Di usia 72 tahun, Datuk Fauziah Nawi, telah menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam jurusan Seni Lakon Teater melalui program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), pada 16 Ogos lalu.
Fauziah bersyukur komitmen tanpa henti untuk menuntut ilmu dalam bidang diminati meningkatkan lagi kelayakan akademiknya yang diakui penanda aras penting terhadap kredibiliti sebagai pelakon.
“Bagi saya, menuntut ilmu sangat penting. Tambahan lagi, zaman sekarang lebih memerlukan sijil dan kelayakan akademik berbanding pengalaman berpuluh-puluh tahun.
“Selain itu, saya mahu jadi sumber inspirasi buat cucu.
“Alhamdulillah mereka okey, dan ada juga yang masih belajar.
“Saya rasa tak perlu pun (sambung belajar), tapi ini demi nak tunjukkan bahawa belum terlambat untuk sambung pengajian, tak kiralah usia berapa pun.
“Saya dah rugi banyak masa dulu. Arwah bapa suruh belajar tapi saya tak mahu.
“Sekarang barulah ada kesedaran dalam diri sendiri,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada 16 Ogos, seniwati berkenaan menghadiri Majlis Apresiasi PSH 2025 dan Penutup Program Mobiliti Pertukaran Pelajar Guangxi Arts University China, yang bertempat di Panggung Eksperimen Aswara, Kuala Lumpur, Malaysia.
Selain menggenggam Ijazah Sarjana Profesional dalam Industri Seni (Lakonan) dari Open University Malaysia (OUM) pada 2018, Fauziah juga memiliki diploma dalam bidang Koordinasi Pengarahan Filem dari Meatech Creative Academy yang diraihnya pada 2020.
SKM diterimanya difahamkan hanya berdasarkan penilaian menerusi peperiksaan fizikal semata-mata, bukannya perlu melengkapkan pengajian sekurang-kurangnya tiga tahun seperti pelajar lain.
Dalam pada itu, Fauziah sempat berkongsi perkembangan dirinya yang baik-baik saja.
Bagaimanapun, katanya, beliau hanya berdepan masalah apabila perlu berdiri lama.
Apa pun, pelakon filem Hoore! Hoore! itu bersyukur kerana belum pernah diuji dengan penyakit kronik sepertimana dialami kebiasaan golongan seusianya.
“Saya tidak makan sembarangan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Selain itu, saya selalu bersenam, berpuasa dan ikut nasihat doktor untuk turunkan berat badan bagi memudahkan pergerakan serta tidak menimbulkan sakit lutut.
“Daripada berat badan saya melebihi 90 kilogram selama beberapa tahun, kini ia telah mencapai 58 kilogram.
“Alhamdulillah, saya memang bersyukur dengan nikmat yang Allah swt beri pada saya,” kata Fauziah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg