintang Indonesia, Olla Ramlan.

“Alhamdulillah, setakat ini, baru tayangan untuk episod kedua.

“Kita kena tunggu hingga episod seterusnya dan saya harap cerita ini akan naik hingga pada penghujung episod nanti.

“Mungkin cerita ini tidak akan menjadi fenomena lagi tetapi ia tetap menyajikan jalan cerita yang lebih menarik dan ia terpulang pada penerimaan penonton.

“Kalau mengikut jalan ceritanya dan cara penulis skrip (Erma Fatima) menggarap kesinambungan cerita ini, saya rasa ia akan menarik minat penonton sebab ada pembabitan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia,” kata Faizal, 58 tahun, dalam Harian Metro.

Ditanya lanjut mengenai reaksi peminat, Faizal berkongsi mereka sebenarnya sudah menantikan kesinambungan cerita Bidaah.

“Namun, apabila judulnya diubah menjadi Walid, peminat agak terkejut dan tertanya-tanya: ‘Mengapa bukan Bidaah 2 dan mengapa pula diberi judul, Walid?’

“Bagi saya pula, apabila judul drama itu ditukar kepada Walid, tentunya jalan cerita akan berkisarkan mengenai watak Walid iaitu, macam mana Walid diselamatkan dan menyambung kesinambungannya untuk menunggang agama itu.

“Jadi siapa yang menolongnya itulah yang akan membuatkan jalan cerita itu menjadi lebih menarik pada episod seterusnya,” ujarnya.

Menyentuh tentang penerimaan pelakon itu terhadap kecaman netizen pula, Faizal akur memang ada beberapa babak yang akan mengundang respons negatif kerana memang tertulis dalam skrip siri Walid.

Bagaimanapun, pelakon filem, Gila-Gila Remaja, itu tidak membaca komen mahupun kecaman daripada netizen membabitkan naskhah Walid, terutama di Threads.

“Saya juga mengelak daripada membaca komen negatif kerana ia tidak memberi kesan apa-apa pun pada saya.

“Bagi saya, mereka yang beri komen itu kebanyakannya tidak menonton drama Walid dan hanya lihat daripada ‘clipping’ (keratan) saja,” ujar Faizal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg