Pelakon Malaysia berkaliber, Fazlina Ahmad Daud, 49 tahun, pernah mengalami ‘burnout’ atau berdepan keletihan melampau dek terlalu banyak tuntutan kerja perlu diselesaikan dalam satu masa.
Ini disebabkan kesibukan menjalani pelbagai penggambaran sehingga kurang masa untuk berehat, sejak Ogos 2024.
“Mungkin dalam dua atau tiga kali saya pernah rasa ‘burnout’ (lesu upaya).
“Tapi, saya bersyukur kerana ada sistem sokongan terdiri daripada keluarga dan rakan-rakan. Apa pun, saya hanya bergantung kepada Allah.
“Saya pernah terbabit dengan dua atau tiga penggambaran dalam masa sehari. Kalau boleh saya tak mahu buat, tapi sebab stesen televisyen minta, jadi saya terima.
“Bagaimanapun, saya anggap ini semua adalah rezeki.
“Kalau kita permudahkan, Allah juga akan mudahkan kita,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama, Bukan Ipar Sempurna, di Karnival Jom Heboh (KJH) di KL Base, Kuala Lumpur pada 31 Mei.
Lantas, anak Datuk Ahmad Daud Mohamad Hashim dan primadona, Datin Saadiah (nama sebenarnya, Satya Baharom) itu berkata akan menggunakan tempoh cuti pada Jun untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Saya akan berehat sekejap belum berehat sejak tahun lalu (2024). Hujung tahun itu juga abang saya meninggal dunia.
“Tapi, Alhamdulillah semua kerja sudah habis dan mungkin dalam Jun ini saya akan betul-betul berehat memandangkan ia bulan ulang tahun kelahiran saya.
“Saya mahu banyak luangkan masa dengan keluarga. Selepas itu, barulah kembali berlakon,” katanya.
Sementara itu, Fazlina muncul dalam drama terbaru, Bukan Ipar Sempurna, arahan Ejump Mohd yang kini ditayangkan di saluran slot Akasia TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 7 malam.
Drama adaptasi novel, Bukan Cinta Sempurna, itu turut menampilkan barisan pelakon seperti, Ikmal Amry, Hafeez Mikail, Nadiya Nisaa, Cahaya Nilam dan Jihaa Sham.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg