Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fazlina Ahmad Daud ingin kongsi jerih payah perjalanan seni ibu bapa

Robek tangkai hati pelakon watak antagonis ketika singkap pengorbanan Ahmad Daud, Saadiah demi industri filem
Apr 15, 2025 | 6:27 PM
Meski pada awalnya rasa terikat dengan kerjaya seni yang dianggap ‘membunuh’ kreativiti ibu bapanya, Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah Bahrom, Fazlina Ahmad Daud, menyifatkan seni mencoraknya agar lebih memahami kemanusiaan menerusi watak yang dibawa.
Meski pada awalnya rasa terikat dengan kerjaya seni yang dianggap ‘membunuh’ kreativiti ibu bapanya, Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah Bahrom, Fazlina Ahmad Daud, menyifatkan seni mencoraknya agar lebih memahami kemanusiaan menerusi watak yang dibawa. - Foto WADAH SENI ENTERTAINMENT

Walaupun bergelar anak seni yang mewarisi bakat dan nyala rasa arwah ibu bapanya, Datuk Ahmad Daud Mohamad Hashim dan Datin Saadiah (nama sebenarnya, Satya Baharom), pelakon berkaliber, Fazlina Ahmad Daud, mengakui beliau pernah membenci industri hiburan.

Bukan sahaja tiada privasi apabila berjalan-jalan di luar dengan banyak mata memandang, malah, ada sahaja yang ingin ambil tahu ibu dan kakaknya, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), keluar makan dengan siapa atau beli pakaian di mana.

Keadaan yang membelenggu hidupnya sebagai anak primadona, Saadiah, dan adik bintang terkenal, Ogy, membuat Fazlina, 49 tahun, berasa rimas dan ingin sahaja membebaskan dirinya daripada menjadi perhatian orang.

Kerana itu, pada awalnya, beliau berat nak bercerita tentang jerih payah Ahmad Daud dan Saadiah membina kerjaya seni di Singapura menerusi Konsert Legasi Layar Perak, anjuran Wadah Seni Entertainment, dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Soulitaire Productions, pada 30 April, di Panggung Capitol.

Konsert itu juga mengetengahkan Azlina Aziz (anak Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarhamha Normadiah) dan penampilan istimewa juara Gegar Vaganza 11 (GV11), Liza Aziz, serta biduan Eddy Ali (anak pemuzik dan penggubah lagu, Allahyarham Ali Ahmad, dan jurutari serta penari filem Melayu, Allahyarhamha Norsiah Yem).

Penyanyi, Milah Hussein, Rabiatul Ahmad, Datuk Yusni Hamid, Hafiz Hamzah, P. Radhi, Haziq Rosebi, Rojer Kajol, dan Trio Jalan Ampas, akan tampil dalam konsert itu juga.

Sewaktu dihubungi Berita Harian (BH), Fazlina yang terkenal dengan watak antagonis, berkata:

“Sebenarnya, ada banyak perkara yang terbuku di hati saya tentang susah payah arwah Mummy dan Bapak, yang belum dapat saya kongsi dengan orang ramai.

“Di Singapura, mereka memang disanjung sebagai seniwati atau primadona dan biduan tetapi apabila mengambil keputusan untuk berpindah ke Malaysia, orang seakan-akan lupa tentang jasa Mummy pada industri perfileman Melayu.

“Beliau bergelut dengan bermacam persoalan dan pandangan mata masyarakat. Dah tak ada tawaran berlakon untuk meneruskan nyala rasanya dalam bidang seni.

“Bapak masih okey sebab ada sahaja tawaran menyanyi di mana-mana. Saya marah sebab orang perlekeh bakat Mummy, sedangkan suatu ketika, beliau adalah primadona filem Melayu.

“Tiada rasa hormat buatnya dengan mereka mengundangnya ke acara yang merendahkan nilainya sebagai seorang seniwati.

“Orang meremehkan kebolehan Mummy. Saya satu-satunya anak yang lahir setelah Bapak dan Mummy berpindah ke Malaysia. Semasa Mummy lahirkan saya, usia Mummy ketika itu sudah mencecah 43 tahun.

“Banyak kesulitan dan komplikasi kehamilan pada usia lanjut, yang dihadapi pada peringkat usia hampir putus haid.”

Menurutnya, satu perkara yang dihormati tentang ibunya adalah dalam apa jua kesulitan, beliau tidak pernah mengeluh dan melalui segalanya dengan sabar.

“Saya masih kecil ketika itu. Mungkin saya tak faham apa yang melanda kerjaya Mummy ketika itu. Hanya setelah saya dewasa dan berumah tangga serta berlakon, barulah saya faham segala rintihan anak seni.

“Saya cukup membenci industri seni kerana ia mematikan rezeki ibu bapa saya. Ia ‘membunuh’ nyala rasa mereka,” ujarnya.

Fazlina juga tidak merancang bergelar pelakon dan hanya memikirkan untuk membina kerjaya sebagai doktor atau pramugari untuk melihat dunia.

“Tapi dah namanya rezeki, saya ‘terjebak’ juga setelah buat banyak kerja belakang tabir, membantu Kak Ogy,” katanya.

Pada 1993, kakaknya, Ogy sedang mencari pelakon tambahan bagi telefilem, Mat Gabra.

Sejak itu, beliau mendapat tawaran berlakon drama seperti, Kelab Buku Bukit CheriMencari Az ZahrahBukan Yang PertamaTetamu TetamuSayang Maria dan Kamelia.

Selain itu Fazlina pernah terlibat dalam teater, Raden Galoh dan Pelayaran Nur Atma. Beliau juga amat dikenali di Aceh menerusi drama, Lari Mira, penerbitan yang membabitkan beberapa artis Indonesia dan Brunei.

“Saya sebenarnya bersyukur saya dapat mencari tukikan sebagai pelakon antagonis yang dibenci dan bikin orang menyampah kerana tindak-tanduknya yang jahat.

“Lama-kelamaan banyak cabaran yang saya harungi untuk menghidupkan sesuatu watak.

“Tapi saya akan selalu mengingati pesan Mummy dan Bapak serta Kak Ogy. Disiplin mesti jaga. Merendah hati dengan orang. Barulah kita dapat bina kerjaya lakonan yang mantap,” ujarnya.

Anak bongsu dalam enam beradik itu akur banyak suka duka yang dilalui sebagai anak seni.

Beliau berumah tangga pada usia muda 18 tahun atas usulan ibunya.

Hingga ke hari ini, mahligai yang dibina dengan Nahar Ludhfi Datuk Johari, anak maestro muzik, Datuk Johari Salleh, berkekalan dengan empat anak, dan mereka juga mempunyai beberapa cucu.

“Saya turutkan permintaan Mummy untuk berkahwin awal. Alhamdulillah, hingga ke hari ini, mahligai itu diberkati berkat doa Mummy dan Bapak.

“Selebihnya, saya berharap di Singapura kelak, saya akan dapat berkongsi kehidupan Mummy dan Bapak dari perspektif saya sendiri.

“Saya tahu Mummy dulu rapat dengan Mak Normadiah dan Mak Saloma, dua bintang yang hebat pada zaman filem klasik dahulu.

“Rasanya seronok dapat berkongsi pentas dengan Kak Azlina Aziz, anak Mak Normadiah. Saya memang menghormati perjalanan seni Kak Azlina.

“Inilah pentas untuk menyanjung legenda kita. Ada yang tanya saya, ‘Mengapa buat di Singapura dan tak di Malaysia?’ Saya beritahu sebab Mummy disayangi orang Singapura.

“Ada banyak pengalaman di Malaysia yang mengecilkan hati Mummy. Pada penghujung hayatnya, penghargaan yang wajar diberi kepadanya langsung tiada,” jelas Fazlina.

Nota: Tiket berharga antara $88 dengan $198 (kemeja-T dengan tanda tangan artis diberi percuma) bagi Konsert Legasi Layar Perak, boleh ditempah di laman web Sistic.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg