Bukan mudah untuk menjadi adiwira utama dalam sebuah filem.

Berdekad lamanya pelakon Britain, Nicholas Galitzine, menanti.

Setelah sekian lama melalui penat lelah dan keperitan ditolak pengarah dan penerbit, Galitzine, akhirnya terpilih membawakan watak adiwira, He-Man atau Prince Adam, dalam filem aksi, Masters of the Universe.

Di satu sidang media maya baru-baru ini, Galitzine, 31 tahun, berkata beliau mengimpikan dapat membawa watak utama dalam sebuah filem ‘pecah panggung’ Hollywood sejak 13 tahun lalu.

Dengan nada sebak, beliau berkata:

“Saya diselubungi rasa bangga bercampur terharu dalam babak Adam menghunus pedangnya ke langit lantas berkata dialog He-Man yang tidak asing lagi, iaitu “By the power of Grayskull, I have the power” to transform into He-Man” (”Dengan kuasa Grayskull, saya memiliki kuasa untuk bertukar menjadi He-Man”).

Menurutnya, di fikirannya kini terpahat wajah setiap pengarah pemilihan pelakon yang pernah menolaknya dalam sesi uji bakat.

“Nampaknya, saya perlukan 13 tahun untuk benar-benar berkembang sebagai seorang pelakon adiwira di Hollywood!” ujarnya.

Menurutnya kepada laman web, UIP, sesi pratonton Masters of the Universe, di Chinese Theater di Hollywood Blvd sekitar Los Angeles, Amerika Syarikat, juga membawa kembali kenangan pahit tentang susah payahnya membina nama sebagai anak seni.

“Setiap kali ada sesi uji bakat, saya akan ke Los Angeles dengan visa 90 hari.

“Saya akan menempah visa untuk kegunaan tempoh penuh 90 hari tanpa memikirkan tempat untuk saya tidur nanti.

“Saya berpindah-randah dari satu hotel bajet ke hotel bajet lain sekitar kawasan Hollywood Utara.

“Saya akan melintasi Chinese Theater dan berharap suatu hari nanti, saya akan jejakkan kaki ke panggung ternama ini kerana filem yang saya lakonkan akan ditayangkan di sini,” ujarnya.

Dalam filem, Masters of the Universe, yang dipadankan daripada animasi sekitar 1983 hingga 1985 ini, penonton dibawa meninjau kehidupan seorang putera, Adam, yang dilahirkan di Eternia.

Putera itu ditugaskan ke bumi pada usia 10 tahun oleh seorang tukang sihir (lakonan Morena Baccarin) bagi melindunginya.

Apabila putera ini kembali ke Eternia sebagai lelaki dewasa, dia bersama rakan-rakannya dari bumi cuba menyelamatkan keadaan di negara kelahirannya.

“Ini kisah anak raja yang kebanyakan masa diperdaya orang-orang sekelilingnya.

“Entahlah, saya bagaikan teringatkan diri saya sendiri. Nasib malang kerap ditolak untuk berlakon dalam filem berjenama besar,” kata Galitzine, yang masih membujang.

Beliau rasakan tekanan berada di set, di mana ramai pelakon lain seakan-akan meninjau bakat lakonannya – sejauh manakah beliau mampu menjadi adiwira sasa dan berjaya.

Banyak jangkaan yang perlu dipenuhi.

Galitzine sendiri kagum dengan set yang besar dan penuh dengan individu berpengalaman.

Dalam perjuangannya, watak He-Man ditemani rakannya sejak kecil, Teela (Camila Mendes), yang menemuinya di bumi dan ingin membawanya pulang ke negara asal.

Teela banyak memberinya semangat baharu untuk menentang musuh.

“Saya rasa He-Man dan Teela saling melengkapi dan mempunyai kuasa dalaman yang luar biasa.

“Awalnya, Teela adalah pemimpin dalam kumpulan adiwira ini tetapi masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri,” kata Mendes, 31 tahun, pula.

Bapa Teela, Duncan (Idris Elba), adalah Ketua Pahlawan bagi kerajaan bapa Adam, King Randor (James Purefoy).

Duncan banyak berputus asa dalam kehidupan dan menjadi seorang pemabuk sejak Skeletor (Jared Leto) mengambil alih kepimpinan Eternia.

“Watak Duncan adalah seorang bapa yang sentiasa rasa kehilangan,” kongsi Alba, 53 tahun.

Selaku tukang sihir, Baccarin, 46 tahun, mengakui dirinya adalah peminat besar animasi He-Man and Masters of the Universe.

“Saya dan adik saya selalu bermain dengan patung He-Man dan She-Ra.

“Menjayakan filem ini membuatkan saya rasa tak sangka saya dapat menjayakan filem ini.

“Watak saya penuh dengan rasa keibuan tetapi dia tegas.

“Saya biarkan sahaja diri saya rasa yakin mencorak watak penyihir ini secara semula jadi,” katanya.

Filem ini kini ditayangkan di pawagam serata Singapura sejak 5 Jun.