Topik diikuti
Pergi ke BHkuLagu ‘My Love’ Westlife diguna untuk seksa tahanan
Lagu ‘My Love’ Westlife diguna untuk seksa tahanan
Lagu ‘My Love’ Westlife diguna untuk seksa tahanan
Di sebalik sebuah lagu cinta terkenal, pastinya ada kisah mengejutkan atau menyedihkan yang pahit ditelan.
Antara lagu meluah kasih kepada orang tersayang yang disalahgunakan ialah, My Love, dendangan kumpulan Ireland yang ditubuhkan pada 1998, Westlife.
Laman web, Songfacts, mendedahkan lagu ciptaan bersama Jorgen Elofsson, Per Magnusson, David Kreuger dan Pelle Nylen itu digunakan Agensi Risik Pusat (CIA) sebagai bahan penyeksaan satu sesi soal siasat yang dipertingkatkan terhadap seorang nelayan Tanzania, Suleiman Abdullah Salim, pada 2003.
Menurut laporan Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU), Out of the Darkness, CIA telah silap menahan dan menyeksa Abdullah, seorang lelaki kulit hitam berketurunan Afrika, yang baru sahaja mendirikan rumah tangga selama dua minggu ketika itu, dan berpindah ke Somalia, untuk bekerja sebagai pengawal pelabuhan.
Sebenarnya, Abdullah yang mereka cari adalah jejaka berketurunan Arab dari Yaman, yang mempunyai nama serupa.
Apakah kesalahan Abdullah? CIA mengesyaki beliau mengubah-ubah identiti dirinya untuk melakukan jenayah kerana dilihat kerap berpindah-randah dari satu negara ke negara lain.
Walhal, bagi Abdullah dari Tanzania, beliau berusaha mencari pekerjaan dengan pendapatan lebih baik ketika berpindah ke Somalia.
Sewaktu bertugas sebagai pemandu bagi seorang kakitangan Panglima Perang Somalia, Mohammed Dheere, Abdullah dituduh berhutang dengan pemimpin tentera itu.
Apabila beliau enggan berbuat apa-apa, Abdullah diserahkan kepada CIA.
Ketika dalam tahanan selama lima tahun, CIA dikatakan memainkan lagu, My Love, yang dicipta pada 2000 itu berulang-ulang kali secara kuat.
Muzik rok ‘heavy metal’ diselang-selikan dengan My Love, sebagai rancangan kejam menyerang deria Abdullah.
Justeru, memang tidak sangka lagu balada kegemaran ramai ini digunakan bagi menyeksa jiwa dan batin seorang lelaki yang sebenarnya tidak bersalah.
Mujurlah, selepas penyeksaan panjang itu, Abdullah dibebaskan, setelah terbukti CIA tersalah orang.
Ada juga lagu Westlife, Flying Without Wings, yang diputarkan sewaktu tempoh sedih seperti upacara mengiringi jenazah orang Kristian ke tanah perkuburan.
Bagi anggota Westlife, Mark Feehily, beberapa lagu yang pernah dinyanyikan mengingatkannya tentang tempoh kegelapan.
“Talk Me Down adalah lagu yang menyedihkan tetapi ia juga karya yang kuat dari segi vokal yang menyentuh jiwa.
“Saya kira semua daripada kita pernah melalui tempoh yang agak gelap dalam kehidupan sehingga terasa sangat pilu,” jelas Feehily, 46 tahun, yang berehat seketika daripada konsert jelajah Westlife kerana beberapa komplikasi jangkitan kuman, yang menjejas daya ketahanan tubuhnya.
Bagi peminat Westlife di Singapura, konsert jelajah ulang tahun ke-25 kumpulan ini, Westlife 25: The Anniversary World Tour, akan diadakan pada 16 Januari 2027 di Stadium Tertutup Singapura. Tiket berharga $328, $288, $258, $218, $178 dan $138 (tidak termasuk yuran tempahan $6) boleh ditempah menerusi laman ticketmaster.sg.
