Topik diikuti
Pergi ke BHkuFauziah Nawi terus timba ilmu, enggan selesa berbekal pengalaman
Fauziah Nawi terus timba ilmu, enggan selesa berbekal pengalaman
Nama pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi, cukup sinonim dengan watak ibu dalam drama televisyen Malaysia, sama ada sebagai wanita yang tabah mengharungi dugaan hidup mahupun tokoh berjiwa kental dan berpendirian tegas.
Selain meraih pelbagai pengiktirafan dalam bidang lakonan, beliau turut aktif sebagai pengarah, penerbit dan pembimbing lakonan, sekali gus menyerlahkan kepelbagaian bakatnya dalam industri seni.
Sebelum mencipta nama sebagai anak seni, Fauziah, 73 tahun, bermula sebagai penari dan aktif membintangi pementasan teater.
Menurut Fauziah, perjalanan dunia seninya berkembang apabila beliau menyertai pertandingan, Bintang RTM, sebelum mendapat peluang untuk berlakon di kaca televisyen menerusi drama, Tahan Kinabalu, pada 1973.
Selain itu, beliau sentiasa mengikuti pelbagai kelas bagi memantapkan ilmu dan kemahiran seninya.
Sepanjang membabitkan diri dalam bidang seni, Fauziah turut berkongsi dirinya tidak pernah meninggalkan kerjaya hakiki sebagai penjawat awam dan sentiasa bekerja keras mencari rezeki.
“Saya memang tidak pernah tidak kerja.
“Saya buat kerja seni ini selepas hari kerja (sebagai penjawat awam), jadi saya sentiasa bekerja.
“Bila saya sudah pencen, baru saya jadikan ia sebagai pekerjaan sepenuh masa,” katanya dalam laman web, Harian Metro.
Fauziah melibatkan diri secara sepenuh masa dalam dunia lakonan selepas bersara daripada perkhidmatan awam apabila bertugas sebagai penyiar selama 20 tahun.
Kerjayanya sebagai penyiar bermula pada 1976 di Radio Televisyen Malaysia (RTM), khususnya di saluran Radio 4, Radio 3 Ibu Kota dan Radio 1.
Antara program ikonik yang pernah dikendalikannya termasuk Morning Show, Your Host, Non Stop Music, Before We Say Good Nite, Fascinating Malaysia dan Manis-Manis Garam.
Bagaimanapun, Fauziah mendedahkan cabaran terbesar yang dihadapi sebagai anak seni selama lima dekad adalah berdepan masalah kewangan dan ketiadaan tawaran berlakon.
Berhubung isu kadar bayaran lakonan, beliau menyifatkan bayaran pada awal pembabitannya jauh berbeza berbanding zaman sekarang.
Fauziah hanya dibayar sebanyak RM180 ($56.28) sewaktu menjayakan drama, Tahan Kinabalu.
Proses penggambaran pada waktu itu, katanya, mengambil masa yang panjang merangkumi empat hari latihan, satu hari penggambaran di dalam studio dan satu hari penggambaran di luar, termasuk sesi bacaan skrip dan latihan.
“Ketika itu, nak dapat RM180 pun kena tunggu lima ke enam bulan.
“Tetapi sekarang sudah lain pula, sekarang saya akan minta (bayaran pendahuluan) 50 peratus ataupun ‘booking fees’ (bayaran tempahan).
“Mungkin RM180 pada zaman itu, nilainya besar kalau nak dibandingkan dengan zaman sekarang,” katanya lagi.
Bagi Fauziah, pembabitan dalam bidang seni lebih didorong oleh minat yang mendalam berbanding ganjaran kewangan.
Malah, beliau tidak pernah menetapkan bayaran terlalu tinggi kerana masih mempunyai pekerjaan tetap ketika itu, yang menjamin pendapatan bulanan meskipun jumlahnya tidak seberapa.
Bagaimanapun, keadaan itu jauh berbeza dengan industri hiburan masa kini apabila kebanyakan artis mempunyai pengurus yang mengendalikan urusan kerjaya, sedangkan pada zaman dahulu, segala urusan termasuk rundingan bayaran perlu dilakukan sendiri.
“Zaman dulu, saya tidak pernah nak letak harga sebab saya buat seni ini sebab suka.
“Saya sudah ada satu kerja lain (tetap) yang mempunyai gaji bulanan walaupun tidak sebesar mana,” kongsi ibu dua anak itu.
Namun, anak lelakinya yang juga penulis skrip dan pengarah, Allahyarham Pitt Hanif, atau nama sebenarnya, Mohd Firdaus Mohamad Hanif, 43 tahun, meninggal dunia pada 2019 akibat lemas di Sungai Jelai, Lipis, Malaysia.
Dalam perkembangan lain, beliau mengakui usia bukan halangan untuk mengejar bidang akademik.
Fauziah kini menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang seni dan mempunyai baki masa sekitar enam bulan untuk menamatkan pengajian berkenaan.
Meskipun berdepan cabaran teknologi untuk menyiapkan tugasan dengan pantas, pelakon filem, Sayang Salmah, itu meluahkan rasa syukur kerana mengambil keputusan melanjutkan pengajian pada usia kini.
Kepuasan mengejar ilmu di peringkat usia emas rupa-rupanya membawa erti yang cukup besar apabila Fauziah merangkul gelaran pelajar terbaik.
“Saya ambil pengajian diploma dalam bidang Koordinasi Pengarahan Filem dari Meatech Creative Academy pada 2020, dan saya dapat jadi pelajar terbaik ketika itu.
“Itu detik paling seronok buat saya.
“Ia tidak sama seronok seperti dapat anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik,” ujarnya, yang meraih anugerah itu melalui filem, Sayang Salmah, di Festival Filem Malaysia ke-12 (FFM12) pada 1995.